“ISTERI saya membuat onar ketika saya sedang sakit dulu. Saya terkena strok. Tak mampu berbuat apa-apa. Tapi, melihatkan sikapnya yang semakin hari makin melampaui batas membuatkan saya kuat untuk sembuh. Saya minta maaf bagi pihak isteri saya. Saya tahu ianya sukar, tapi dengan serendah-rendahnya saya memohon maaf. Kakak kamu tak bersalah langsung. Isteri sayalah menjadi dalang segalanya. Setelah sembuh, saya terus cuba mencari kamu berdua, lalu saya terima kamu bekerja dan naikkan pangkat setelah melihat kesungguhan kamu dalam bekerja. Dan hari ini, saya satukan kembali kamu bertiga. Perpisahan itu memeritkan, tapi kasih sayang tak pernah pudar dan kesabaran terus bertahan.” Panjang lebar Encik Idham berbicara.
Faiq Raihan menangis mendengar cerita yang sebenarnya. Saat ini baru hatinya terasa senang dan lapang untuk memaafkan. Rupanya salah dia menyimpan marah dan benci. Jelas sekali kakaknya langsung tidak bersalah, tetapi dialah mangsa yang sebenarnya. Farihah mendekati Faiq. Laju Faiq mencapai tangan kakaknya, meminta maaf dengan bersungguh, meluah rindu dengan air mata. Sungguh, selama ini dia tersilap menilai.
Kakaknya pergi bukan kerana tidak sayang, tetpi kerana ingin melindungi dia dan Faiz. Barulah dia tahu hari ini bahawa ibu mertua kakaknyalah yang menjadi punca perpisahan ini. Faiq masih ingat pandangan redup kakaknya di hari terakhir mereka bertemu. Baru dia tahu, baru dia sedar, dalam mata itu menyimpan pelbagai cerita duka dan derita. Betapa besarnya pengorbanan seorang kakak. Faiq menangis seperti anak kecil. Farihah menyeka air matanya.
“Faiq dan Faiz sentiasa ada dalam doa kakak. Tak pernah hilang atau lupa walau sesaat.” Lirih Farihah bersuara. Raihan turut menitiskan air mata. Betapa usahanya yang sekecil itu rupanya ada hikmah besar.
Raihan tak tahu langsung kisah ini dan cerita ini. Raihan langsung tak menyangka, kakak yang dipanggil Faiz tempoh hari adalah kakak iparnya. Cantiknya perancangan Allah buat mereka. Sudah terlerailah kita sebuah kebenaran. Meskipun pahit untuk ditelan, namun itulah hakikat kehidupan. Tak lari dari ujian.
Kepercayaan, keyakinan, kesetiaan, kesabaran dan kasih sayang bila akarnya adalah kerana Allah, takkan pernah ada yang sia-sia. Dalam tempoh hanya beberapa hari, Allah berikan mereka kebahagiaan yang tak pernah terlintas dek fikiran Faiq. Cuma satu yang belum selesai di pihak Faiq. Keinginannya belum sempat diluahkan.
Raihan. Baginya gadis itu umpama bidadari yang hadirnya menenangkan, bicaranya menyentuh hati, pandangannya redup dan lembut, wajahnya penyejuk hati dan jagaannya penuh kasih. Faiq berkira-kira sama ada hendak meluah rasa malam ini atau lain hari. Diam-diam, dia mengucap syukur dengan takdir indah ini.
‘Dirimu umpama bidadari, akan ku sunting menjadi permaisuri hati. Suatu hari nanti.’ Bisik hati Faiq.
Share this novel