“TAPI, cinta tak sama dengan hormat.” Kata-kata Raihan berlegar-legar dalam kepala Faiq. Pening juga dia berfikir. Memang tak difahami langsung.
“Abang!” Faiz menjerit, mematikan lamunan Faiq.
“Ya, ya…. Kenapa? Ada apa-apa jadi ke?” kelam-kabut Faiq menyahut.
“Tak ada apa pun la. Kenapa abang tak dengar adik panggil banyak kali tadi?” soal Faiz dengan muka polosnya.
“Sorry. Abang fikir tadi macam mana nak tidurkan Faiz yang nakal ni sebab dia seronok sangat lepas dapat mainan baru petang tadi. Terus tak ngantuk-ngantuk. Padahal esok sekolah.” Faiq mula menutup rasa malu dan membuat cerita sendiri.
“Okey, okey. Adik tidur. Bising betullah abang ni. Orang nak main lama sikit pun tak boleh.” Rungut Faiz.
“Esokkan ada.” Balas Faiq.
“Esok memang ada, tapi belum tentu untuk kita.” Ujar Faiz. Petah sungguh bicaranya. Tersentap Faiq dibuatnya.
“Siapa ni ajar Faiz cakap macam tu?” tanya Faiq. Hairan pulak dirasakan kalau Faiz menyebutkannya secara spontan. Mengikut logic akalnya yang masih waras, tak mungkin kanak-kanak seusia Faiz akan mengungkapkan bait kata sebegitu. Pasti diambil dari mana-mana atau siapa-siapa.
“Kakak ajar tadi.” Selesai menjawab, Faiz terus berlalu naik ke kamarnya untuk beradu. Dia sendiri tak menahan jika dibebel oleh abangnya. Kalau abangnya sudah membebel, macam-macam nanti yang dikatakannya. 24 jam, belum tentu habis bebelannya.
“Raihan… Raihan….” Faiq bermonolog sendiri. Tak disangka Raihan begitu besar pengaruhnya dalam diri anak sekecil Faiz. Mungkin kerana Faiz masih kecil, suci, bersih dari segala noda, oleh sebab itulah Raihan menyebutkan ayat itu. Mungkin Faiz tidak memahami ayat itu hari ini, tapi ia sangat berguna untuk insan sebesar Faiq.
Share this novel