SAMPAI sahaja di sekolah tadika al-Amin tempat Faiz belajar, sempat dia mengingatkan Faiq Raihan tentang janjinya sekali lagi. Faiq hanya mampu mengiyakan. Entah bagaimana hendak ditunaikan janji tidak patinya itu. Sesal pun tiada guna kerana mulut telah melafaz janji. Kanak-kanak, pasti akan menuntut juga nantinya.
“Faiz, bukalah pintu ni. Kita pergi sekolah ye?” pujuk Faiq. Sepi
“Faiz… bukalah pintu. Nanti balik sekolah abang belanja aiskrim coklat kesukaan Faiz.” Dipujuk lagi, namun hampa.
“Faiz, keluarlah. Dah lambat ni nak pergi sekolah. Petang nanti abang bawak pergi main dekat taman… keluar, dik…” masih tak berputus asa, cuma responnya sama.
“Faiz…. Jom la pergi sekolah. Nanti abang bawak jumpa kakak. Janji.” Barulah pintu bilik itu terkuak sedikit. Faiq lega namun hati menyimpan rasa risau sendiri. Janjinya yang terakhir itu.
‘Kakak manalah aku nak cari…. Perempuan semalam, tak ada contact pulak. Tahu nama je. Takkan nak cari semua perempuan nama Raihan. Memang berlambak.’ Kerja yang ada di depan mata tergendala. Faiq banyak termenung memikirkan caranya menunaikan janji buat si adik.
“Faiq Raihan, bos panggil.” Suara Kak Yati menyentakkan lamunan panjang Faiq Raihan. Kini baru Faiq Raihan sedar dia di pejabat. Hati berdebar kerana bos memanggil.
Faiq Raihan berjalan keluar dari biliknya menuju ke bilik Encik Idham, bos mereka. Entah apa pula kali ini yang bakal terjadi. Macam-macam perkara negatif menyerang fikirannya. Jarang-jarang bos hendak memanggil pekerja seperti dia secara tiba-tiba. Dia pekerja biasa sahaja. Bukan berjawatan tinggi di situ. Walaupun sudah beberapa tahun bekerja di situ. Inilah pertama kali dia dipanggil. Debaran semakin kuat saat destinasi dituju semakin hampir.
Share this novel