BAB 10

Romance Completed 10067

FAIQ Raihan masuk kerja pagi itu seperti kebiasaannya. Yang sedikit luar biasa cuma bilik kerja barunya. Sempat dia menjenguk ke bilik lama, namun masih kosong. Kata Encik Idham semalam, ada pekerja baru akan masuk. Tapi, bila dilihat, tiada pula. Takkan hari pertama kerja dah datang lewat? Hairan Faiq sendiri di mejanya.

Seketika kemudian, Encik Idham melintasi biliknya bersama seorang pemuda. Nampak masih muda. Lebih muda dari dirinya. Seperti awal-awal dia memohon kerja di sini dahulu. Mungkin, itulah pekerja baru yang diperkatakan oleh Encik Idham semalam. Tiada tanda-tanda Encik Idham marah pada pekerja baru itu. Mungkin ada sebab dia lewat hadir. Faiq cuba bersangka baik.

Faiq kembali menumpukan pada tugasannya yang masih banyak belum selesai. Sesekali, ditilik jam di tangan kirinya itu. Entah kenapa, dia takut terlewat mengambil Faiz pulang. Kata Encik Idham semalam, kalau boleh, dibawalah Faiz ke pejabat hari ini. Tapi, ini baru 9 pagi. Faiq sudah begitu gelisah. Pintu biliknya diketuk beberapa kali menyentakkan lamunannya yang agak panjang tadi.

“Encik Faiq, bos panggil lagi.” Kak Yati memaklumkan. Faiq hanya membalas dengan anggukan. Meja yang sedikit berselerak dikemas sedikit, lalu bergegas ke bilik Encik Idham. Entah apa pula kali ini.

Faiq berjalan laju tetapi tenang menuju ke bilik Encik Idham. Tidaklah terlalu jauh kerana kenaikkan pangkatnya mendekatkan lagi bilik mereka. Faiq memang akan melangkah dengan penuh debaran setiap kali dipanggil Encik Idham. Bukan kerana Encik Idham garang. Tapi, kerana hormatnya pada seorang ketua, membuatkan dia merasa takut sekiranya berbuat kesalahan tanpa sengaja atau dengan sengaja. Teringatkan tentang hormat, ayat gadis semalam kembali bermain di fikirannya. Cepat-cepat diusir dan cuba kembali pada fokusnya kini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience