FAIQ Raihan termenung sendiri di ruang tamu. Televisyen terpasang, namun fikirannya jauh memikirkan kata-kata gadis bernama Raihan tadi. Entahlah mengapa. Hatinya masih lagi menyimpan rasa benci pada kakak kandungnya sendiri. Entah bila rasa itu akan hilang. Lamunannya tersentak saat terdengar Faiz merengek-rengek memanggil kakak. Faiq Raihan cepat-cepat ke bilik. Ditepuk lembut tubuh adiknya biar lena kembali.
Faiq memandang adiknya yang sudah dibuai mimpi. Wajah kakak kandungnya mula bermain di mata. Pesanan gadis tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. Wajah Faiz ditenung lama. Jelas riak sedih dan rindu pada seorang kakak. Faiq menunduk. Jujurnya, dia sendiri merindui. Perlahan-lahan, air mata jatuh membasahi pipi
Sudah lima tahun berlalu. Kakak tak pernah melawat mereka. Faiq Raihan sendiri tak pernah mengambil kisah lagi tentang kakaknya sejak keputusan itu dibuat. Faiz sebagai anak kecil, memang tak mengerti apa-apa. Dia cuma tahu, dia ada seorang kakak dan dia merindukan kakaknya itu. Faiz tidak faham betapa peritnya kehidupan mereka setelah ditinggalkan oleh kakak kesayangan.
Faiq masih ingat lagi, dahulu selepas ketiadaan ibu dan ayah, Kakaklah ibu dan ayah mereka. Pulang dari sekolah, kakak masakkan. Semua pakaian, kakak basuhkan. Duit belanja, kakak yang sediakan. Gurau senda, tawa dan tangis semua ditemani kakak. Sampailah hari itu, hari di mana kakaknya membuat keputusan untuk berkahwin. Masih dia ingat bagaimana pandangan terakhir kakak sebelum berlalu pergi bersama lelaki durjana itu. Pandangan memohon maaf pada Faiq dan Faiz.
Sejak dari hari itulah, Faiq berjanji dalam dirinya untuk berusaha membahagiakan adiknya, Faiz. Tidak akan memaafkan kakaknya lagi dan akan membuang jauh-jauh nama seorang kakak. Mungkin dia lupa kitaran kehidupan yang sekejap berada di atas dan sekejap berada di bawah. Datang pula seorang wanita memberi harapan dan semangat baru pada dirinya. Membuatkan dia kuat berusaha. Bekerja demi membahagiakan Faiz dan wanita yang dicintainya.
Namun, takdir Allah mengatasi segalanya. Wanita itu tiba-tiba menghilang tanpa berita. Risau, namun hanya mampu berdoa. Dicari, tak jumpa. Faiq pasrah. Sehinggalah mendapat berita, wanita itu bakal melangsungkan pernikahan dengan seorang lelaki yang berpangkat. Seorang lelaki pilihan keluarganya. Faiq benar-benar kecewa hingga dia tidak mampu lagi mempercayai mana-mana perempuan lagi.
Duit yang pada asalnya dikumpulkan untuk meminang gadis idaman akhirnya selamat dilaburkan untuk rumah teres dua tingkat ini. Tempat yang sedikit selesa buat dia dan adiknya. Tidaklah kaya, tetapi selesa dengan kesederhanaan. Cuma, ketenangan itu tak pernah dirasa. Mungkin kerana hati menyimpan rasa benci dan dendam.
“Kakak! Kakak!” mata terpejam, namun bibir memanggil. Faiz mengigau. Entah apa yang dimimpikan. Faiq menepuk kembali adiknya agar tidak terus mengigau.
‘Patutkah aku maafkan kakak? Takkan tiada cara lain bahagiakan Faiz?’ Faiq Raihan bermonolog sendiri.
?
Share this novel