RAIHAN tiba di rumah saat jam sudah menghampiri ke pukul 7 malam. Terus dia cepat-cepat menyiapkan diri untuk bersedia menunaikan solat fardhu maghrib berjemaah. Pasti kesemua adik beradik dan bapanya sedang menunggu di ruangan solat. Sedang Raihan membetulkan telekungnya, satu suara menegur.
“Cik Han…. Cepatlah…. Dah lama kami tunggu.” Anak buahnya, Fatin memanggil. Raihan tersenyum mendekati anak kecil itu.
“Okey, cik Han dah siap. Jom.” Ajak Raihan. Raihan memimpin anak buahnya ke ruangan solat mereka. Sampai sahaja, iqamah sedang dilaungkan. Cepat-cepat keduanya mengambil tempat.
Seperti kebiasaan mereka, selesai sahaja solat maghrib, bertadarrus tak kira tua atau muda, dewasa atau kanak-kanak. Raihan seperti hari-hari lain, mengajar anak-anak buahnya mengaji Iqra’ kerana dialah yang paling lembut sekali dalam mengajar. Anak-anak buahnya sendiri gemar jika dia yang mengajar. Ada juga abangnya mengusik dengan kata-kata gurauan.
“Adik ajar anak-anak buah mengaji. Latihan asas sebelum menjadi seorang ibu kepada anak sendiri.” Kata-kata abangnya itu disambut tawa adik beradik yang lain. Raihan hanya mampu menarik muka.
“Tak apa, adik. Ajar mengaji ni, banyak pahalanya. Berterusan pulak tu selagi diamalkan. Beruntung adik nanti.” Kakak iparnya memang pandai memujuk. Raihan tersenyum. Hati terpujuk, lalu riang menerima amanah yang diberikan.
“Cik Han, kenapa susah nak sebut huruf ni?” Sofea mengadu. Comel sahaja kanak-kanak berusia 4 tahun itu mengadu dengan suara kecilnya.
“Tak susahlah, sayang. Sini ikut macam mana cik Han sebut.” Raihan mengajar sehingga anak-anak buahnya betul-betul faham dan dapat membaca huruf-huruf dalam al-Quran dengan makhraj yang betul.
Share this novel