Ariana menyiram air mawar di pusara orang yang pernah memberi erti dalam hidupnya. Air mata yang mengalir dikesat perlahan. Dengan hati yang sayu, Ariana beredar dari tanah perkuburan itu. In Syaa Allah, dia akan datang lagi selagi umurnya masih panjang.
“Baru balik Ari?” Puan Juliana menyoal.
“Tadi pergi kubur arwah.” Ariana letak kunci kereta di atas meja.
Puan Juliana senyum. Dia tahu kubur siapa yang dimaksudkan Ariana. Hampir dua tahun Ariana menziarahi tanah perkuburan tersebut.
“Ari naik bilik dululah ma, nak mandi. Rasa melekit.” Ariana panjat tangga ke tingkat atas. Baru saja tubuhnya masuk ke bilik itu, tiba-tiba ada tangan merangkulnya erat dari belakang seolah tak mahu dilepaskan. Ariana senyum. Dia dapat agak siapa yang memeluknya mesra.
“Ari pergi mana? Abang balik kerja Ari tak ada. Risau abang.” Hilman mengeratkan pelukannya. Dagunyanya diletakkan di bahu Ariana.
“Ari pergi kubur.”
Hilman senyap. Pasti kubur emaknya dan Haris.
Hilman balikkan tubuh Ariana. Tangannya kirinya dilingkarkan di pinggang Ariana manakala tangan kanannya mengusap lembut pipi isteri tercintanya sebelum ciuman di labuhkan di situ.
“Abang!”mata Ariana bulat.
“Apa? Cium isteri sendiri pun salah ke?” Hilman ketawa lepas. Rambut ikal Ariana di usap mesra. Ciumannya dilabuhkan pula di kening Ariana.
“Abang jangan buat benda pelik. Dah petang ni.” Ariana beri amaran. Hilman bukan kira. Kalau dah datang mood romantiknya, jangan haraplah dia dapat lepaskan diri.
Hilman senyum mesra. Siapa sangka kawan baiknya sendiri menjadi isteri. Kawan yang dia paling sayang kini menjadi cinta hatinya. Hatinya yang dulu beku, kini harum dengan cinta Ariana. Hanya Ariana yang mampu buat dia jatuh cinta. Hanya Ariana yang mampu buatnya tersenyum. Hanya Ariana yang mampu memberinya bahagia.
“Abang jangan senyum macam tu. Takut Ari.” Ariana menolak dada Hilman perlahan tapi Hilman langsung tak berganjak.
Sekali lagi ketawa Hilman bergema. Dia cubit pipi Ariana manja. Isterinya ni lah… suka fikir bukan-bukan.
Hilman tarik tangan Ariana. Duduk di birai katil. Dia tarik Ariana ke dalam dada. Sayangnya dia pada Ariana hanya Allah saja yang tahu.
“Abang minta maaf.”
Kening Ariana terangkat. Dia tak faham untuk apa Hilman minta maaf.
“Abang tuduh Ari…”
“Abang dah minta maaf banyak kali pada Ari dan Ari dah maafkan abang. Jangan ungkit lagi. Kita kena lupakan hari semalam yang melukakan untuk menghadapi hari esok yang mungkin membahagiakan.”
“Abang tahu tapi abang tetap nak minta maaf.” Pelukan dieeratkan. Dia cium kepala Ariana penuh kasih.
“Abang hanyut dengan dendam. Sebab abang ingat Ari yang salah. Bila Ari muncul balik dalam hidup abang, abang sakitkan hati Ari. Abang langsung tak bagi Ari peluang untuk bela diri. Abang terlalu percayakan apa yang Erin cerita abang padahal Ari kawan baik abang. Abang langsung tak percaya Ari.” Luah Hilman kesal. Sungguh,sesalnya bukan sedikit. Dan yang menjadi mangsa adalah Ariana. Ada saja peluang dia akan sakitkan hati Ariana. Baginya Ariana itu pesalah yang tak layak mendapat pengampunan.
“Bukan salah abang sepenuhnya. Ari pun bersalah juga dalam hal ni. Kalaulah Ari tak berkeras dengan Erin dulu, mesti Haris masih hidup sampai ke hari ini. Dan mak abang pun mesti tak akan terasa dengan kehilangan Haris.” Kalaulah dia berkeras tak izinkan Erin bawa Haris, pasti segalanya berubah. Tapi bila difikirkan balik, siapalah dia untuk menolak takdir. Kuasa Allah lebih besar. Dia perlu redha dengan ketentuan yang Allah telah tetapkan untuknya.
"Abang redha dengan kehilangan Haris dan mak… kita tak boleh nak putar balik waktu. Jadi, kita titipkan doa untuk mereka ye sayang. Semoga Haris dan mak ditempatkan di kalangan orang yang beriman.”
Ariana angguk. Semoga mak dan Haris bahagia di sana. Amin.
Share this novel