BAB 9

Romance Completed 7961

Ariana melutut di kaki Hilman.

“Aku minta maaf. Aku tak tahu Cik Yah dah pergi. Aku tak tahu… aku minta maaf Hilman.” Bersungguh-sungguh Ariana minta maaf. Kalaulah dia mampu untuk menghentikan derita Hilman, dia sanggup buat apa saja. Apa saja…

“Kau rasa maaf kau boleh kembalikan keluarga aku Ari?” perlahan Hilman menyoal. Dia tahu Ariana tak akan mampu.

Soalan Hilman menjerut leher Ariana. Dia terdiam. Bersama air mata yang semakin lebat mengaburi pandangannya.

Ariana menyelak kembali foto-foto lama. Gambar dia dan Hilman menyapa mata. Dia senyum tawar. Betapa bahagianya dia dulu berkawan dengan Hilman sebelum semuanya berubah.

Imbas kembali…

“Hilman!” Ariana menjerit geram. Sabarnya dah tak tertahan lagi. Dah sejam lebih dia kat rumah ni tapi dari tadi Hilman buat dia macam tunggul.

“Ye Ari…” Hilman menyahut tanpa mengangkat muka. Matanya fokus pada tab di tangan.

“Ajarlah aku subjek ni. Nanti kau sambung balik main game tu.” Ariana bersuara. Dari tadi buku latihannya tak berusik. Subjek fizik. Dia memang lemah teramat dengan subjek ni. Rasa berpinar mata bila study subjek ni. Lain pulak dengan Hilman. Semua subjek pun score padahal dia tengok
Hilman tak study pun. Di manakah keadilan di dunia ni? Haha…drama sangat.

“Kejaplah.” Tanpa perasaan Hilman membalas.

Ariana mendengus.

“Kau punya kejap tu sampai aku dah habis makan sepinggan nasi ayam dan semangkuk pengat pisang. Cepatlah Hilman. Nanti mama balik dari kerja aku pun nak kena balik rumah.” Aci tak kalau dia lempar tab tu kat dinding biar pecah berderai. Eh, tak mau tak mau. Nanti habis nyawa dia dikerjakan Hilman.

“5 minit. Nak habis dah ni.”

Ariana ketap gigi geram. Tak boleh jadi ni.

“Cik Yah! Tengok Hilman, dia kan..” kata-kata Ariana mati bila Hilman tekup mulut dia rapat. Bulat mata dia. Tercungap nafas kerana perbuatan Hilman.

“Kau nak bunuh aku ke?” soal Ariana tak puas hati bila dia berjaya menepis tangan Hilman dari mulutnya. Merah mukanya. Ada juga yang kena baling dengan buku tebal ni karang.

“Padan muka. Suka mengadu kat mak aku. Kaki mengadu betullah kau ni.” Hilman membebel. Ariana memang. Dari dulu kalau dia tak nak dengar cakap Ariana, mulalah Ariana mengadu pada emaknya. Dan yang paling dia tak puas hati bila emaknya sendiri lebih suka menangkan si Ariana daripada dirinya. Sungguh tak aci!

“Adoi, sakitlah Ari.” Hilman terjerit kecil. Laju dia mengusap lengan kanannya yang dicubit Ariana. Habislah, confirm berbekas. Tangan macam ketam. Suka sangat cubit orang. Potong tangan tu baru tahu.

Ariana mencebik “Padan muka kau. Lagi sekali kau buat macam tu, aku cubit sampai lebam.”

“Yelah… Mana yang kau tak faham. Sini sifu nak tengok.” Hilman dah duduk bersila. Mata dihalakan ke arah buku Ariana.

“Soalan ni. Kenapalah suka sangat buat soalan complicated. Tak faham aku.” Kepala yang tak gatal digaru perlahan.

"Soalan ni? Ni?”Hilman dah tergelak besar. Ariana kerut dahi. Dah kenapa Hilman ni? Tak bagi main game candy crush terus sawan ke?

“Punyalah senang soalan ni. Kau berangan ke masa cikgu ajar kat dalam kelas? Ingatkan Arman?”

“Nama Arman jangan sebut kalau kau tak nak mata kau lebam sebelah.” Tolonglah jangan kenenkan dia dengan Arman. Dia tak suka. Arman itu buaya tembaga! Playboy sekolah!

“Arman suka kau.”Hilman dah gelak-gelak. Suka dia tengok muka bengang Ariana.

“Diam Hilman.” Ariana memberi amaran.

“Betul, Arman suka kau. Dia…” suara Hilman bertukar kepada jeritan bila sekali lagi Ariana mencubit lengan kirinya pula. Lebih kuat dari tadi!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience