Tiada apa yang perlu dikemaskan. Beg tangan dicapai dan dia mahu pergi dari syarikat ini. Biarlah… mungkin bukan rezeki dia untuk bekerja di situ. Cuma dia ralat kerana Hilman masih berdendam dengannya. Dan kata hinaan Hilam tadi buat dia rasa sangat terkilan. Ariana menggeleng. Air mata yang bertakung cuba ditahan daripada tumpah. Dia tak bersalah! Tapi Hilman tetap tak nak percayakannya…
Saat dia melangkah ingin meninggalkan bilik itu dia tersentak bila Hilman muncul di sebalik pintu sebelum menghempas kembali pintu pejabatnya kuat. Terangkat bahunya terkejut.
“Kenapa kau muncul? Kenapa kau datang sini? Tak cukup lagi ke derita yang kau bagi pada aku dan kau nak tambah lagi?!” Hilman menengking. Merah muka Hilman. Sungguh, dia benci dengan sekujur tubuh dihadapannya saat ini. Ariana tak patut muncul dalam hidupnya lagi setelah sejarah hitam itu. Dia berharap dia tak perlu jumpa dengan Ariana lagi!
Ariana senyap. Hilman salah. Dia tak pernah berniat nak bagi derita pada Hilman. Hilman itu kawan baiknya. Hilman itu sebahagian dari hidupnya. Mana mungkin dia sanggup sakiti Hilman. Tapi, fahamkah Hilman?
“Jawab Ari!” sekali lagi Hilman menjerit lantang.
Ariana mengeluh.
“Kenapa tak puas hati lagi? Aku dah berhenti dari syarikat kau. Kau nak apa lagi?” perlahan Ariana menyoal. Ya… dia faham kalau dia harus pergi kerana dendam Hilman padanya masih belum surut. Sangkanya selepas sepuluh tahun masa berlalu, Hilman mampu memaafkannya dan menerima takdir. Namun sangkaannya salah.
“ Adik aku... kembalikan adik aku.” Bergetar suara Hilman. Ada kepedihan dalam suara Hilman. Sampai mati pun dia tak akan maafkan Ariana. Tak akan! Kerana Ariana, adiknya terbunuh. Kerana Ariana, emaknya jatuh sakit dan turut pergi meninggalkannya. Kerana Ariana, dia hilang kebahagiaan hidup. Dan kerana Ariana, dia hidup tapi seolah -olah mati!
“Hilman…aku.” Ariana hilang kata.
Share this novel