Tanpa berfikir panjang, Ariana melintas tanpa melihat kiri dan kanan. Tidak dihiraukan hon yang dibunyikan oleh kenderaan lain. Makian dari pemandu yang marah dengan tindakannya hanya dipekakkan. Gila? Memang dia dah gila!
“Ari!”
Hilman menyambar tubuh Ariana sebelum sempat lori berkepala merah menggilis tubuh langsing Ariana.
“Kau dah gila ke?” lantang Hilman bersuara. Bahu Ariana dipegang kasar. Kalaulah dia terlambat walau sesaat tadi, pasti nyawa Ariana sudah melayang. Marahnya membuak. Apa yang difikirkan Ariana sehingga sanggup mencabut nyawa sendiri?
“Memang aku dah gila! Kenapa selamatkan aku? Aku memang patut mati. Aku yang bunuh Haris. Aku punca Cik Yah mati!” Ariana menjerit. Dia tolak tubuh Hilman. Air matanya jatuh bercucuran.
“Kau ingat kalau kau mati, kau boleh kembalikan keluarga aku? Boleh ke Ari?!” marah Hilman. Mukanya tegang. Tindakan tak dijangka Ariana benar-benar buat dia hilang nafas. Jantungnya berdebar bukan kepalang.
“Habis kau nak aku buat apa? Kau benci aku! Kau patut biarkan lori tu langgar aku Hilman. Biar aku terus lenyap dari hidup kau. Biar kau takkan rasa terluka bila pandang aku. Biar…”
“Diam Ari!” marah Hilman. Terus dia tarik lengan Ariana. Memang itu yang dia yang dia nak. Dia mahu Ari ghaib dari hidupnya. Ariana bersalah kerana buat hidupnya jadi gelap, derita, terseksa... semuanya salah Ariana. Tapi kata-kata Ariana menyiat hatinya. Berdarah. Dia rasa teruk bila Ariana menangis disebabkannya.
“Lepas Hilman. Lepaskan aku! Kau tak boleh pegang aku. Aku kotor. Aku jijik.” Ariana meronta hebat. Dia pukul tangan kekar Hilman yang memegangnya erat. Bila dia berjaya, dia mula berlari. Mahu jauh dari Hilman. Mahu lupakan segalanya. Dia hanya mahu menangis saat ini dan dia tak mahu sesiapa pun dekat dengannya.
Namun tubuhnya rasa melayang bila Hilman mencempungnya. “Hilman!” semakin kuat rontaan Ariana.
“Kalau kau nak sangat mati, biar aku yang bunuh kau. Biar tangan aku sendiri yang habiskan riwayat kau. Kau tak payah susah-susah nak bunuh diri. Faham, Ari?” dalam suara Hilman. Pegangannya pada Ariana semakin kuat.
Ariana terdiam. Air matanya jatuh lagi…
“Hilman. What happen?” Erin terkejut. Dia kerut dahi bila Hilman masuk ke pejabat dengan mencempung Ariana. Hilman senyap tanpa menjawab pertanyaan Erin. Terus masuk kebiliknya dan Erin tersentak bila pintu itu dihempas kuat.
Hilman campak tubuh Ariana ke sofa. Ariana mengaduh perlahan.
“Sakit? Itu baru sikit. Kau belum rasa sakitnya bila nyawa kau ditarik.” Hilman duduk di hadapan Ariana. Dia menahan diri dari mengusap pipi Ariana dan menghapuskan air mata yang sering kali jatuh disebabkannya. Bodohkah dia kerana mula rasa sayang pada Ariana sedangkan dia tahu Ariana punca dia kehilangan keluarga.
Ah, hatinya sudah gila atau apa? Bukankah dia masih lagi benci dan berdendam dengan Ariana? Tapi kenapa pula matanya nampak Ariana begitu cantik walau sedang menangis saat ini. Dengan muka merah, air mata masih di pipi. Bibir merah Ariana…Hilman pejam mata. Cuba mengusir rasa pelik yang mula hadir dalam hati lelakinya.
“Kenapa selamatkan aku tadi? Bukan ke itu yang kau nak? Kau nak aku mati. Jadi kenapa kau halang aku?” soal Ariana dengan suara serak. Kepalanya rasa berat. Otaknya terlampau letih dengan semua ini.
“Hanya aku yang berhak untuk tentukan bila kau akan mati. Nyawa kau milik aku.”
Ariana tunduk. Dia ketap bibir. Nyawanya milik Hilman? Bukan…nyawanya bukan milik sesiapa namun milik Allah. Lupakah Hilman?
“Kenapa kau biarkan Haris mati, Ari?” soal Hilman. Air muka Ariana yang berubah dipandang tajam. Dia tak pernah ada kekuatan untuk bertanya pada Ariana namun dia kini ingin tahu dari mulut Ariana sendiri. Kenapa Ariana, kawan baiknya sanggup biarkan adiknya lemas.
Ariana genggam tangannya kuat. Mungkin ini masanya dia bercerita pada Hilman tentang apa yang telah terjadi.
“Aku tak biarkan dia mati. Aku cuba selamatkan dia tapi…”
“Jangan tipu aku Ari. Jangan ingat aku akan percaya pada pembohongan kau.” Laju Hilman memangkah bicara Ariana. Ariana cuba selamatkan Haris? Rasanya cerita yang dia dengar sangat berbeza.
“Aku tak tipu! Kenapa kau tak nak percaya? Haris jatuh, dia lemas. Aku cuba selamatkan dia tapi…”sekali lagi kata-kata Ariana dipangkah Hilman.
“Stop lying Ari! Jangan cuba tegakkan benang yang basah. Kau biarkan Haris main air seorang diri sedangkan aku dah pesan awal-awal pada kau, jangan biar dia seorang. Dia jatuh, lemas… tapi kau langsung tak perasan!” bentak Hilman. Rahangnya diketap marah. Mengungkit kembali kenangan lama, hatinya terus berdarah.
“Bukan aku tapi Erin yang...” kata-kata Ariana mati bila Hilman tumbuk meja. Kuat. Dan dia nampak ada darah merah pekat mengalir.
“Jangan letak kesalahan pada Erin bila itu memang salah kau.” Dalam suara Hilman memberi amaran. Hilman seakan tak percaya bila Ariana cuba menuduh Erin sedangkan Erin langsung tak bersalah!
“Kau cintakan dia, Hilman? Sampai aku cakap pun kau langsung tak nak percaya? Sampai kau sanggup lukakan diri kau?”
“Aku cintakan dia dan aku tak rasa orang yang aku sayang sanggup buat aku macam tu.” Hilman menipu. Kenyataannya dia langsung tak cintakan Erin.
Ariana terkedu. Hilman cintakan Erin? Dan kenapa pula hatinya pula yang sentap. Bagai ditusuk pisau yang tajam. Terus merobek tanpa belas. Bahunya jatuh. Sinar matanya hilang. Dia rasa dicampak ke daerah sepi.
Perlahan-lahan Ariana menekup mukanya dan sekali lagi air matanya luruh. Dia tak tahu untuk apa dia menangis. Apa yang dia tahu hatinya sangat sakit dengan kenyataan Hilman yang cintakan Erin. Sakit yang dia tak pernah rasa.
“Ari?” Hilman risau. Tangisan Ariana meresahkannya. Teresak bagai tidak mahu berhenti. Ariana nampak begitu terluka. Nampak sangat lemah.
“Ari, kenapa?” Hilman tarik tangan Ariana yang menutup muka dan pandang mata cantik Ariana yang menangis. Hatinya dipagut sayu bila Ariana memandangnya dengan pandangan luka.
“Hilman…” tiada ayat yang keluar dari bibir merah Ariana. Hanya air mata yang masih setia mengalir di pipi mulusnya. ‘Hilman, jangan cinta Erin. Aku tak suka!’ kata-kata itu hanya bergema di hati Ariana. Dia tiada kekuatan untuk meluahkan.
“I’m sorry if I hurt you.” Ujar Hilman perlahan dan bibirnya senyum. Senyuman yang sudah bertahun Ariana ingin tatap. Senyuman yang pernah hilang kerana dirinya. Satu perasaan halus meresap ke dalam jiwa.
“Hilman…” Ariana menyebut nama Hilman. ‘Aku cintakan kau.’ Ya… baru dia faham perasaan ini. Dia cintakan Hilman.
Share this novel