Ariana terjaga dari tidur bila ada seseorang menekup mukanya dengan bantal. Sekuat tenaga dia cuba menolak bantal itu dari mukanya namun dia gagal. Nafasnya semakin semput. Dia tercungap-cungap mencari nafas.
“Mati! Kau patut mati Ari!” ujar Erin penuh benci. Dia ketawa bila Ariana semakin lemah. Semakin kuat dia menekup bantal ke muka Ariana. Dia akan bunuh Ariana! Lepas ni dah tak ada siapa yang akan halang dia dan Hilman. Hilman akan sepenuhnya jadi milik dia.
“Erin!” Hilman muncul dan menolak tubuh Erin. Erin jatuh terduduk.
Ariana bangun dari baring. Dia turun dari katil dengan bantuan Hilman. Dia terbatuk mencari nafas. Hilman mengusap belakangnya. Hilman bersyukur kerana tak terlambat. Patutlah dia tak sedap hati. Pada mulanya dia ingin pulang saja tapi gerak hatinya kuat untuk jenguk Ariana sekali lagi.
“Kenapa kau selamatkan dia Hilman? Dia patut mati. Dia jadi penghalang untuk kita bersama!” jerkah Erin dengan mata yang merah. Dia dah berdiri tegak di tengah bilik. Lagaknya seperti mahu menerkam mangsa.
“Erin! Kenapa dengan kau? Kau sedar tak apa yang kau cakap ni?”
Erin ketawa kuat. Dia mengusap rambut panjangnya. Suara Hilman yang memarahinya kedengaran merdu di telinganya.
Ariana gugup. Erin di depannya saat ini sangat berbeza dengan Erin yang dikenalinya.
“Dulu Hilman buat apa pun dengan aku. Semua cerita dia kongsi dengan aku tapi sejak kau pindah di kawasan perumahan tu, Hilman dah tak pedulikan aku. Sikit-sikit Ari. Kau tahu tak apa perasaan aku masa tu? Aku benci sangat dengan kau!” Luah Erin sedih. Dia mula menangis teresak-esak.
Ariana sebak. Sungguh, dia tak tahu Erin sudah menyimpan perasaan pada Hilman sejak zaman sekolah dulu. Dia tak tahu!
“Kau rampas Hilman dari aku. Padahal aku yang dulu muncul dalam hidup Hilman tapi kenapa Hilman sayang kau lebih. Aku tahu dia suka kau.” Erin tekup kepala. Dia benci dengan kenyataan bahawa Hilman sukakan Ariana. Dia benci sehingga dia mahu merobek muka Ariana dengan pisau tajam tanpa belas.
“Aku tak rampas dia Erin. “
Erin ketawa pula. Air matanya dikesat. Habis comot mekapnya tapi sikit pun dia tak hairan.
“Kau cintakan aku tak Hilman?” Erin mendekati Hilman. Hilman tak berganjak.
“Kau kawan aku Erin. Kenapa sampai jadi macam ni? Mana Erin yang aku kenal. Erin yang baik, yang suka mendengar, yang suka buat orang ketawa.” Luah Hilman kesal. Dia kenal rapat dengan Erin dari kecil sampai sekarang namun dia tak sangka Erin boleh berubah sehingga begini teruk.
Erin tahu Hilman tak cintakannya. Dia mendengus kasar.
“Kau nak tahu satu rahsia tak, Hilman? Rahsia yang aku simpan dari kau selama sepuluh tahun.”Erin dah tersenyum-senyum. Wajahnya gembira.
Ariana gusar.
“Rahsia apa?” Hilman kerut dahi. Rahsia apa yang Erin maksudkan? Adakah ianya berkaitan dengan peristiwa hitam itu?
Imbas kembali…
“Kau tolong tengokkan adik aku. Aku nak balik rumah kejap ambil sos. Jangan bagi dia main dekat dengan air seorang diri.” Arah Hilman pada Ariana dan Erin yang sedang bakar ayam. Mereka buat barbeque di sungai dekat dengan rumah Erin.
“Okay bos. Boleh balik sekarang tak? Aku dah lapar ni.” jawab Ariana. Memang dia lapar sangat sekarang ni sebab dari pagi dia belum menjamah apa-apa makanan lagi. Lepas tu boleh pula Hilman tertinggal sos padahal dia sudah ingatkan Hilman berkali-kali. Tak sedaplah nak makan kalau tak ada benda alah tu.
“Cepat sikit tau Hilman. Dalam masa lima minit kau kena datang semula.” Erin mengusik. Sesekali dia membetulkan rambutnya yang ditiup angin. Boleh tahan kuat angin petang ni.
“Kau ingat aku superman boleh terbang?” Hilman mencebik. Dia mendekati Haris yang tengah makan sosej.
“Kau kan superHilman yang macho.” Balas Erin gelak-gelak.
“Haris… abang balik kejap. Haris duduk dengan akak dua orang yang bajet cantik ni kejap ye. Kalau diorang buli Haris, cepat-cepat Haris report kat abang tau.” Hilman mengusap kepala adiknya yang berumur sepuluh tahun. Betapa sayangnya dia terhadap satu-satunya adik yang dia ada.
Haris diam. Tiba-tiba dia peluk Hilman. Erat bagai tidak mahu lepas gayanya.
“ Abang balik sekejap je. Jangan nakal-nakal tau Haris.” Hilman senyum panjang. Dia turut membalas pelukan Haris. Gaya Haris peluk dia macamlah dia nak tinggalkan Haris lama.
Haris angguk kepala.
Ariana hanya memerhati. Dia suka tengok kasih sayang antara Hilman dan Haris. Hilman begitu sayangkan Haris. Buat apa pun mesti fikir tentang adik kesayangannya dan dia suka Hilman yang begitu. Dia tak punya adik kerana dia anak tunggal. Oleh kerana itu, dia menganggap Haris seperti adiknya.
Haris hanya memerhati belakang tubuh abangnya yang semakin menjauh. Erin yang melihat rasa sedih. Dia rasa dia perlu buat sesuatu untuk gembirakan Haris.
“Jom ikut Kak Erin main air.” Erin mengibas seluarnya yang sedikit kotor. Dia bangun dan ingin membawa Haris pergi bermain air.
“Kau jangan buat pasal. Hilman dah bagi amaran tadi jangan bagi dia main air.” Halang Ariana. Erin tak dengar ke tadi Hilman cakap apa? Lagi nak dibangkang. Marah Hilman nanti kalau dapat tahu.
“Bukan tak bagi main air tapi dia tak bagi Haris main seorang. Aku kan ada. Kau jangan risaulah.”
“Tak payahlah. Aku rasa tak sedap hati.” Ariana berkeras.
“Relaxlah. Banyak sangat fikirlah kau ni. Tu mainan perasaan je. Haris nak main air tak?” Erin tak ambil pusing kerisauan Ariana. Dia menghulurkan tangan pada Haris dan sekejap saja tangan kecil itu sudah berada di genggamannya.
“Nak!” laju Haris angguk kepala. Matanya bersinar ceria. Laju dia mengikut Erin menuju ke tepi sungai.
Ariana mengeluh. Entah kenapa hati dia tak tenang petang ni. Dalam tangannya lincah memanggang ayam, matanya sesekali memerhati Haris dan Erin yang bermain air. Gelak tawa Haris memenuhi suasana dan tiba-tiba dia dengar bunyi jatuh. Laju kepala dia mencari kelibat Haris. Ya Allah, Haris jatuh dalam sungai! Erin kaku. Tergamam dengan kejadian yang terjadi di depan mata.
Tanpa berfikir panjang, Ariana terjun dan cuba menyelamatkan Haris. Sikit lagi dia dapat capai tubuh Haris sebelum kakinya mula kejang. ‘Allah, jangan kau duga aku begini. Aku harus selamatkan Haris.’ Hati Ariana berdoa. Malangnya kakinya semakin sakit dan dia turut lemas. Air masuk menerusi mulut dan hidungnya. Dia cuba berenang ke dasar tapi dia tak mampu.
’Kak Ari…tolong Haris.. tolong…’ sayup-sayup dia dengar suara Haris meminta pertolongan sebelum semuanya menjadi kelam.
Share this novel