BAB 8

Romance Completed 11879

“SARA, panggil kakak kamu. Mama dan papa ada nak bincang sesuatu.”

Sara meneguk liur perlahan. Aduh, masamnya muka mama! Apa lagi salah yang dah Kak Ryn buat kali ni? Perlahan dia mendaki tangga dan memanggil Qairyna.

“Ada apa, mama?”

Anak matanya memandang kedua anak perempuannya satu persatu.

“Macam ni. Kamu berdua dah besar panjang. Mama rasa kamu berdua dah boleh kahwin.”

Kahwin? Huhu… tak nak! Qaisara berkata perlahan di dalam hatinya. Sungguh, dia belum bersedia. Dan juga belum ada calon!

“Ala ma… kita orang berdua kan nak sambung belajar lagi. Nak ambil Master pulak.”

“Iya. Mama tahu. Tapi tak salah pun kamu berdua kahwin sambil belajar.”

“Tapi… papa kan pernah cakap… Kalau belajar biar betul-betul! Tak ada gunanya bercinta masa belajar. Cinta hanya akan merosakkan pelajaran.”

Kali ini giliran Qairyna pula yang mencipta alasan. Ya, dia tahu… Dia dan Qaisara memang satu kepala!

“Itu dulu. Masa tu korang berdua ni masih belajar Diploma kan? Masih muda lagi! Itu yang papa marah sangat tu!”

Qaisara dan Qairyna saling berpandangan antara satu sama lain. Lah, macam tu pulak? Masing-masing menjungkitkan bahu masing-masing.

“Macam ni… Mama ada seorang kawan. Kawan mama satu universiti dulu. Ingat tak yang kita pernah jumpa dekat Sogo tu?”

Qairyna mengerutkan dahi sambil menyoal Qaisara dengan bahasa badan. Qaisara menjungkitkan bahu sendiri. Tak ingat pun!

“Tak ingat? Takpe! Biar mama cerita habis dulu. Dia ada seorang anak lelaki. Lepas tu, dia berkenan dengan kamu berdua. Jadi… dia nak kamu jadi menantu dia.”

“Hah? Takkanlah nak kahwin dengan kami berdua serentak!” Soal Qairyna kebingungan. Tak pernah dibuat orang ni! Pelik! Pelik!

Puan Suri menggelengkan kepalanya. Sampai di situ fikiran budak ni?

“Bukan macam tu! Cuma salah seorang aje. Antara Ryn atau Sara.”

“Ryn tak nak.” Cepat sahaja Qairyna menolak. Masakan tidak? Dia sendiri dah ada pilhan hati. Takkanlah nak terima sebulatnya cadangan mama tu?

“Sara pun.”

“Kenapa? Kamu berdua dah ada yang punya ke?” Soal Puan Suri sambil memandang anaknya seorang demi seorang.

Qairyna memandang Qaisara sekejap. Qaisara juga. Dia meneguk liur perlahan. Pastinya aku yang kena nanti. Kak Ryn dah ada Nadzri. Aku..? Sudah! Aku pun tak nak kalau macam ni!

“Ryn? Sara? Kenapa diam? Nak juga mama dan papa tahu. Kalau salah seorang dah ada, seorang lagi mesti menerima anak kawan mama.” Putus Tengku Qhai.

Qaisara sudah diam tidak terkata. Kan aku dah cakap… Yang kena mesti aku! Apa aku nak buat sekarang ni! Matilah aku! Qairyna memandang Qaisara. Sebenarnya masing-masing sudah serba salah. Qairyna nak mengaku, tapi… kesian pulak dekat Sara. Macam mana ni?

“Papa tanya tu… kenapa diam aje ni? Ryn? Sara?” Puan Suri juga mahukan kepastian. Tak sabar rasanya nak tengok dua-dua anaknya ini naik pelamin.

“Kami berdua masih tak ada siapa-siapa mama. Tapi…” Qairyna memandang adiknya yang sudah kelihatan serba tak kena itu.

Qaisara pelik. Apa yang cuba Qairyna sampaikan? Nak suruh aku kahwin dengan anak kawan mama? Aku pun tak nak!

“Tapi?” Soal Puan Suri dan Tengku Qhai serentak.

“Tapi… kami nak kahwin serentak. Kalau salah seorang masih tak ada calon, ataupun salah seorang dah ada calonnya… kami berdua kena tunggu kakak atau adik. Kita orang nak kahwin sama-sama.”

Jelas riak wajah Qaisara seolah-olah baru melepaskan nafas kelegaan. Qairyna tersenyum memandang adiknya itu. Dia tahu… Qaisara serba salah.

Mereka berdua memang kembar seiras. Tetapi perwatakan mereka berbeza. Qaisara sangat lemah lembut orangnya. Tegas bila perlu sahaja. Sedangkan Qairyna keras kepala orangnya. Berlembut bila perlu sahaja. Sangat ketara perbezaannya.

Namun mereka mempunyai persamaan yang ketara juga. Saling menyayangi antara satu sama lain. Saling bersandaran antara satu sama lain. Saling memahami jiwa masing-masing.

“Betul, ma. Sara dan Kak Ryn dah janji. Sebelum kitaorang SPM lagi. Kan Kak Ryn?” Qaisara cuba membela diri.

Qairyna menganggukkan kepalanya. Yang ni memang tak tipu. Tapi… bila dah tamat pengajian Diploma, mereka dah sepakat untuk melenyapkan janji itu memandangkan Qairyna senang rapat dengan kawan lelaki dan Qaisara susah nak rapat dengan kawan lelaki.

“Okey. Kalau macam tu, mama akan suruh kawan mama tunggu.”

“Hah?” Serentak mereka berdua bersuara! Ada saja idea mama. Padahal mereka dah bagi macam-macam alasan. Susahnya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience