BAB 9

Romance Completed 11879

DI dalam bilik, masing-masing saling termenung. Macam mana ni… mama ni kan… Langsung tak bagi peluang untuk kami memilih sendiri.

“Kak Ryn… macam mana ni?”

Keluhan kecil dilepaskan. Sebenarnya dia juga bingung dengan keptusan mama itu. “Entahlah. Ryn pun tak tahu dah nak buat macam mana.”

“Kak Ryn dah ada pilihan sendiri. Jadi… Sara yang sepatutnya menerima lamaran kawan mama tu.” Qaisara mengalah.

“Apa yang Sara merepek ni? Ryn tak sukalah! Sara berhak memilih sendiri. Jangan nak berserah aje pada takdir.” Dia mengetap bibir geram. Mana boleh senang-senang nak mengalah! Mengalah bukan prinsip dia!

“Sara tak kisah pun, Kak Ryn. Asalkan mama dan papa bahagia.”

“Macam mana dengan kebahagiaan Sara? Ryn tak suka! Kalau Ryn bahagia, Ryn nak Sara pun bahagia! Kali ni Ryn nak kita janji semula. Ryn takkan kahwin kalau Sara tak kahwin. Kita kahwin serentak.”

Qaisara serba salah. Jika mereka berjanji semula, bermaksud kakak kembarnya itu perlu menunggu. Tak boleh! Kesian Kak Ryn!

“Kak Ryn… jangan macam tu! Kak Ryn kan dah ada pilihan. Bukan macam Sara.”

“Ryn tak kira! Lantaklah kali ni! Ryn tak nak Sara terima lamaran kawan mama tu! Entah macam mana orangnya kita tak tahu! Kalau Sara nak, Ryn boleh carikan calon untuk Sara.”

Pulak? Aku tak nak! Aku belum bersedia untuk kahwin!

“Tapi… Sara belum bersedia, Kak Ryn. Sara masih muda. Dan Sara pernah cakap pada Kak Ryn, kan? Sara hanya akan menerima orang yang cintakan Sara. Bukan orang yang Sara cintai.”

Diam. Masing-masing saling mendiamkan diri.

“Kak Ryn kahwinlah dulu. Sara tak kisah pun.”

“Tak nak! Ryn nak kahwin serentak dengan Sara.” Qairyna tetap dengan keputusannya.

“Jangan buat Abang Nadzri tertunggu-tunggu, Kak Ryn. Dia dah lama tunggu Kak Ryn. Jangan biarkan dia terlepas peluang sekali lagi.”

Qairyna mengerutkan dahi sendiri. Macam mana pulak boleh timbul pasal Abang Nadzri ni? Oh, takkanlah dia masih ingat apa yang aku cerita pada dia dulu? Huhu… Macam mana ni? Nak cakap ke tidak? “Sara…”

“Hmm?”

“Sara ingat lagi tak pada Zaarif?”

“Ingat. Kenapa?”

“Sara sukakan Zaarif kan?”

Sara ketawa kuat.

“Apa Kak Ryn merepek ni? Sara dah lama buang perasaan Sara pada Zaarif. Dulu… time tu Sara masih budak-budak. Tak tahu nak menilai mana yang baik mana yang tak. Sekarang Sara dah besar. Sara dah boleh fikir dengan baik. Dan Sara hanya nak kahwin dengan orang yang cintakan Sara. Bukan dengan orang yang Sara cintai.”

“Macam mana kalau orang tu cintakan Sara dan Sara cintakan orang tu?”

“Kalau yang tu, memang yang Sara nak sangat-sangat. Tapi Sara tak pernah bercinta. Sara tak pernah cintakan seorang lelaki. Jadi… Sara hanya akan terima orang yang mencintai Sara. Yang menyayangi Sara.”

“Zaarif?”

“Kak Ryn… tu cinta monyet. Sara bodoh lagi masa tu. Bila Kak Ryn ada boyfriend, Sara pun nak ada boyfriend. Sara memang bersalah sangat pada Kak Ryn.”

“Betul ke?”

“Ya… mungkin masa tu Sara keliru. Bila Zaarif sukakan Kak Ryn, Sara pun ingat Zaarif sukakan Sara. Itu silap Sara. Akhirnya tak pasal-pasal kita gaduh, kan? Menyesal sungguh Sara, Kak Ryn. Sampai sekarang pun masih terasa kekesalannya.”

“Berbalik kepada cerita kita dengan mama tadi. Habis tu, sekarang ni macam mana? Kalau mama paksa Ryn?”

Qaisara tersenyum.

“Kak Ryn percayalah. Mama takkan paksa Kak Ryn. Apa yang penting… Kak Ryn berterus terang dengan mama dan papa yang Kak Ryn dah ada pilihan hati.”

“Macam mana dengan Sara?”

Sungguh, hatinya tak sedap. Sanggupkah dia bahagia di atas penderitaan kembarnya itu? Dia kahwin kerana cinta. Sedangkan kembarnya itu kahwin kerana terpaksa!

“Kan Sara dah cakap… Sara redha dengan ketentuan Allah.”

“Itu bukan redha namanya, Sara. Itu pasrah! Redha adalah ikhlas. Dan pasrah adalah terpaksa! Dua perkara yang berbeza.”

Dia menganggukkan kepalanya perlahan.

“Ya… jika pasrah adalah ayat yang sesuai, Sara pasrah aje.”

Keluhan kecil dilepaskannya. Setelah berfikir sejenak, dia kembali bersuara. “Ryn akan bincang dengan mama.” Qairyna tetap dengan keras kepalanya.

“Tak payahlah Kak Ryn. Nanti serabut pulak kepala mama. Yang Sara takut, papa akan melenting. Lain pulak jadinya nanti.”

Kali ini Qairyna pula yang mengangguk. Betul tu! Mama tak apa lagi! Tapi papa… sekali mengamuk, boleh runtuh rumah ni!

“Macam nilah… apa-apa pun Ryn nak bincang dulu dengan mama. Kalau mama setuju, Ryn akan carikan calon untuk Sara.”

“Merepeklah Kak Ryn ni. Calon Kak Ryn tu, belum tentu Sara setuju.”

“Belum cuba belum tahu!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience