Seraut wajah itu dipandangnya lama. Bukannya dia tidak tahu yang Qairyna sukakan Nadzri. Sejak pertemuan semula Qairyna dan Nadzri, kakak kembarnya itu kerap bercerita pasal lelaki itu. Dan dia tidak mahu dituduh sebagai perampas lagi! Cukuplah sekali!
Pandangannya jatuh tepat di seraut wajah itu. Sepasang anak mata Qaisara dipandangnya lama. Tidak Qaisara! Aku tahu membezakan kamu berdua. Dan aku tahu… aku sukakan kau, Qaisara! Bukan Qairyna!
“Nope! Salah!” Ringkas jawapannya.
Qaisara mengerutkan dahinya. Kenapa pulak dengan lelaki ini?
“Saya bukan datang sini untuk melepaskan rindu saya pada Qairyna. Tapi saya datang sini sebab nak ubatkan rindu saya pada Qaisara. Saya cintakan Qaisara. Bukan Qairyna! Awak buat saya jatuh cinta pada awak, Sara.”
Hampir terngadah dia dibuatnya. Mamat ni jatuh cinta pada aku? Merepek! Tak masuk akal betullah!
“Saya rasa awak keliru Encik Nadzri. Disebabkan wajah kami serupa, awak tak nampak perbezaan antara kami berdua.”
“Saya tahu awak berdua berbeza, Sara. Sekali pandang saya dah dapat bezakan yang mana Qaisara, yang mana Qairyna. Saya sukakan awak sejak saya percikkan air lompak itu pada awak, Sara.” Dia memandang seraut wajah yang tenang itu.
“Saya dah nampak perbezaannya masa tu. Dan saya dapat bezakan peribadi awak dan Qairyna. Saya sukakan awak. Bukan Qairyna.”
Qaisara terpana sekejap. Kali pertama! Ya, kali pertama seorang lelaki meluahkan isi hati, perasaan cinta kepadanya. Dia meneguk liur perlahan. Anak mata itu dipandang lama. Dia nampak keikhlasan pada seraut wajah itu. Sara… jangan berangan! Jangan biarkan perasaan menguasai diri.
Dia mengeluh sambil mencebik perlahan.
“Maaflah, saya tak sukakan awak. So, awak dah boleh pergi. Saya tak nak jumpa awak lagi.” Dia meletakkan kata putus. Semakin dia bertemu lelaki ini semakin hatinya akan terluka. Cukuplah sekali dia pernah terluka!
“Awak menghalau saya ke?”
Dia tengadah sekejap. Er… aku tak ada niat nak menghalau dia pun. Dia terasa ke? Aduh… macam mana ni? Rasa bersalah menghantui dirinya.
“Mana ada saya halau. Saya cuma suruh awak pergi sebab hari dah lewat. Cuba tengok jam. Dah dekat pukul tujuh, kan?” Dia berlagak selamba. Seperti tak pernah berlaku apa-apa. Seperti tak pernah mengucapkan kata-kata seperti tadi.
Nadzri tersenyum. Kekalutan Qaisara jelas nampak pada seraut wajahnya. Ini satu lagi perbezaan antara Qaisara dan Qairyna. Dia benar-benar sukakan Qaisara yang kalut ini!
“Esok saya akan datang ke sini lagi.”
“Maaflah, esok dan hari-hari akan datang saya dah tak nak datang sini lagi.”
Beg dan buku-bukunya dicapai. Anak matanya memandang sekilas ke arah pokok di sebelahnya. Maaf ya pokok… esok dan hari-hari akan datang aku tak akan temankan kau lagi. Aku dah tak nak datang sini. Bukan sebab aku tak suka kau. Tapi… sebab aku tak nak jumpa lelaki ni lagi.
Dia terus mengorak langkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Membiarkan lelaki itu terpinga-pinga sendiri. Maafkan aku, Nadzri. Aku tak boleh mencintai kau. Sebab aku tahu Kak Ryn sukakan kau.
Tangan kirinya memangang dada sendiri. Sakit sungguh perasaannya bila terpaksa menipu seperti ini. Ya, dia tahu! Dia juga sukakan lelaki itu. Tapi… tak mungkin dia akan meluahkan seperti dia meluahkannya kepada Zaarif suatu ketika dulu. Cukuplah sekali!
Share this novel