Qaisara tersenyum lebar. Lega hatinya bila suaminya mengungkapkan kata-kata seperti itu. Diluar jangkaannya.
“Jadi… macam mana abang boleh menurut?”
“Bila mama tunjukkan gambar majlis pertunangan tu.”
Qaisara tersenyum lagi.
“Sara pun. Terkejut sangat bila nampak abang depan mata Sara masa kat majlis kita semalam. Rasa macam nak pengsan aje.”
“Sara cintakan abang?”
Dia terpana sekejap dengan soalan itu. Kepalanya diangguk perlahan sambil anak matanya tepat memandang mata suaminya. Hmm… lama! Lama sangat! Sejak abang cakap yang abang sukakan Sara dulu. Dia bersuara di dalam hatinya.
“Kenapa Sara mengelak dari abang? Puas abang cari Sara. Tapi… abang tak tahu Sara tinggal kat mana.”
Qaisara tersenyum lebar. Ingatkan dia dah terus lupakan aku. Rupa-rupanya dia pun cari aku! “Sebab… Sara ingat Kak Ryn sukakan abang.” Dia berterus terang. Takut sebenarnya… tapi dia tahu, dia perlu meluahkannya.
“Ya, abang memang rapat dengan Ryn. Masa Ryn diploma dulu. Masa tu abang jadi MPP universiti sekali dengan Ryn. Ryn banyak ceritakan pasal kembarnya. Dan kebetulan… abang terlanggar lopak air kat depan pagar fakulti. Masa tu kali pertama abang jumpa kembar Qairyna. Dan ketika itu… abang dah jatuh cinta pada dia.”
Qaisara sudah tergelak perlahan apabila mengingatkan kenangan dulu. “Sebab tu abang sanggup cari Sara kat padang yang luas tu?”
“Hmm…” Dia mengangguk perlahan. “Nasib baik jumpa. Kalau tak, memang abang menyesal seumur hidup la jawabnya. Kalau Sara nak tahu, abang dah hampir putus asa. Tapi tiba-tiba abang nampak perca kain. Was-was jugak sebenarnya. Tapi abang mencuba nasib. Dan… itulah Sayang.”
“Macam mana abang tahu perbezaan Sara dan Kak Ryn.”
“Kali pertama pandang Sara, abang dah dapat bezakan. Sangat ketara perbezaannya. Dan abang perhatikan sayang masa sayang tidur menyandar pada pokok besar tu. Masa tu, makin kuat hati abang cakap yang abang sukakan sayang.”
Qaisara sudah tegelak besar.
“Abang tahu tak? Masa tu Sara ingat abang ni salah satu daripada lembaga yang orang cakap-cakap tu! Takut Sara! Dahlah Sara sorang-sorang!”
“Jadi… kenapa Sayang tak mengaku yang Sayang pun cintakan abang masa tu?”
Merah padam mukanya sekejap. Ya Allah, malunya… Dia menarik nafas perlahan.
“Sara tak nak lukakan hati Kak Ryn sekali lagi. Sara rasa abang dah tahu cerita pasal suami Kak Ryn tu kan?”
“Hmm… Ryn ada ceritakan pasal Zaarif.”
“Hah, sebab tulah Sara tak nak jadi perampas cinta Kak Ryn lagi. Masa abang percikan air lopak tu, Sara ingat abang adalah lelaki yang Kak Ryn selalu cerita tu. Tapi tak sangkalah pulak… Lelaki yang Kak Ryn cerita tu sebenarnya memang Zaarif. Kak Ryn pun tak cerita sepenuhnya pada Sara. Mungkin Kak Ryn takut Sara terasa hati.Padahal Sara tak cintakan Zaarif pun sebenarnya. Sara cuma…”
Kata-katanya terhenti di situ apabila bibir suaminya sudah mendarat di bibirnya.
Share this novel