Langkah Damia terasa ringan selepas meninggalkan dewan peperiksaan terakhirnya. Hatinya berkecamuk antara lega dan kosong. Lega kerana tamat sudah perjuangan bertahun-tahun, tetapi kosong kerana tidak sempat mengucapkan selamat tinggal kepada satu-satunya sahabat lama yang begitu bermakna — Marina.
Damia mengeluarkan telefon bimbit iPhone 4 miliknya. Jari-jemarinya ingin menekan nama “Marina” di dalam senarai kenalan, namun entah kenapa, hatinya teragak-agak. Dia membatalkan niat itu dan mula melangkah ke arah kolej kediaman. “Biar aku beri kejutan. Mungkin dia masih di bilik.” Bisik hati Damia.
“Assalamualaikum, Ina…” ucap Damia perlahan, hampir berbisik sebaik sahaja tiba di depan pintu bilik lama mereka. Perlahan dia menolak daun pintu — kosong. Ruang itu sunyi dan sepi. Tidak ada satu pun barang peribadi Marina di situ. Damia terdiam. Matanya liar mencari sesuatu, mungkin nota, mungkin sepucuk surat, mungkin apa saja yang ditinggalkan — tiada.
Cepat-cepat dia mengeluarkan semula telefon bimbitnya dan mendail nombor Marina. Namun hanya suara operator yang menjawab: “Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi.”
“Rindunya aku pada kau, Ina… Entah bila kita akan bersua lagi.” ucap Damia sambil menggenggam telefon erat. Hatinya pilu. Satu kehilangan yang tak sempat diucapkan selamat tinggal.
Dia segera meninggalkan kampus UKM Bangi dan menuju ke Terminal LCCT seperti yang telah diuruskan oleh Dato’ Razak. Lelaki itu terlalu baik padanya, terlalu murah hati membayar semua kos perjalanan. Pernah juga terlintas perasaan curiga, namun dia menepisnya. “Tak mungkin… tak mungkin Dato’ Razak ambil kesempatan. Aku percaya keikhlasannya.”
Pesawat AirAsia berlepas tepat mengikut jadual. Damia memandang keluar tingkap. Awan putih bergumpal-gumpal di langit biru. “Mungkin ini kali terakhir aku jejak bumi Kuala Lumpur… Selepas ini, dunia pekerjaan menanti.” Hatinya berbisik lagi. Air mata yang cuba ditahan akhirnya menitis juga. “Ina… semoga kita bertemu semula, sahabatku…”
Setibanya di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Asma sudah pun menunggunya. Wajah ceria Asma berbeza benar dengan wajah sugul Damia.
“Cik Damia, kenapa muram je? Tak dapat jawab soalan tadi ke?” usik Asma.
“Tak ada apalah, Asma. Mungkin sebab terlalu emosional… saya tak percaya saya dah tamat pengajian.” Damia senyum nipis, menyembunyikan luka rindu dalam hati.
Asma ketawa kecil. “Cik cantik sangat bila senyum. Bertuahnya Encik Iqwal dapat kekasih macam cik.”
“Kekasih?” Damia mengerutkan dahi. “Apa yang awak merepek ni, Asma? Saya tak kenal pun siapa Encik Iqwal tu.”
Asma terlopong. “Eh, tadi pagi Encik Iqwal datang pejabat bawa sejambak bunga ros merah untuk cik. Kalau cik tak kenal dia, kenapa dia tahu cik suka bunga ros?”
Damia terdiam. “Mungkin dia nak raikan saya… saya kan baru habis exam.”
“Maybe la… tapi saya rasa lain macam je…” Asma menjeling sambil tersengih.
Sebaik sampai di pejabat, suasana menjadi meriah. Satu majlis kecil-kecilan diadakan sempena tamat pengajian Damia.
“Congratulation, Damia!” ucap Dato’ Razak sambil mengangkat tangan.
“Terima kasih, Dato’. Tak perlu la susah-susah buat majlis begini…” Damia tersipu.
Dato’ Razak tersenyum. “Ini tradisi pejabat kita. Dan hari ni ada kejutan lain juga. Damia, mulai hari ini… awak dilantik sebagai Pengurus Projek RZ Sdn. Bhd.”
Damia terpempan. Nafasnya seakan tersekat. “Tapi Dato’… saya rasa saya tak layak. Saya masih baru…”
“Damia, I percaya dengan kebolehan you. Semua staff pun setuju. You layak, dan ini adalah rezeki hasil usaha you sendiri.”
Kata-kata itu mengingatkan Damia kepada nasihat ibunya ketika dia berada dalam kurungan Irfan dahulu. Damia segera menunduk dan membisikkan doa, “Ya Allah… Engkau Maha Mengetahui… Terima kasih atas nikmat ini.” Lalu dia sujud syukur dalam hatinya.
“Asma, ini kunci bilik Damia. Buat sementara awak jadi pembantu saya, ya.” ujar Dato’ Razak lagi. Asma sekadar mengangkat ibu jari tanda setuju.
Kemudian, lebih mengejutkan…
“Damia, ini kunci kereta. Persona milik syarikat. Supaya you tak perlu lagi kejar teksi.” Ujar Dato’ Razak sambil menghulur kunci.
“Terima kasih, Dato’…” ucap Damia, hampir sebak.
Sebaik tiba di rumah, Damia meluru ke dalam sambil melaung, “Mak… oh mak!”
Mak Piah keluar dari dapur dengan wajah bingung. “Apa hal kau ni Mia? Itu kereta siapa? Jangan main-main, Mia…”
“Mak, kereta tu kereta pejabat. Saya baru dilantik jadi pengurus projek, mak. Alhamdulillah…”
Mak Piah terus memeluk anaknya. “Syukur ya Allah… syukur…”
“Terima kasih, Encik Irfan, sebab bantu saya. Kalau bukan kerana Encik, saya tak tahu macam mana nak lunaskan hutang arwah ayah saya.” ucap Damia kepada Irfan yang muncul dari taman.
“Baguslah. Lagi cepat kau langsaikan hutang tu, lagi cepat aku tak perlu tengok muka kau.” jawab Irfan sinis seperti biasa. Damia tidak ambil hati. Hatinya sudah kebal.
Sebelum tidur malam itu, Damia cuba menenangkan jiwanya. Namun kata-kata Irfan siang tadi terngiang-ngiang: “Aku nak isteri aku selesa di rumah ni.”
Isteri?
Kata itu menggoncang hati Damia. “Ya Allah… kenapa dada ini sesak? Kenapa nama dia buat jantung aku berdetak laju? Mustahil… aku bencikan dia… Tapi kenapa rasa ini lain?”
Damia gelisah. Akhirnya, dia bangkit dan mengambil wudhu’. Dia bentangkan sejadah dan menunaikan solat istikharah.
Dalam sujudnya, dia menangis semahunya.
“Ya Allah… jika dia bukan yang terbaik untukku, jauhkanlah. Tapi jika dia yang Kau takdirkan untukku, tenangkanlah hati ini…”
Share this novel