Mak Piah sedang asyik menonton drama di TV3. Sesuatu yang dahulu hanya menjadi angan-angan. Kalau dulu, dia hanya mencuri-curi menonton di rumah Hajah Jariah sewaktu menghantar duit getah. Itupun sebentar sahaja kerana Pak Mael pasti resah bila Haji Tahar dan Hajah Jariah mula merayu agar mereka tinggal bersama. Mak Piah tak mahu jadi beban. Cukup sekadar menyerahkan hasil kerja jerana sudah banyak keluarga itu membantu mereka.
Tiba-tiba, satu suara memecah kenangan itu.
“Selamat hari jadi, mak… Mia sayangkan mak.” Damia menghulurkan kek yang dibuat sendiri, wajahnya penuh kasih dan harapan.
Air mata Mak Piah gugur tanpa disekat. Dia memeluk Damia erat. “Mia... terima kasih nak. Ini kali pertama mak dengar ucapan macam ni. Mak pun dah tak ingat bila tarikh lahir mak...”
“Mia tak pernah lupa, mak. Cuma... selama ini kita berjauhan. Doa je yang mampu Mia kirimkan.”
“Mak, buka mulut… Mia nak suapkan kek ni.” Dengan lembut Damia menyuap sepotong kek ke mulut ibunya. “Kalaulah ayah masih ada...”
Kebahagiaan itu tak bertahan lama.
Tepuk! Satu tepukan kuat memecah suasana.
“Oh... ini kerja korang ya? Aku bawa kau ke sini untuk lunas hutang, bukan buat pesta! Ini rumah aku, bukan pentas drama. Nak bergembira? Pergi fun fair atau disko! Jangan buat rumah aku macam rumah anak yatim!” tengking Irfan lantang dari belakang.
“Maafkan saya, Encik Irfan. Hari ini hari lahir mak saya... berilah peluang untuk saya raikannya,” kata Damia dengan tunduk hormat.
“Ada aku kisah? Mak kau tu dah nyanyuk, tunggu masa nak mampus! Apa guna sambut hari jadi dia? Sepatutnya dia duduk atas sejadah, bukan bazir duit aku dengan kek bodoh ni!”
Damia menggenggam kekuatannya.
“Encik tak ada hak hina mak saya. Kalau tak puas hati dengan saya, saya boleh pergi. Tapi encik jangan hina keluarga saya. Saya tak pernah minta encik tolong kami. Nah, ambil balik duit encik!”
Damia mencampakkan wang RM300 ke lantai. Air matanya mengalir, tapi dia berpaling tanpa gentar.
“Mia!!” PANG!
Satu tamparan kuat hinggap di pipi Damia. Mak Piah yang menampar. Damia terduduk.
“Mak dah hilang sabar! Berapa kali mak pesan, jangan biadab. Biar orang hina kita, jangan kita hina diri sendiri. Mak memang tua, nyanyuk, tak layak diraikan... tapi jangan sampai kita lupa adab, nak.”
Itulah kali pertama Mak Piah mengangkat tangan pada anaknya. Kata-katanya menusuk jauh ke dasar jiwa Damia.
“Mak... maafkan Mia. Tapi Mia tak tahan lihat mak dihina sebegitu.”
“Cukup, Damia! Kau memang nak mak mati kan?!”
Mak Piah mencapai pasu bunga. Ingin memecahkannya ke kepalanya sendiri. Namun Irfan cepat bertindak — dia merampas pasu itu dan memeluk Mak Piah.
Damia terkejut. “Kenapa dia selamatkan mak? Apa sebenarnya dalam hati lelaki ini?”
Namun sangkaannya musnah.
“Orang tua! Nak mati pun jangan jahanamkan pasu mahal aku! Ini pasu mak aku beli dari China, tahu? Kalau pecah, siapa nak ganti?!”
Semua terjawab. Dia bukan selamatkan nyawa, tapi menyelamatkan harta. Damia rebah dalam kecewa.
Dia segera memeluk ibunya. “Mak… maafkan Mia. Mia janji tak ulangi lagi.”
Mak Piah menangis lagi. “Kita cuma menumpang, Mia. Kalau tak kerana Encik Irfan… mana kita nak bayar hutang ayah kamu?”
Damia hanya mampu mengangguk. “Baik, mak… Mia janji.”
Dia menoleh pada Irfan. “Encik Irfan… saya mohon maaf. Saya merayu bagi pihak mak saya juga…”
Irfan tidak menjawab. Dia hanya tersenyum sinis, puas kerana Damia akhirnya tunduk.
“Mana hilangnya ego kau, perempuan…” bisik hati kecil Irfan.
“WOI! Tak habis lagi ke drama kau tu? Aku lapar ni!” jerit Irfan dari dapur.
Damia segera bangkit dan ke dapur. Irfan makan seperti tiada apa yang berlaku. Damia berdiri seperti dayang melayan raja. Usai makan, Irfan menyimbah air sirap ke muka Damia.
“Air manis sangat ni! Semalam masin, hari ni manis. Kau ni kenapa hah?”
“Maaf encik... saya dah rasa tadi... rasanya biasa saja.”
“Kalau bukan kau, siapa yang masukkan gula? Gula tu masuk sendiri?! Dasar bodoh!” Irfan meluru naik ke tingkat atas, meninggalkan Damia membersihkan kekotoran tersisa.
Damia menangis dalam diam.
“Ya Allah… hanya pada-Mu tempatku mengadu. Terima kasih kerana tak pernah tinggalkan aku. Ujian ini tanda kasih-Mu.”
Di ruang tamu, Mak Piah masih teresak-esak. Damia tahu, kalau pujuk makin panjang. Biarlah Mak Piah tenangkan diri.
Namun Irfan muncul semula.
“Hei perempuan. Mulai esok, kau tak perlu kerja kat rumah aku ni.”
Damia terkejut. “Betul ke, Encik? Saya... saya dah bebas?”
Air matanya berubah menjadi air mata gembira. Akhirnya doanya termakbul…
“Betullah. Tapi bukan bebas macam kau fikir. Mulai esok, kau ikut aku. Kerja kat dalam rumah ni, biar mak kau uruskan. Aku ada kerja lain untuk kau.”
Dunia Damia gelap semula.
“Kerja baru? Encik… tolong jangan paksa saya buat benda bukan-bukan. Jangan jual saya…”
“Tak perlu tanya! Naik atas, tukar baju. Aku nak kau ubah rupa nenek kebayan kau tu.”
Damia hanya mampu menurut. Dalam hatinya, dia hanya mampu berdoa agar Allah melindunginya.
________________________________________
Di Butik Busana Muslimah, East Coast Mall, Damia berdiri terpinga-pinga. Irfan memilih beberapa helai jubah moden.
“Aku baru dapat kerja sesuai untuk kau. Pilih mana yang berkenan, aku bayarkan.”
Kata-katanya tenang dan lembut. Tiada lagi herdikan. Seperti seorang sahabat.
“Kenapa tiba-tiba dia jadi baik? Apa sebenarnya pekerjaan aku nanti?”
Damia hanya menunduk. Dia ikut ke salon pula — rawatan spa mewah, wajahnya disolek profesional.
“Baru nampak cantik. Aku nak kau kekal macam ni. Tak kira di mana kau berada.”
Damia hanya mengangguk. Hatinya berdebar. Dia tak biasa dengan solekan. Wajahnya terasa berat. Tapi dia tidak melawan. Dia tahu… hidupnya kini bukan lagi miliknya sendiri.
"Ya Allah... apapun takdirku, kuatkanlah aku..."
Share this novel