Bab 5

Drama Series 68

“Assalamualaikum…” sapa seorang gadis dengan suara lembut, menegur Rizal yang sedang duduk sendirian di parkir Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Rizal menoleh. Namun, sebaik terpandang wajah gadis itu, dia tergamam. Pandangannya seolah-olah tertancap pada orang asing. Sedangkan dia kenal benar suara itu — suara Marina, kekasihnya. Tapi hari ini... Marina bukan Marina yang dikenalnya.
Wajah itu bersih tanpa calitan mekap tebal. Tudung bawal putih terletak kemas menutupi kepala. Kebaya hitam putih yang sederhana itu menyerlahkan kelembutan yang dulunya hilang dalam sorotan gaya hidup moden. Marina… berubah. Terlalu drastik.
“Awak…” Marina memulakan bicara, tenang dan yakin, “Saya datang hari ini bukan untuk bersama awak... tapi untuk minta kita berpisah.”
Rizal masih tidak mampu bersuara. Dia menatap, seolah-olah menunggu penjelasan lain yang lebih logik.
“Assalamualaikum, awak… awak dengar tak apa yang saya katakan tadi?” ulang Marina.
“Eh? Apa yang… you cakap tadi?” balas Rizal, teragak-agak.
“Saya rasa lebih baik kita berpisah dulu. Kalau betul-betul ada jodoh antara kita, insya-Allah… kita akan bersatu juga. Tapi bukan macam ni. Bukan dalam keadaan saya menjadi fitnah orang. Kalau betul awak cintakan saya… hantarlah rombongan meminang. Saya sedia.”
Rizal menggeleng. “What? Pinang you? Sekarang? Gila ke? I belum kerja lagi. I betul-betul sayang you. Tapi I musykil, macam mana awak boleh berubah macam ni? Hantu mana masuk dalam badan you ni?”
Marina senyum nipis. “Bukan hantu, Rizal. Tapi hidayah. Allah masih sayangkan saya… sebelum saya tersesat lebih jauh. Kalau awak betul-betul ikhlas, awak tahu apa perlu buat. Assalamualaikum.”
Dia berpaling, meninggalkan Rizal yang masih terpinga-pinga. Kereta Honda Jazz hitam itu meluncur pergi, menghilang bersama kenangan lama.
“Marina! Wait! Listen to me first!” jerit Rizal, tapi Marina tidak menoleh walau sekali.
________________________________________
Malam itu, Rizal tak mampu melelapkan mata. Bayangan Marina bertudung putih dan bersih menghantui fikirannya. Dahulu Marina gadis seksi, gedik, penuh keangkuhan — kini seperti bidadari. Dia tak tahu samada mahu gembira atau kecewa.
“Layakkah aku untuk dia?”
Namun cepat-cepat dia membuang rasa itu. “Ala, aku kenal Marina. Sekejap saja tu. Hangat-hangat tahi ayam. Esok lusa pakai balik jeans ketat dia tu. Tudung? Tunggu je dia bosan.”
Dia mencapai iPhone 14, menaip mesej:
“Awak, apa salah saya? Kenapa nak putuskan hubungan kita? Kalau saya ada silap, maafkan saya. Awak nampak cantik sangat hari ni.”
Dihantarnya kepada Marina.
Beberapa minit kemudian, Marina membaca mesej itu. Tetapi dia hanya senyum — lalu mematikan telefonnya.
“Maafkan aku, Rizal. Bukan aku tak cintakan kau… tapi aku tak mahu terus menjadi dosa berjalan. Kalau betul kau ikhlas, buktikan. Jangan buat aku murah hanya kerana aku sayang.”
________________________________________
Rizal menggenggam telefonnya. Panggilannya tidak dijawab. Mesejnya dibaca tapi tiada balasan. Panas. Marah. Bingung.
“Apa yang kau nak sebenarnya, Marina? Tak cukup baik ke aku ni? Kau ada orang lain ke? Ustaz? Budak pengajian Islam ke yang kau gila sangat tu?”
Dia mencapai dompet, menarik keluar gambar Marina. Lama dia tenung.
“Wajah kau hari ni… jauh lebih cantik dari gambar ni, Ina.” bisiknya perlahan.
Satu keluhan berat dilepaskan. Dan buat pertama kali, Rizal bertanya pada dirinya sendiri — adakah cinta itu cukup… jika tiada iman yang memimpinnya?
________________________________________
Sementara itu, di Bukit Istana, Damia sibuk menyediakan sarapan. Tangannya lincah di dapur banglo mewah itu, tapi hatinya entah di mana. Sudah sebulan dia menjadi pembantu rumah tanpa gaji. Tapi dia reda — kerana di situlah dia dan Mak Piah berlindung dari bahaya.
Namun, hidup bersama Irfan tidak mudah. Lelaki itu keras, angkuh, dan penuh caci maki. Setiap hari, pasti ada kata-kata pedih dilontarkan padanya. Tapi Damia bertahan. Kerana dia tahu, walaupun Irfan berkasar, dia tidak pernah menyakiti mereka secara fizikal sejak dia tinggal di situ.
“APA PUNYA MASAKAN NI? MASIN NAK MAMPUS!”
Jeritan Irfan bergema dari ruang makan.
“Maaf, encik. Tadi saya dah rasa. Rasa macam cukup aje…” jawab Damia, gugup.
“Kalau cukup kenapa macam air laut ni hah? SENGAJA NAK SAKITKAN HATI AKU?”
Tanpa amaran, segumpal duit RM300 dicampak ke mukanya. Duit itu jatuh bergolek ke lantai. Damia tunduk, ingin mengutip, namun tanpa sengaja — kepala mereka berlaga.
“WOI! BODOH KE APA KAU NI?” jerkah Irfan.
Damia menahan air mata. Tanpa sepatah kata, dia berlalu.
________________________________________
Petang itu, Damia berjalan menyusuri Bandar Kuantan, membeli barang dapur dan ubat untuk Mak Piah. Hari ini hari lahir ibunya. Damia mahu masak istimewa — udang galah masak lemak cili api, makanan kegemaran Mak Piah.
Dia singgah sebentar di cyber café. Sebaik selesai urusannya, dia menuju ke Klinik Lee, kemudian terus pulang ke Bukit Istana.
Sampai di halaman rumah, dia terlihat ibunya sedang mencabut rumput berhampiran kolam ikan koi.
“Mak! Kan Mia dah pesan, jangan buat kerja berat!”
“Mak bosan duduk dalam rumah. Lagipun mak pakai plastik kat kaki ni. Pandai la mak jaga diri.”
Damia mengeluh. Dia tahu ibunya degil. Kalau ditegur, makin panjang hujah Mak Piah. Akhirnya, dia masuk ke dapur — terus menyediakan kek hari lahir.
“Mak, hari ni Mia nak buat kek. Kek khas untuk mak. Semoga Allah panjangkan umur mak, sihatkan mak selalu.”
“Ala, tak payahlah nak susah payah buat kek. Mak ni mana boleh makan manis sangat, Mia.”
“Jangan risau, mak. Mia pandai ubah resepi. Kurang gula, kurang bahaya.”
Mak Piah menggeleng sambil tersenyum.
“Daripada buat kek entah jadi entah tidak tu, baik beli roti Gardenia seketul. Tak menyusahkan, kenyang juga.” Bisik hati Mak Piah.
Tapi dalam hati Mak Piah, dia tahu — itulah kasih anak yang jarang ditunjukkan secara langsung. Dan kek itu, walau tawar sekalipun, adalah manisan paling berharga dalam hidupnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience