Ketukan jari Damia Humaira menari pantas di atas papan kekunci komputer ribanya. Di hadapan, skrin berkelip lembut memaparkan draf tugasan undang-undang, namun fikirannya jauh terbang. Wajah Pak Mael — lelaki tua yang setiap uratnya penuh dengan sejarah pengorbanan — terbayang-bayang di ruang mata. Setiap peluh yang menitis di ladang durian Haji Tahar menjadi saksi betapa seorang ayah sanggup bergolok gadai demi masa depan anak gadisnya.
Ayah… hari ini Mia masih di sini kerana doa ayah. Tapi entah sampai bila langkah ini kuat. Kadang terasa seperti mahu berhenti. Terasa dunia ini terlalu berat untuk dipikul sendiri.
Kalaulah dia mengikut kata hati, mungkin dia sudah lama bekerja di pasaraya sekitar bandaraya Kuala Terengganu, membantu meringankan beban. Tapi suara Pak Mael tak pernah pergi dari benaknya — tegas namun penuh kasih.
"Mia… Ayah tak minta banyak. Cuma satu — ubah nasib keluarga kita. Ayah percaya, Mia mampu."
Itu bukan permintaan. Itu amanah. Itu doa yang terpintal dalam tangis seorang bapa yang hanya memiliki tangan kasar dan kasih tulus sebagai warisan.
Damia tahu, pondok usang yang mereka diami bukan tempat untuk membina cita. Tapi di situlah semangat hidupnya dipupuk. Mak Piah — wanita tabah yang hidup dalam kesakitan akibat diabetes — sering berkata, "Rumah kecil, tapi hati besar." Ya, hati mereka memang besar. Besar dengan impian dan redha Tuhan.
"Kalau boleh, Mia nak jadi cahaya dalam gelap mereka. Tapi kenapa hati ini kadang lelah sangat? Kenapa kadang aku rasa seperti tak cukup baik untuk mereka? Ya Allah… bantulah aku…"
Lamunannya terhenti apabila Marina — rakan sebilik yang ceria dan lantang — menyergah masuk.
"Weh Mia! Apa termenung? Ingat boyfriend ke tadi, sampai aku masuk pun kau tak sedar!" usik Marina sambil menjatuhkan diri ke atas katil.
"Astaghfirullah... Kau ni Ina! Nasib baik aku tak lemah jantung."
Tawa mereka berderai kecil. Marina, pelajar perubatan itu, memang suka menyakat — dia pelangi dalam hari Damia yang selalu kelabu.
"Aku cuma… teringat mak ayah aku. Lama tak balik. Rasa nak balik hujung minggu ni… Musim durian, nak ikut tak?" pelawa Damia sambil tersenyum nipis.
"Durian? Serius?! Let's go! Tapi naik kereta aku, kita boleh sumbat penuh durian bawa balik. Hahaha."
Pagi itu, Damia melangkah ke fakulti dalam jubah merah jambu lembut dan tudung krim yang labuh. Sederhana, tapi ada kemanisan yang sukar dijelaskan. Nota kuliah digenggam erat — itu rutinnya, ulang kaji sebelum masuk dewan.
Namun langkahnya terhenti apabila telefon bimbit lamanya, Nokia 3310, berdering tanpa henti. Dia cuba mengabaikan, tapi panggilan bertalu-talu itu memaksanya menjawab.
Nama yang tertera membuat jantungnya luruh seketika: Haji Tahar.
"Assalamu—"
Belum sempat menghabiskan salam, suara cemas itu menerjah.
"Mia… BAPAK KAU DAH TIADA!"
Telefon terlepas dari tangan. Dunia senyap. Suara sekeliling hilang.
“Tidak… Tidak… Tak mungkin. Ayah kuat… Ayah janji nak datang konvokesyen aku nanti…”
Langkahnya tidak terarah. Air mata mengalir tanpa disuruh. Dia berlari ke hentian bas. Dalam kalut, dia sempat menghubungi Marina melalui telefon awam.
"Ina… ayah aku…"
Talian mati. Syiling habis.
Dalam bas ke Kuala Terengganu, hatinya koyak. Damia menekup wajah dengan lengan. Orang di sekelilingnya diam, mungkin simpati, mungkin hanya pelik.
“Ayah… Maafkan Mia. Mia tak sempat. Kalau Mia tahu… Kalau Mia tahu itu kali terakhir….”
Setibanya di kampung, teksi tua membawanya menyusur jalan berbatu di Kampung Jerung untuk menuju ke pondok yang didiami oleh keluarganya. Pondok kecil itu kini menyimpan satu jasad kaku yang telah dikafankan. Bau kasturi menusuk. Suasana penuh air mata dan kalimah zikir.
"Mak… macam mana boleh jadi ni?"
"Mak pun tak sangka, nak. Ayah kamu kena patuk ular… Mujur Haji Tahar kebetulan lalu di situ."
Damia rebah dalam pelukan Mak Piah. Tangis mereka bersatu, tiada kata, hanya duka.
Malam itu, selepas pengebumian, dalam cahaya malap pelita minyak tanah, Damia membuka diari kecilnya. Ada satu surat yang tak pernah dia poskan. Dia mencoretkannya seminggu lalu tapi tak sempat disampaikan.
________________________________________
"Buat Ayah Tersayang,
Terima kasih kerana terus percaya pada Mia walaupun Mia sendiri kadang goyah. Kadang-kadang Mia penat, ayah. Penat dengan beban hidup, penat dengan pelajaran. Tapi setiap kali Mia rasa nak mengalah, Mia teringat tangan ayah yang kasar dan luka. Tangan yang menggenggam harapan buat Mia.
Ayah… maafkan Mia kalau Mia tak cukup baik. Tapi Mia janji, Mia akan buat ayah bangga suatu hari nanti. Mia akan buktikan bahawa pengorbanan ayah tak sia-sia.
Doakan Mia, ayah. Jangan pernah berhenti. Sebab selagi ayah mendoakan Mia, Mia kuat untuk terus melangkah."
________________________________________
Surat itu basah dek air mata. Damia memeluknya erat.
"Mak… biar Mia berhenti belajar. Biar Mia cari kerja ganti ayah…"
"Jangan!" tegas Mak Piah buat pertama kalinya. Mata Damia membulat.
"Mak tak benarkan impian ayah terkubur. Tinggal enam bulan saja lagi, nak. Mak sanggup jual kuih, mak akan usaha. Tapi Mia… tolonglah habiskan pelajaran. Cuma itu harapan kami."
Damia akhirnya mengangguk, walau berat.
“Ayah… Mak… Doakan Mia terus kuat. Demi kalian, Mia takkan rebah. Biar derita, biar luka, Mia tetap akan terus melangkah.”
content...
Share this novel
dlulu pernah baca edisi asal. tap edisi yg ditambah baik lagi menarik. harap teruskan bekarya. done give up.