Damia mula menunjukkan reaksi bahawa dia akan tersedar daripada pengsan. Mak Piah segera mencapai sebotol air mineral yang ditinggalkan oleh orang suruhan Irfan dan merenjiskannya ke wajah anak gadisnya.
"Mia, bangun nak," bisik Mak Piah, sarat dengan cemas.
Damia mengerang perlahan. Kelopak matanya terbuka sedikit.
"Mak... kita di mana ni? Mia takut..."
"Sabar nak... Mak pun tak tahu kita di mana. Tapi jangan takut, sayang. Ingat Allah, Dia bersama kita..."
Damia memeluk lututnya. Nafasnya laju, matanya meliar meninjau ruang gelap itu. Pandangan itu tertangkap pada jeriji besi dan dinding papan yang lembap dan reput. Hatinya bergelora — antara marah, takut, dan bimbang.
"Mana Syaitan-Syaitan durjana tu, mak? Kalau Mia jumpa, Mia kerjakan dia. Dia ingat Mia ni tak tahu bela diri ke? Mia ada black belt, mak!"
Mak Piah menggeleng perlahan. "Mia, jangan cakap macam tu. Mereka tetap manusia. Mungkin itu jalan mereka cari rezeki — salah, ya. Tapi sumpah seranah tak bawa apa-apa. Mak dan ayah tak pernah ajar Mia begitu."
Damia mengeluh. Tapi wajahnya tetap tegang. "Mak... Mia takut. Kalau dia nak pukul, Mia boleh lawan. Tapi kalau dia... kalau dia..."
"Mia, istighfar sayang. Jangan bayangkan perkara yang belum berlaku. Allah sentiasa bersama kita. Kita doa sama-sama, ya..."
Damia mengangguk perlahan, tapi matanya masih berkaca.
Kreek...
Pintu bilik kurungan dibuka kasar. Kelihatan kelibat Irfan dengan senyuman sinis terukir pada wajah.
"Seronok ke dapat rasa penumbuk aku, tuan puteri? Nah, ambil ni." Satu set dokumen dicampak ke lantai berhampiran Damia.
Damia menyambut dan terus meneliti dokumen tersebut. Matanya pantas membaca setiap klausa. Sebagai pelajar undang-undang tahun akhir, dia cukup arif — surat perjanjian itu sah dari segi perundangan. Pinjaman berjumlah RM15,000 dengan kadar faedah 15% sebulan, kaedah baki berkurangan. Tarikh perjanjian: seminggu sebelum dia berangkat ke UKM.
Air matanya bergenang. Diam-diam dia merintih dalam hati:
Ayah... beginikah beratnya beban yang ayah tanggung demi anakmu? Kenapa ayah tak beritahu Mia? Kita boleh rancang, kita boleh cari jalan...
Seketika, Damia teringat sepucuk surat yang dia tulis seminggu lalu, tetapi tak sempat diberikan kepada Pak Mael. Dalam kepalanya, bait-bait ayat itu bergema:
________________________________________
Ayah yang Mia cinta,
Terima kasih kerana menukar keringatmu menjadi harapan. Terima kasih kerana menjadi lelaki yang tak pernah jemu percaya pada mimpi anakmu ini. Ayah... setiap langkah Mia ke fakulti, setiap hela nafas Mia dalam perjuangan ini, semuanya adalah kerana wajah lelah ayah yang Mia simpan dalam hati. Doakan Mia, ayah. Mia akan pulang membawa kejayaan, bukan sekadar segulung ijazah, tapi maruah keluarga kita yang ayah pertahankan selama ini.
Mia sayang ayah. Sampai syurga.
________________________________________
Air mata Damia menitis. Perlahan dia bersuara:
"Mak... betul. Ayah pinjam duit dari Irfan. Tapi dia buat semua tu untuk Mia."
"Bagus," celah Irfan. "Jadi bila kau nak bayar? Hari ni aku nak RM10,000. Baru aku izinkan kau keluar dari sini."
"Encik Irfan... kami tak ada duit sebanyak tu. Saya masih belajar. Tapi saya janji — saya akan bayar RM3,000 dahulu. Baki saya bayar bulanan, RM250 sebulan."
"Apa?! Kau nak bayar sikit-sikit? Huh! Janji manis kau sama macam bapak kau. Aku tak bodoh, perempuan!"
"Encik... percayalah. Kami tak lari ke mana. Kami tak ada tempat lain. Pondok buruk itu sajalah rumah kami."
Mak Piah terus melutut dan memeluk kaki Irfan. "Nak... tolong lepaskan anak makcik. Biar makcik ganti... jadi hamba pun tak apa..."
PANG!
Satu tamparan kuat hinggap di pipi Mak Piah. Dia terjelupuk ke lantai.
"Hoi perempuan tua! Jangan berangan! Kau nak jadi hamba aku? Muka kau pun buat aku nak muntah. Tapi anak kau tu... fuh, masih bergetah. Mungkin dia boleh bagi untung lumayan..."
Damia menjerit dan terus menerpa.
DUSSS!
Satu tumbukan padu hinggap tepat ke muka Irfan. Lelaki itu mengerang dan terdorong ke belakang.
"Celaka kau! Nahas kau lepas ni!" jerit Irfan, terus keluar dan mengunci pintu dari luar.
Damia segera mendapatkan Mak Piah.
"Mak... mak okay?"
"Mak okay, tapi... kenapa Mia buat macam tu..."
"Mak! Mereka dah melampau. Mia tak boleh biarkan!"
Mak Piah menggeleng. "Mia... api kalau disiram minyak, makin marak. Mak tak mahu bergaduh dengan Mia. Fikirlah sendiri."
Damia tunduk. Air matanya menitis. Dia tahu, kata-kata mak benar. Tapi naluri sebagai anak tak boleh dibendung.
________________________________________
Sementara itu, di kolej kediaman UKM, Marina terus resah. Sudah seminggu Damia menghilang. Panggilan tak berjawab. Tiada khabar. Hatinya digamit kebimbangan.
"Mia... apa dah jadi dengan kau?"
Kenangan bicara mereka terngiang-ngiang:
"Mia, kau ni cantik. Kenapa tak bercinta?"
"Ayah hantar aku ke sini untuk belajar, bukan bercinta. Kalau kita cari redha Allah, cinta akan datang sendiri."
Kini, Marina berdiri di hadapan meja belajar Damia. Dia membuka tafsir Al-Quran milik sahabatnya itu — kali pertama dalam hidupnya. Hatinya bergetar membaca bait-bait terjemahan.
“Oh inilah rahsia ketenangan kau, Mia. Inilah yang aku cari selama ini.”
Air mata Marina gugur. Tangannya menyentuh bingkai gambar Damia sekeluarga. Dalam diam dia berdoa:
"Mia... aku tunggu kau pulang. Demi persahabatan kita. Demi kebenaran."
Share this novel