Bab 17

Drama Series 68

Damia masih lagi dirawat di pusat perubatan. Menurut doktor yang merawatnya, keadaannya kini semakin stabil. Sejak kemalangan itu, bilik wad Damia tidak pernah sunyi daripada kunjungan rakan-rakan pejabat yang datang melawat. Namun, Damia makin terasa jemu. Bukan dia tidak menghargai keprihatinan mereka, tetapi kunjungan yang berterusan membuatkannya letih.
“Mak, Mia dah jemu duduk hospital ni. Rasanya Mia dah sihat. Mak cubalah tanya doktor bila agaknya Mia boleh keluar. Lagipun Mia rasa bersalah kawan-kawan asyik datang jenguk Mia. Susahkan mereka je,” luah Damia dengan nada lemah.
Mak Piah yang duduk di sisi katil hanya menggeleng perlahan.
“Uish, kau ni nak. Tak baik cakap macam tu. Menziarahi orang sakit tu sunat dan sangat digalakkan dalam Islam. Bukan masa sakit saja, masa sihat pun digalakkan ziarah-menziarahi. Rasulullah SAW pun buat macam tu. Dalam satu hadis, Baginda bersabda—‘Barang siapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, maka malaikat berseru: bagus dan bagus langkahmu, dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga.’”
Damia menarik nafas panjang, matanya masih tertumpu pada siling.
“Ya, Mia tahu mak. Tapi Mia tak perlukan simpati mereka. Lagipun, bila Mia keluar nanti, Mia nak balik Terengganu. Tenangkan fikiran di pondok kita. Boleh, mak?”
Mak Piah terkedu. Dia tahu Damia sebenarnya mahu lari dari kenangan pahit—terutama tentang Irfan. Damia masih belum boleh menerima hakikat bahawa Irfan kini bakal suami Marina.
“Nantilah mak bincang dengan Encik Irfan dulu. Sekarang ni kau rehat elok-elok. Jangan fikir yang bukan-bukan. Kesihatan kau lebih penting.”
Damia berpaling ke arah maknya. “Eh, mak... Mak tahu tak kalau Encik Irfan dah balik rumah? Dia bawa isteri dia sekali ke?”
Mak Piah terkebil-kebil.
“La kau ni Mia... Itukan rumah dia. Mesti la dia balik. Tapi isteri? Mak tak pernah nampak pula dia dengan sesiapa. Selalunya balik sorang je. Nak kata dia kahwin pun, tak nampak macam suami orang pun.”
Kata-kata Mak Piah membuatkan Damia semakin resah. Dia kembali teringat momen di Pasar Besar Kuantan. Wanita yang bersama Irfan waktu itu bukan orang lain—Marina. Segalanya kini semakin jelas.
“Bodohnya aku… Macam mana aku boleh tak cam Marina masa tu? Aku pula sibuk bercerita pasal layanan buruk Irfan dekat dia. Sahabat apa aku ni?” bisik Damia dalam hati, penuh sesal.
Mak Piah perasan wajah anaknya berubah.
“Apa yang kau termenung sangat tu, nak?”
“Tak ada apa-apa mak… Eh, mak baliklah dulu ye. Esok mak buatkan nasi lemak untuk Mia boleh?”
Mak Piah tersenyum. “Boleh ke kau makan nasi lemak ni? Doktor tak marah ke nanti?”
“Alah mak, sekali je… Kalau Mia mati nanti, kepunan pula nak makan nasi lemak mak.” Damia tersengih manja.
“Ya lah, ya lah. Mak buatkan. Tapi janji jaga diri baik-baik ya.”
Mak Piah tiba di rumah agak lewat kerana sukar mendapat teksi. Kereta Irfan sudah pun berada di parkir. Jantung Mak Piah berdetak laju, bimbang andai Irfan tersinggung.
“Assalamualaikum, maafkan makcik, Encik Irfan. Makcik lambat sikit tadi. Susah nak dapat teksi,” ucap Mak Piah menunduk sopan.
“Waalaikumusalam, tak payah minta maaf makcik. Makcik tak salah pun. Panggil saya Irfan je.”
Kelembutan suara Irfan membuatkan Mak Piah mengangkat wajah, sedikit terkejut dengan perubahan sikap majikannya itu.
“Damia macam mana? Makcik tak perlu risau pasal rumah. Saya boleh urus sendiri. Dulu pun saya buat semuanya sendiri.”
“Mak cik ke sini untuk bekerja, nak. Tak elok kalau tinggalkan tanggungjawab.”
Irfan mengangkat tangan sedikit.
“Mulai esok, makcik jaga Damia saja di hospital. Saya akan uruskan rumah. Oh ya, makcik… Damia tak ada cakap nak balik Terengganu ke?”
Mak Piah mengangguk perlahan. “Dia minta macam tu tadi. Tapi kalau Irfan tak izinkan, makcik tak berani janji.”
Irfan termenung sejenak. “Saya sendiri yang akan hantar. Saya rasa dia perlukan ketenangan. Makcik pun… kalau rasa nak tinggal terus di kampung, saya izinkan. Saya dah banyak berdosa dengan keluarga makcik. Mungkin ini jalan saya tebus semuanya.”
Air mata Mak Piah tumpah tanpa dipinta. Irfan bukanlah lelaki sekejam yang dia sangka selama ini.
“Satu lagi, makcik… minta Damia buat laporan polis pasal kemalangan tu.”
“Tak perlu la nak. Kami tak kejar pampasan. Damia pun tak tahu apa yang berlaku masa tu. Kami reda. Ini semua takdir Allah.”
Irfan menghela nafas. Kagum dengan hati Mak Piah.
Mak Piah mahu ke dapur tetapi Irfan sempat menahan tangannya.
“Malam ni makcik makan dengan saya di rumah keluarga saya. Mungkin ini makan malam terakhir kita bersama.”
Mak Piah serba salah tetapi akur.
Dalam perjalanan ke Bukit Pelindung, Irfan bersuara.
“Mak cik, boleh saya minta satu permintaan?”
“Permintaan?”
“Rahsiakan semua ni daripada Damia. Saya tak nak dia rasa berhutang budi. Biar dia terus benci saya, asalkan dia tenang.”
Mak Piah terdiam. Sukar untuk berjanji.
“Saya tahu suatu hari nanti dia akan tahu juga. Tapi biarlah bila dia benar-benar bersedia. Kesihatannya masih belum stabil.”
Akhirnya Mak Piah akur, walaupun hatinya berat.
“Tapi Marina… Marina mungkin akan cerita juga nanti.”
Irfan tersenyum.
“Marina tu sepupu saya. Saya akan pastikan dia tak bocorkan apa-apa.”
Mak Piah ternganga.
“Hah? Marina sepupu kamu?”
“Ya. Makcik jangan risau. Saya akan urus semuanya.”
Sebaik tiba di Razilah Villa, Mak Piah hanya diam. Tapi jauh di sudut hati, dia tahu—hubungan ini belum berakhir. Masih banyak yang perlu diselesaikan. Dan mungkin, takdir Allah sedang mengatur sesuatu yang tidak dijangka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience