D
amia akhirnya membuat keputusan besar — dia akan menangguhkan latihan praktikalnya untuk semester akhir. Surat rasmi telah dihantar kepada Dekan Fakulti Undang-Undang dan permohonannya diluluskan. Bukan kerana dia sudah jemu belajar, tetapi kerana mahu memberikan sepenuh perhatian kepada kerjaya barunya. Dalam hatinya, dia tidak mahu menghampakan Dato’ Razak — insan yang terlalu banyak membantunya di saat tiada siapa lagi mempedulikan.
Damia tahu, andai dia memohon sekalipun, Dato’ Razak pasti akan benarkan dia menjalani praktikal di Istana Kehakiman Putrajaya. Namun, keutamaannya kini adalah membayar hutang-hutang arwah ayahnya. Gaji RM3,500 yang ditawarkan oleh Dato’ Razak cukup untuk menguruskannya sebelum kembali menyambung praktikal semester depan.
“Damia,” suara Dato’ Razak dari luar bilik mengetuk fikirannya. “Boleh awak gantikan saya untuk mesyuarat tiga hari di cawangan Pulau Pinang? Saya tak dapat hadir kerana ada tetamu. Ini tiket penerbangan awak esok pagi. Kalau setuju, awak boleh balik sekarang untuk bersiap. Sila jumpa Asma, dia akan beri dokumen.”
Damia sedikit terkejut, tetapi tidak mampu menolak. Dia hanya mengangguk. “Baik, Dato’.”
Sebaik selesai mengambil dokumen dari Asma, Damia terus pulang. Hatinya berdoa agar ibunya bersetuju mengikutnya ke Pulau Pinang. Tapi...
“Mak, ikut Mia ke Pulau Pinang ya?” Damia memandang ibunya penuh harap.
Mak Piah menggeleng perlahan. “Mia, mak kena jaga rumah ni. Kalau Encik Irfan balik dan rumah kosong, naya mak dimarahnya. Bukan kau tak kenal perangai dia.”
“Tapi mak seorang diri...”
“Mak tahu jaga diri. Kau tiga hari je pun. Mak redha, pergilah, ya?”
Damia mengangguk perlahan. Pagi esok, Asma akan menghantarnya ke lapangan terbang.
________________________________________
Sementara Damia di Pulau Pinang…
Marina menjejakkan kaki ke Kuantan. Dia menaiki teksi menuju ke Bukit Pelindung, rumah bapa saudaranya, Dato’ Razak. Perjalanan bas dari utara benar-benar meletihkan, namun semangat untuk mengejutkan pak cik dan mak ciknya membuatkan segala kepenatan terhapus.
“Assalamualaikum, auntie!” jerit Marina ceria dari pintu pagar sambil melambai.
Datin Razilah yang sedang menyiram bunga di laman rumah mengangkat wajah.
“Ya Allah... Ina!” teriak Datin Razilah, terkejut bukan main. “Auntie ingat siapa tadi. Cantik betul Ina sekarang, dah macam Wardina!”
“Mana uncle dan abang Iqwal?” soal Marina sambil tersenyum lebar.
“Uncle kau ke pejabat. Iqwal pun sibuk, jarang ada di rumah. Ina dah makan ke?”
Belum sempat Marina menjawab, dia sudah masuk ke dapur menikmati mee goreng istimewa air tangan mak ciknya. Selesai makan dan berehat sebentar, Marina meminta kebenaran meminjam kereta.
“Auntie, boleh Ina pinjam kereta? Nak ke hospital tempat Ina bakal praktikal.”
“Ambillah. Kalau malam balik makan ya, auntie masakkan lauk kegemaran Ina.”
Marina tersenyum. “Janji tau, auntie!”
________________________________________
Di pejabat RZ Sdn. Bhd...
Marina menunggu di ruang tamu sementara Dato’ Razak bermesyuarat. Matanya terpaku pada satu papan nama — Cik Damia Humaira Binti Ismail, Pengurus Projek.
Jantungnya berdegup kencang. “Tak mungkin... Mia?”
“Cik Marina,” sapa Asma, menyedarkan Marina dari lamunan.
“Cik Damia tu siapa sebenarnya?” tanya Marina berlagak tenang.
“Bekas setiausaha Dato’. Sekarang dah jadi Pengurus Projek. Kenapa ya?”
Marina menggeleng. “Oh, tak ada apa-apa.”
Tapi hatinya tidak tenang. Segera dia menghubungi Iqwal.
“Abang, Ina kat pejabat uncle. Abang dekat mana?”
Iqwal tergelak. “Tunggu, abang datang jemput.”
________________________________________
Di dalam kereta, Marina bertanya, “Siapa sebenarnya Cik Damia tu?”
“Dia setiausaha Papa dulu. Papa puas hati, dia naikkan pangkat. Kenapa Ina tanya?”
“Nama dia sama dengan kawan kolej Ina dulu…”
Iqwal hanya mengangguk, tapi kemudian bertanya balik. “Ina... sejak bila berubah? Dulu seksi meletup. Sekarang, Alhamdulillah…”
Marina ketawa. “Hidayah Allah abang. Semua dari Dia. Dan... Ina bahagia jadi macam ni.”
________________________________________
Beberapa hari berlalu...
Marina mula praktikal di Hospital Tengku Ampuan Afzan. Dua minggu pertama dia bertugas di wad kanak-kanak. Walau cita-citanya ingin menjadi pakar ortopedik, dia akur dengan aturan hospital. Demi praktikal, Marina tinggal di kuarters hospital — rumah pak ciknya terlalu jauh untuk on-call.
Namun hatinya masih kuat merasakan Damia itu adalah Damia sahabat yang pernah menjadi teman sebiliknya.
Dia lalu menghubungi pejabat RZ Sdn, Bhd.
“Hello, ini Dr. Marina. Boleh saya bercakap dengan Cik Damia Humaira?”
“Sebentar,” jawab Asma sopan.
“Hello, Damia bercakap. Boleh saya bantu?”
“...Mia?” suara Marina bergetar. “Mia, ini aku... Ina! Ya Allah, Mia... kau kat mana semua ni?”
Mereka berdua sama-sama menangis di hujung talian.
Damia juga hampir tidak percaya. “Ina... kau di mana sekarang?”
“Hospital Tengku Ampuan Afzan! Aku ternampak nama kau kat pejabat uncle aku!”
“Alhamdulillah… Ina. Jom kita jumpa lunch ni?” pelawa Damia.
________________________________________
Di kafeteria hospital
Mereka akhirnya bertemu. Marina kelihatan anggun berjubah moden labuh dan bertudung gaya Hanna Tajima. Damia hampir tidak mengenalinya.
“Ina... cantiknya kau. MasyaAllah…”
“Kau pun, Mia. Macam model busana muslimah!”
Mereka ketawa. Kemudian, bertukar cerita. Damia ceritakan kehilangan telefonnya, keputusannya pulang ke kampung, dan semua liku hidupnya. Tapi kisah tentang Irfan masih terkunci rapi.
Marina pula ceritakan bagaimana dia berubah selepas membaca tafsir Quran milik Damia. Mereka menangis. Drama air mata kembali berulang.
Share this novel