Bab 7

Drama Series 68

Hari ini merupakan hari pertama Damia bertugas sebagai setiausaha di RZ Sdn. Bhd. Irfan sendiri yang menghantarnya ke Wisma RZ, kononnya kerana Damia tidak tahu lokasi pejabat. Namun seperti biasa, dia tidak menjelaskan sebarang maklumat tentang tugasan sebenar. Sebaik sampai, Damia ditinggalkan begitu sahaja di pintu utama.
“Selamat datang, puan. Boleh saya bantu?” sapaan mesra penyambut tetamu membuatkan Damia tersentak sedikit.
“Saya Damia Humaira. Saya... saya dengar ada jawatan kosong di sini. Jadi saya datang untuk temuduga.”
Penyambut tetamu tersenyum kelat. “Maaf, puan. Kekosongan itu sudah diisi. Tapi... puan boleh tunggu dulu. Mungkin majikan kami boleh pertimbangkan sesuatu.”
Damia mengangguk, tersenyum hambar. Malu terasa menampar diri—rupanya Irfan tidak memberitahunya apa-apa tentang jawatan ini. Kini dia terasa seperti orang yang tersesat.
Hampir sejam dia menunggu, sambil membaca majalah Malaysian Business di sudut bacaan. Perutnya sudah mula berkeroncong. Jam menunjukkan 11:30 pagi. “Aduh... kenapalah aku tak makan nasi lemak mak tadi.”
Tiba-tiba penyambut tetamu yang sama datang semula, kali ini wajahnya cemas.
“Maaf, Cik Damia. Saya tak tahu yang cik sebenarnya setiausaha baru Dato’ Razak. Dato’ mahu cik bersiap segera—ada mesyuarat di Puncak Holding jam dua.”
Damia tergamam. “Maaf… tapi saya belum pun ditemuduga. Sejak bila saya diterima kerja?”
“Saya tak pasti. Tapi nama cik sudah dalam senarai staf. Mungkin Dato’ sendiri akan jelaskan nanti.”
Tanpa melengahkan masa, Damia masuk ke bilik Dato’ Razak.
“Assalamualaikum, Dato’.”
“Masuk. Duduk,” jawab lelaki itu ringkas, matanya masih tertumpu pada skrin komputer.
“Damia, semak dokumen mesyuarat Puncak Holding. Teliti isi kandungannya. Pastikan minit mesyuarat lepas pun diperiksa. Oh ya—malam ni jam lapan, temankan saya ke majlis makan malam di Grand Continental. Awak boleh keluar sekarang. Saya sibuk.”
Damia melangkah keluar dengan kepala yang sarat. “Apa semua ni... aku tak tahu satu apa pun tentang bisnes…”
“Kalau Cik Damia perlukan bantuan, boleh saya bantu?” tegur seorang gadis dari sisi.
“Terima kasih cik…”
“Saya Asma.” Gadis itu tersenyum.
“Oh... Asma. Sebenarnya saya keliru dengan isi proposal ni. Saya tak ada pengalaman langsung. Inilah pertama kali saya kerja sebagai setiausaha.”
“Saya faham. Tak perlu ber-cik dengan saya. Saya pembantu Cik Damia. Sebenarnya saya pelajar praktikal saja. Lepas tamat praktikal, saya kena sambung pengajian semula di PoliSAS.”
“Awak ambil jurusan apa?”
“Sains Kesetiausahaan.”
“Alhamdulillah… harap awak dapat tegur kalau saya buat silap. Saya memang buta bab ni.”
Asma banyak membantu. Sungguhpun dia hanya pelatih, cara dia membimbing begitu sistematik. Damia belajar dengan cepat, lebih-lebih lagi kerana dia memang cekap dalam pembelajaran akademik.
“Cik ni bijak sebenarnya. Kenapa cik tak sambung belajar?” soal Asma sambil menyusun fail.
“Mana ada… saya belajar sampai STPM saja.”
“Eh tak mungkin. Saya guna istilah tinggi-tinggi pun cik boleh faham. Saya sengaja uji tadi.” Mereka ketawa bersama.
Damia terasa ringan hatinya. Syukur, hari-hari hitamnya bersama Irfan mula pudar. Sekurang-kurangnya di sini, ada insan yang menghargai kehadirannya.
________________________________________
Tepat jam satu, Dato’ Razak muncul.
“Awak dah bersedia? Kita perlu gerak sekarang.”
Damia mengangguk. Ini kali pertama dia ikut ke mesyuarat penting. Debaran menyesak dada. Tapi dia yakin, ilmu yang dipelajari dahulu takkan sia-sia.
Mesyuarat berlangsung dengan lancar. Sungguh luar biasa—Damia seperti kembali hidup. Dia tidak kekok berbicara tentang kontrak, malah mengaitkan undang-undang kontrak dan isu bias serta prima facie dengan begitu meyakinkan. Semua mata tertumpu padanya.
Selesai mesyuarat, Dato’ Razak mengajak Damia minum petang.
“Saya suka cara awak. Tak sia-sia Irfan cadangkan awak kepada saya.”
Darah Damia terasa mendidih. Baru sahaja dia mahu melupakan lelaki kejam itu…
“Damia? Awak dengar tak saya cakap apa tadi?”
“Maafkan saya Dato’. Saya terleka.”
“Tak apa. Awak kerja di mana sebelum ni?”
“Saya tak pernah bekerja secara rasmi. STPM saja. Lepas tu tolong mak di kampung.”
“Tapi awak ni seperti graduan. Pemikiran awak matang dan tersusun.”
“Sebenarnya saya pelajar sarjana muda, tapi tak sempat tamatkan pengajian... masalah kewangan.”
“Berapa lama awak berhenti?”
“Baru dalam sebulan. Tapi… kalau tak keberatan, boleh saya mohon cuti sekejap untuk duduki peperiksaan akhir hujung bulan ni?”
“Sudah tentu boleh. Kalau awak tamatkan pengajian, saya boleh tawarkan jawatan pengurus projek di sini.”
“Terima kasih Dato’. Tapi boleh rahsiakan hal ini dari Irfan?”
Dato’ Razak hanya mengangguk sambil tersenyum. Damia menahan air mata. Allah masih menyayanginya.
________________________________________
Damia pulang dengan hati berbunga. Kini ada harapan untuknya menamatkan pengajian—mimpi arwah ayahnya. Sampai di rumah, dia terus mendapatkan Mak Piah.
“Assalamualaikum, mak!” Lantas dia mencium pipi ibunya.
“Waalaikumusalam, sayang. Seronoknya nampak?”
“Mak, Mia dapat kerja elok. Gaji pun ok. Lepas ni kita boleh lunaskan hutang ayah dan keluar dari rumah ni.”
“Alhamdulillah. Tapi kerja apa Mia ni? Cantik sungguh anak mak hari ni.”
“Mia setiausaha pejabat. Kerja memang mencabar. Tapi Mia janji nak buat sungguh-sungguh. Jom mak, makan sama-sama.”
Mak Piah tersenyum. “Mia… mak harap sangat kau berjaya. Cepat-cepat kita langsaikan hutang ayah kamu.”
Tiba-tiba Damia teringat Pak Tahar dan Hajah Jariah.
“Mak… apa agaknya khabar Pak Tahar dan Makcik Jariah?”
“Betul juga. Kita pergi pun tak sempat ucap terima kasih. Cuba telefon mereka.”
“Mia dah lupa nombor mereka. Rasanya... Mia nak balik kampung, curi-curi je.”
“Jangan cari pasal, Mia. Kalau Irfan tahu, dia akan mengamuk lagi. Mak tak sanggup tengok kau dipukul lagi…”
“Mak... sebenarnya Mia ada rahsia nak bagi tahu. Tapi mak kena janji jangan bagitahu Irfan.”
“Apa dia?”
“Dato’ Razak izinkan Mia menduduki peperiksaan akhir bulan ni. Dia nak bantu Mia capai cita-cita ayah.”
Air mata Mak Piah tumpah lagi. “Alhamdulillah… syukur Ya Allah.”
Mak Piah terus bersujud syukur. Doanya selama ini tidak sia-sia.
________________________________________
Petang itu Damia bersiap ke majlis makan malam bersama Dato’ Razak. Dia memakai jubah moden dengan shawl sederhana, masih menjaga aurat meski tampil lebih kemas.
“Eh, nak ke mana cantik-cantik ni?” tegur Mak Piah.
“Malam ni Mia kena teman Dato’ Razak makan malam dengan klien.”
“Klien? Apa tu?”
“Klien tu pelanggan, mak. Tapi dalam dunia bisnes, bunyinya lebih profesional.”
“Ooo… susah juga jadi orang kaya ni,” balas Mak Piah, menggeleng kecil.
“Mak… doakan Mia ya.”
Damia bersalam dengan ibunya sebelum keluar.
“Ya Allah, lindungilah anakku. Rahmatilah perjalanannya, jauhilah dia dari kejahatan manusia. Amin…” doa Mak Piah perlahan, namun penuh pengharapan.
Dengan langkah perlahan, Mak Piah kembali ke rumah kecil yang disediakan untuknya—meninggalkan banglo mewah Irfan, dengan hanya satu perkara di hatinya: doa seorang ibu yang tidak pernah putus.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience