Sudah setengah jam Marina menunggu di Nasi Lemak Simple.
“Eh… manalah lambatnya Abang Iqwal ni. Memang betul-betul Melayu,” bisik hati Marina sambil merenung jam tangannya.
“Sorry, Ina. Abang lambat sikit. Biasa lah hari minggu, jalan sesak sikit,” ujar Iqwal sambil mengambil tempat di hadapan Marina. Sedangkan hakikatnya, rumahnya di Razlah Villa cuma sepuluh minit dari sini kalau ikut Jalan Teluk Sisek.
Marina menjeling tajam.
“Ina, betul ke Damia tu kawan sekolej Ina dulu?” soal Iqwal tiba-tiba.
“Betullah. Kami sebilik dari tahun pertama sampai la dia berhenti belajar. Kenapa abang tanya ni? Haa, ingatkan ajak Ina keluar nak borak-borak. Rupanya nak korek cerita pasal Damia,” jawab Marina, berpura-pura merajuk.
“Alah, janganlah merajuk. Ina, abang sebenarnya… abang suka kat Damia. Tapi abang takut dia tak boleh terima abang.”
“Apa? Abang suka Damia? Kalau suka, luahkanlah. Tapi hari tu Mia ada cakap pada Ina, dia dah jatuh hati pada seseorang. Tapi orang tu katanya menghilangkan diri... Katanya nak kahwin. Tapi dia sendiri tak pasti. Kalau betul lelaki tu kahwin, takkanlah langsung tak bagi tahu Mia.”
Iqwal tersandar lemah. Rasa kecewa mencengkam hatinya.
“Maksud Ina, Damia dah ada someone special dalam hidup dia? Habis abang macam mana?”
“Ina tak pasti lagi, abang. Nanti Ina tanya semula. Tapi…” Marina tersenyum nakal. “Kalau Ina tolong abang, mestilah ada upahnya.”
Iqwal tergelak kecil. “Kalau betul abang dapat Damia, apa saja Ina nak, abang bagi. Tapi satu je abang tak boleh bagi—jangan minta abang jadi suami Ina sudah,” katanya bergurau, walau dalam hati terdetik rasa cemas.
“Ke situ pula abang ni… Setakat abang ni, Ina tak hingin la. Tengok muka pun tak selera. Bau pun macam kerbau,” balas Marina sambil ketawa.
Dalam gelak ketawa itu, Iqwal tahu hatinya sedang kosong. Rasa rindu dan kagum pada Damia semakin menebal. Dia pulang dengan satu persoalan berat di kepala:
“Apa yang harus aku buat untuk mencuri hati kau, Damia?”
________________________________________
Damia pula sibuk di pejabat RZ Sdn. Bhd., membelek profil syarikat klien. Hari ini tiada janji temu, jadi dia ada masa meneliti satu persatu maklumat tentang syarikat Nusa Jaya Sdn. Bhd.
Tiba-tiba telefon pintarnya berbunyi — mesej daripada Marina:
“Mia, u free tak hari ni? I ingat nak lunch dengan u. Kita jumpa dekat food court Kuantan Parade ya.”
—Marina.
“Inshaa Allah,” balas Damia ringkas.
Tepat jam 1.00 tengahari, Damia keluar dari pejabat. Hanya lima minit pemanduan ke Kuantan Parade. Sampai saja, dia terus ke food court.
“Sorry Ina, aku lambat sikit. Parking susah sangat, terpaksa park dekat Teruntum,” ucap Damia sambil menarik kerusi.
“It’s okay Mia. Aku pun baru sampai. Order pun belum ambil lagi,” balas Marina sambil senyum.
Damia ketawa kecil. “Apa mimpi kau ajak aku keluar ni?”
“Takkan nak ajak kawan makan pun kena mimpi dulu?”
Perbualan mereka terganggu seketika bila Marina bangun untuk mengambil makanan. Damia tetap duduk bagi menjaga tempat duduk.
Damia memilih nasi putih berlauk kampung, manakala Marina pula memilih claypot dengan alasan menjaga kesihatan — mewarisi disiplin hidup sihat daripada ibunya yang menghidap diabetes dan masalah jantung.
Sebaik mereka mula makan, Marina menatap wajah Damia serius.
“Mia, aku tak puas hati betul. Ceritalah pasal secret admirer kau tu. Dulu apa-apa semua kau cerita. Kenapa sekarang tak?”
Damia terdiam. Lama dia merenung makanan di pinggan.
“Aku bukannya tak nak cerita, Ina. Tapi aku sendiri pun keliru dengan perasaan aku. Aku tak tahu nak mula dari mana…”
“Tolonglah Mia, cerita je. Mana tahu esok aku mati dalam KP ni, tak tenang roh aku kalau tak sempat dengar kisah kau,” seloroh Marina sambil ketawa.
Damia tergelak kecil. “Ish, kau ni. Kalau nak mati, biarlah dalam masjid ke, bukan KP…”
“Ha, jangan lari topik. Cerita sekarang,” desak Marina.
Damia menarik nafas panjang. Air mata mula bertakung di tubir mata.
“Ina…” suaranya bergetar.
Marina tersentak. “Mia, kau menangis? Ya Allah, aku minta maaf… Aku tak sangka…”
“Ina… sebenarnya Irfan bukanlah lelaki baik. Kerana dia, aku terpaksa lupakan cita-cita aku. Dia sangat kejam.”
Marina tergamam.
“Aku terpaksa ikut dia ke sini. Dia dera aku dan mak secara emosi. Aku tinggal di rumah dia. Tak dibenarkan keluar. Sampai aku langsaikan hutang ayah aku, aku tak boleh ke mana-mana.”
Damia menangis perlahan.
“Tapi Ina… aku bersyukur, dia tak pernah sentuh aku. Kalau orang lain, dah lama aku jadi mangsa. Dia hanya dera emosi… dan aku jadi tahanan tanpa dinding…”
Marina mengelap air mata Damia.
“Maafkan aku Mia… aku tak tahu hidup kau seberat ni…”
“Tapi Ina… aku yakin ini semua aturan Allah. Hari ini aku mungkin menderita, tapi aku belajar sabar. Sekarang aku bekerja, ada kerjaya, hidup lebih baik. Ini semua ujian dan hadiah dari Tuhan.”
Damia menggenggam tangan Marina.
“Aku minta satu saja. Janji jangan cerita perkara ni pada sesiapa. Aku percaya pada kau, Ina.”
“Aku janji. Rahsia ni aku akan simpan sampai bila-bila. Aku janji,” balas Marina penuh haru.
Dalam hati Marina, satu nama terlintas.
“Maafkan aku, Iqwal. Aku tak sanggup khianatkan sahabat sendiri. Kalau benar jodoh itu milikmu, Allah akan lorongkan jalannya nanti.”
________________________________________
Damia melangkah keluar dari Kuantan Parade. Angin petang menyapa wajahnya. Tapi kali ini, hatinya terasa lapang. Beban yang lama dipikul kini telah diluahkan. Dia tahu Marina akan menjaga rahsianya.
“Terima kasih Ya Rabb… kerana telah Kau pertemukan aku dengan sahabat yang
Share this novel