Bab 13

Drama Series 68

Damia berehat-rehat bersama ibunya sambil menonton televisyen. Hari minggu terasa sangat membosankan. Jam berdetik perlahan seperti enggan bergerak. Tiada apa yang boleh dilakukan di banglo mewah itu. Nak susun atur semula perabot, nanti dimarahi Irfan. Sebelum Irfan membebel kerana mengubah kedudukan perabot rumah, lebih baik Damia membaca majalah-majalah yang baru dibeli dari kedai buku berhampiran. Irfan memang suka mencari kesalahan. Walaupun kecil, Irfan akan membesarkan seolah-olah Damia telah melakukan dosa besar.
"Mak, hari ni ikut Mia nak? Mia nak ke bandar beli barang-barang keperluan." Damia mengajak ibunya agar menemaninya ke bandar. Sebenarnya, dia berhasrat membelikan ibunya baju baru. Sepanjang hidup, dia belum pernah membelikan sehelai pun pakaian untuk wanita yang melahirkannya. Namun dia tahu ibunya tidak akan memakai baju yang tidak digemarinya.
"Mia pergilah, mak tak boleh ikut. Kalau mak ikut, siapa nak jaga rumah ni? Kalau Encik Irfan balik macam mana? Mak dah tak larat nak dengar dia mengamuk tak tentu pasal," balas Mak Piah, lembut tetapi tegas.
"Ala mak... boleh la. Kita keluar sekejap saja. Lepas beli barang, kita terus balik. Lagipun Mia dah buntu nak masak apa. Hari-hari ayam dan ikan. Encik Irfan pun mesti jemu. Apa salahnya kita masak sesuatu yang istimewa, mesti dia tak marah," pujuk Damia lagi.
"Tapi Mia..."
"Ala mak, boleh la... Mia janji kita balik sebelum Zohor. Lagipun Mia rindu nak jalan-jalan dengan mak. Dulu mak selalu bawa Mia ke Pekan Kuala Berang. Sekarang tiba masa Mia pula nak balas jasa mak. Andai kata nanti mak tiada, sekurang-kurangnya Mia tak kecewa sebab sempat bawa mak keluar," rayunya dengan suara bergetar.
Mak Piah terdiam. Dia tahu anaknya itu tidak suka menggunakan sentimen sebegitu melainkan benar-benar berharap. Akhirnya dia mengangguk perlahan.
"Baiklah, tapi janji balik awal ya. Mak nak masak tengah hari."
Damia tersenyum lega. Dia terus menghidupkan enjin kereta. Akhirnya, hasratnya tercapai untuk membawa Mak Piah keluar menikmati keindahan bandar Kuantan. Ini kali pertama ibunya akan menjejak kaki di pusat bandar moden itu.
Destinasi pertama mereka ialah East Coast Mall. Damia membelikan ibunya sehelai jubah dan tudung yang cantik. Mak Piah tampak gembira, matanya bersinar melihat pemberian anaknya.
"Nak beli apa-apa lagi tak, mak? Lepas ni kita terus ke pasar basah," tanya Damia.
"Tak payah lah. Jom ke pasar. Lagi cepat beli, lagi cepat kita balik," balas Mak Piah yang mula risau Irfan tiba-tiba pulang.
Damia memandu ke Pasar Besar Kuantan dan berjaya mendapatkan tempat parkir berhampiran pintu masuk. Dia memimpin tangan ibunya menuruni anak tangga dan masuk ke pasar. Lantai yang licin menyebabkan dia lebih berhati-hati. Hari ini, Damia memberi peluang kepada ibunya memilih sendiri lauk-pauk.
Dia menghulurkan wang RM300 kepada Mak Piah.
"Eh banyak ni, Mia. Apa mak nak buat dengan duit sebanyak ni?"
"Kan Mia dah kata, Mia nak mak beli apa yang mak nak. Masak sedap-sedap untuk Mia ya?"
Mak Piah hanya mampu tersenyum.
Selesai membeli, mereka keluar dari pasar. Ketika berjalan ke arah kereta, mata Damia terpaku. Dia terlihat Irfan sedang membetulkan tudung seorang wanita. Gerak-gerinya lembut dan mesra. Damia tergamam. "Setelah dua bulan menghilang, kenapa muncul tiba-tiba? Siapa wanita itu? Isterinya?" bisik hati Damia. Ada resah dan marah yang bergelora dalam dada.
"Mia, kenapa berdiri kat situ? Jom balik. Mak dah penat," teguran Mak Piah menyedarkannya.
"Tak ada apa-apa, mak. Jom balik."
Damia diam sepanjang perjalanan. Fikirannya berkecamuk. Dia tidak pernah menyimpan rasa pada Irfan, tetapi mengapa begitu cemburu melihat Irfan bersama wanita lain? Mungkin sudah tiba masanya dia meninggalkan rumah itu.
Setibanya di rumah, Damia terus masuk ke bilik. Mak Piah tahu ada sesuatu yang anaknya sembunyikan, tetapi dia tidak mendesak.
"Mia, mak dah masak ni. Jom makan," panggil Mak Piah.
"Mia tak lapar, mak makanlah dulu. Nanti Mia makan."
"Mia... tadi kamu minta mak masak istimewa, tapi sekarang tak nak makan. Mak ada buat salah ke?" suara Mak Piah mulai cemas.
Damia membuka pintu. Matanya merah.
"Mia, kenapa ni? Kenapa menangis? Mak buat salah ke?"
"Taklah mak. Mia rindukan arwah ayah." Damia sembunyikan perkara sebenar dari pengetahuan ibunya.
"Mak masak lauk kegemaran Mia—udang galah masak lemak cili api dengan sayur keladi. Ada juga ikan gelama goreng," ujar Mak Piah cuba menukar suasana.
"Sedapnya. Jom kita makan," ujar Damia.
Ketika makan, Damia tiba-tiba berkata, "Mak... kalau arwah ayah masih ada, mesti seronok kita makan sama-sama. Ayah suka sangat sayur keladi."
"Eh, kau ni Mia. Jangan sebut pasal orang yang dah tak ada masa tengah makan. Tak baik," tegur Mak Piah lembut, menahan sebak.
Selesai makan, Damia bertanya, "Mak... sampai bila kita nak tinggal sini? Kalau betul Irfan kahwin, takkan kita nak duduk sini lagi. Kalau isterinya tak terima kita, macam mana?"
"Entahlah, nak. Kita tunggu Encik Irfan balik, bincang dengan dia dulu."
Damia memberanikan diri bersuara, "Mak... sebenarnya tadi Mia nampak Irfan kat pasar. Dia dengan seorang perempuan. Nampak macam isteri dia. Mesra sangat. Irfan tolong betulkan tudung dia."
"Ya Allah, kau betul Mia? Kenapa tak cakap dari tadi? Kalau dia nampak mak..."
"Dia tak nampak kita, mak. Jangan risau. Kalau Irfan marah sekalipun, Mia akan jelaskan semuanya."
Malam itu, Mak Piah tidak dapat tidur. Fikirannya bercelaru. Kalau berpindah, mana nak cari rumah? Kalau menyewa, Damia juga yang kena tanggung. Tapi kalau terus tinggal, bagaimana pula pandangan isteri Irfan nanti?
"Ya Allah, kau permudahkanlah urusan kami," doa Mak Piah dalam hati.
________________________________________
Jam menunjukkan 10:30 pagi. Iqwal masih lena. Datin Razilah menjerit dari luar bilik.
"Iqwal! Bangunlah, matahari dah tinggi! Nanti papa kau bising."
"Ya, mak. Wal dah bangun ni," sahutnya malas.
Tak lama kemudian, dia keluar dan mencium dahi ibunya.
"Morning, mama. Sedapnya bau nasi goreng ni."
"Patutlah tak kahwin lagi, bangun pun lambat. Rezeki pun lari!" Bebel Datin Razilah.
"Bukan tak ada orang nak, mama. Tapi Wal nak cari yang betul-betul ikhlas. Bukan sebab duit."
Datin Razilah ketawa kecil. "Hari tu Marina bawa kawan dia ke sini. Mama suka sangat budak tu—Damia. Papa pun suka. Kalau Wal setuju, mama nak risik."
Kata-kata Datin Razilah membuatkan Iqwal tersedak, hampir tersembur keluar nasi yang sedang dikunyahnya. Dengan pantas dia mencapai segelas jus oren lalu disua kemulutnya.
"Damia?! Kawan Marina tu Damia yang kerja dengan papa?" Soal Iqwal.
"Ya lah, Damia mana lagi. Mama dah selidik latar belakang dia. Baik budaknya."
"Kalau mama berkenan, Wal ikut saja. Tapi biar Wal kenal dulu. Mana tahu dia tak suka Wal."
"Baiklah. Kenal dulu, nanti mama tanya Marina pasal dia."
Iqwal senyum senget. Sembunyikan sesuatu dari pengetahuan Datin Razilah.
"Mama, petang nanti Wal nak jumpa Ina. Mama nak ikut?"
"Tak payah. Mama nak keluar dengan papa kau. Sampaikan salam mama pada Ina."
Datin Razilah tersenyum. Hatinya mula berbunga. Tapi... adakah Damia sudah ada insan di hatinya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience