Bab 16

Drama Series 68

Sebaik sahaja menerima panggilan daripada Marina, Iqwal terus memecut ke pusat perubatan dimana Damia dirawat. Hatinya tak keruan. Mustahil dia akan membiarkan Damia dipindahkan ke hospital kerajaan. Walau apapun yang terjadi, dia akan pastikan Damia mendapat rawatan terbaik—di tempat yang selesa, dengan privasi terjaga.
Dia tahu, jika Damia ditempatkan di hospital kerajaan, dia tak akan bebas melawat gadis itu sesuka hati. Ada masa lawatan. Ada sempadan.
“Kenapa nak pindahkan Damia ke hospital kerajaan? Hospital ni tak cukup peralatan ke, Ina? Atau Ina tak yakin dengan kepakaran doktor di sini?” soal Iqwal sebaik menjejak kaki ke ruang menunggu, wajahnya tegang. “Setahu abang, hospital ni ada pakar terbaik.”
Marina menghela nafas. “Bukan macam tu, abang. Doktor tadi beritahu, darah Damia jenis O negatif. Susah nak dapatkan bekalan. Kalau rawat di sini, kita kena beli darah tu dari bank darah. Harganya mahal, abang.”
“Awak jangan risau.” Nada suara Irfan berubah lembut. “Abang berdarah O negatif. Abang sendiri boleh derma untuk Damia.”
Dia cuba menyembunyikan debaran hatinya. Sebenarnya, alasan yang diberikannya sekadar helah. Sebab sebenar dia enggan Damia dipindahkan bukan soal rawatan atau kepakaran—tetapi kerana dia mahu dekat dengan gadis itu. Dia mahu hadir setiap saat. Dan di hospital kerajaan, batas masa akan menghalang keinginannya itu.
________________________________________
Tanpa membuang masa, Iqwal terus menjalani pemeriksaan darah.
“Encik, darah encik memang sesuai. Kami akan segera lakukan transfusi. Sila tandatangan surat persetujuan ini,” jelas doktor bertugas sambil menyerahkan borang kepada Irfan.
“Terima kasih, doktor. Saya setuju,” balasnya ringkas, pantas menurunkan tandatangan. Dalam hati, dia bersyukur kerana masih diberi ruang untuk menjaga Damia walaupun hanya sebagai penderma darah.
Sebelum transfusi dijalankan, doktor menjelaskan secara terperinci.
“Transfusi darah ialah proses memindahkan sel darah merah dari seorang penderma ke penerima. Proses ini sangat berkesan untuk menyelamatkan nyawa. Tapi ada risiko jika darah tercemar. Jangan risau, semua darah yang digunakan akan diperiksa keserasian dan keselamatannya.”
Irfan hanya mengangguk. Dia tidak peduli tentang risiko. Yang dia tahu, Damia perlu diselamatkan.
Transfusi berjalan lancar. Irfan kemudian diarahkan berehat sementara doktor memantau sebarang kesan sampingan.
________________________________________
“Mak cik, tolong rahsiakan perkara ni daripada Damia. Saya takut kalau dia tahu darah saya yang dipindahkan, kesihatannya akan terganggu,” pinta Irfan dengan suara lemah, namun tegas.
Mak Piah terkedu seketika. “Tapi nak... bukan ke Damia berhak tahu?”
“Betul, mak cik. Tapi bukan sekarang. Bukan ketika dia masih lemah. Saya tak tahu bagaimana reaksi dia nanti. Mak cik pun tahu, dia sangat bencikan saya…”
Mak Piah termenung sejenak. “Baiklah nak. Mak cik ikut apa yang kamu rasa baik. Budi kamu... tak terbalas dek kami.”
Irfan hanya mampu tunduk. Keikhlasan terpancar pada raut wajahnya.
________________________________________
Mak Piah kembali ke sisi Damia. Marina masih menunggu, sebelum pulang bertugas di HTAA.
“Ina, Damia belum sedar lagi,” kata Mak Piah.
“Ya mak cik... Inshaa Allah, dia akan sedar. Cuma hentakan pada kepala tu agak kuat. Saya cuma risau komplikasi…”
“Komplikasi macam mana, Ina?” soal Mak Piah, risau.
Marina menarik nafas panjang lalu menerangkan secara profesional—tentang gegaran otak, kemungkinan kecederaan saraf, pendarahan dalaman, bahkan risiko perubahan psikologi seperti kemurungan atau hilang daya kognitif.
“Ya Allah... maksud Ina, Mia boleh jadi tak siuman?”
“Bukan macam tu, mak cik. Saya cuma nak mak cik bersedia. Tak semua pesakit akan hadapi komplikasi tu.”
Mak Piah mengurut dada. “Inshaa Allah... kita doa yang baik-baik.”
________________________________________
Sebelum pulang, Marina hulurkan nombor telefon. “Kalau ada apa-apa, mak cik terus telefon saya, ya.”
“Ina… satu lagi. Tolong rahsiakan dari Mia siapa penderma darah dia. Mak cik yang akan beritahu nanti, bila tiba masa yang sesuai,” pesan Mak Piah.
Marina mengangguk perlahan, walaupun hatinya tahu pasti ada sesuatu yang disembunyikan.
________________________________________
Beberapa jam berlalu. Dalam suasana sunyi, Damia menggeliat perlahan.
“Mak… mak…”
Mak Piah segera mendekati. “Mia, mak ada kat sini nak. Minum sikit air ni.”
“Mak… kita kat mana ni? Kenapa mak nangis? Apa yang jadi pada Mia?” Damia bertanya, keliru.
Mak Piah panik. “Ya Allah… betul ke kata Marina tadi? Mia tak ingat?”
“Mia kemalangan mak? Tapi… Mia tak rasa sakit pun…”
Tanpa sempat habis berkata-kata, Damia cuba bangun. Namun, tubuhnya terus rebah ke lantai.
“Mia!” jerit Mak Piah.
Jururawat bergegas masuk. “Makcik, keadaan pesakit belum stabil. Jangan benarkan dia bangun. Bila dia sedar nanti, terus panggil kami.”
Mak Piah mengangguk. Lega sedikit setelah diberi penjelasan bahawa kehilangan ingatan seperti itu hanya sementara.
________________________________________
Beberapa minit kemudian, Damia sedar semula.
“Mak, Mia haus…”
Mak Piah menyuakan air. Damia perlahan-lahan meneguknya.
“Mak… Mia tak ingat macam mana Mia boleh ada kat sini. Last sekali Mia ingat nak jumpa Ina makan tengah hari.”
Tiba-tiba air matanya bergenang. Wajah Marina terbayang dalam ingatannya.
“Mak… Marina tu… dia bakal isteri Irfan, kan? Ya Allah… kenapa Mia cerita macam-macam pasal Irfan dekat dia? Apa yang Mia dah buat…”
Mak Piah mengusap tangan anaknya. “Mia… jangan fikir benda tu. Apa yang berlaku, semuanya ketentuan Allah. Setiap ujian, ada penghapus dosa…”
“Mak… Mia nak telefon Ina.”
“Ya, Ina ada tinggalkan pesan suruh Mia hubungi dia kalau dah sedar. Ni telefon Mia…” Mak Piah menyelongkar beg tangan Damia dan menyerahkan iPhon1e4 kepada anaknya.
“Telefon cepat, Mia. Kesian Ina risaukan kau.”
Damia menggigil kecil ketika menekan nombor Marina. Dalam hatinya, berkecamuk rasa bersalah yang tidak terucap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience