Bab 15

Drama Series 68

Damia berjalan perlahan-lahan dari Hotel Grand Continental menuju ke Restoran Alif. Marina mengajaknya makan tengah hari di situ — katanya ingin memperkenalkan seseorang yang paling istimewa dalam hidupnya.
Hati Damia berdebar-debar. Siapa agaknya lelaki itu? Seorang doktor seperti Marina? Atau mungkin Rizal, pelajar kejuruteraan yang pernah menjadi teman rapat Marina semasa mereka di UKM? Pelbagai kemungkinan menerpa dalam fikirannya.
Untuk ke restoran, Damia perlu menyeberangi jalan besar. Dari kejauhan, dia sudah nampak Marina sedang duduk sendirian di tepi kedai. "Belum sampai lagi lelaki itu," bisik hatinya. Tapi baru saja dia ingin melintas, langkahnya terhenti. Matanya terpaku.
Seorang lelaki sedang berjalan ke arah Marina. Lelaki itu... wajah itu terlalu dikenalinya.
Irfan.
"Ya Allah… takkan dia?" Bisik hati Damia. Dadanya terasa sesak. Langkahnya kaku.
Piiinnnnnnnnn!
Satu hon kuat mengejutkan semua orang. Sebuah kereta Toyota Camry membelok mengejut, dan Damia terpelanting ke atas jalan raya.
“YA ALLAH! DAMIA!” jerit Marina yang segera meluru ke arah tubuh yang terbaring di tengah jalan.
Sebagai pelajar perubatan, Marina cuba mengawal diri daripada panik. Tapi wajah Damia yang berlumuran darah benar-benar mencengkam jiwanya.
“Abang! Cepat! Mia kemalangan!” Marina menjerit ke arah Iqwal yang terpaku seketika sebelum segera berlari mendekati mereka.
Tanpa berlengah, Iqwal mendukung tubuh Damia dan berlari ke Sebuah pusat perubatan yang terletak hanya sepuluh meter dari tempat kejadian. Marina mengekori di belakang, cemas dan keliru.
Kenapa Iqwal nampak terlalu panik?
Kenapa dia bertindak seolah-olah Damia itu lebih daripada sekadar kenalan biasa?
Soalan-soalan itu bermain dalam fikiran Marina. Tapi dia memilih untuk bersangka baik — mungkin kerana Damia ialah kakitangan RZ Sdn. Bhd. yang berprestasi tinggi.
“Nurse, sila daftarkan pesakit ini. Semua kos rawatan akan saya tanggung.” kata Iqwal tegas.
“Baik, encik. Sila serahkan kad pengenalan pesakit.”
Marina segera membuka beg tangan Damia dan menghulurkan kad pengenalan kepada Iqwal. Sambil itu, dia mengamati wajah sepupunya itu.
“Sila masukkan semua kos ke akaun syarikat Millennium Consultant and Services.” ujar Iqwal sambil menunjukkan kad namanya.
Marina makin bingung.
Millennium Consultant?Apa hubungan Iqwal sebenarnya dengan syarikat itu? Kenapa bukan RZ sdn. Bhd?
Marina menunggu di luar bilik kecemasan, gelisah. Beberapa minit kemudian, Iqwal keluar dan mengambil tempat di sisinya.
“Ina rasa... baik kita pindahkan Damia ke hospital kerajaan. Senang sikit Ina nak tengok dia selalu. Kat sini, susah nak berulang-alik.” Cadang Marina.
“Tak perlu, Ina. Kat sini ada pakar yang boleh jaga Damia dengan baik. Lagipun, abang nak tunggu keputusan doktor. Ina baliklah dulu. Naik kereta Damia ya. Nanti abang hubungi Ina.”
Marina mengangguk. Tapi hatinya semakin berat dengan tanda tanya yang belum terjawab.
________________________________________
Sebaik sahaja Marina pergi, Iqwal segera menghubungi ayahnya.
“Papa, boleh tak jemput Mak Piah dan bawa dia ke hospital? Mia... kemalangan.”
Tak lama kemudian, Dato’ Razak tiba bersama Mak Piah dan Datin Razilah. Mata Mak Piah sembab, jelas dia baru menangis.
“Macam mana Damia boleh kemalangan?” soal Mak Piah dalam sebak.
Iqwal menunduk.
“Mia masih di bilik rawatan. Waktu saya makan dengan Marina tadi, terdengar bunyi hon kuat. Bila kami ke sana, rupa-rupanya Mia...”
“Kenapa dia melintas jalan? Bukankah hotel tu ada basement parking?” tanya Dato’ Razak curiga.
Iqwal tersentak. Benar... semua ini pasti rancangan Marina. Dia mahu pertemukan aku dan Damia tanpa memberitahu terlebih dahulu.
Dan kini... semuanya sudah terbongkar.
"Kalau aku tahu dari awal Ina rancang semua ni... aku takkan datang!" bentak Iqwal dalam hati. Wajahnya berubah, merah menahan marah.
“Sanggup kau buat semua ni, Ina…”
Dia tahu Damia kini tahu identiti sebenarnya.
________________________________________
Selepas hampir satu jam menunggu, seorang doktor keluar dari bilik rawatan.
“Boleh saya jumpa waris pesakit?”
“Saya mak dia, doktor. Macam mana keadaan anak saya?”
“Keadaannya stabil, tapi dia masih belum sedarkan diri. Mungkin akibat gegaran otak. Namun begitu, dia kehilangan banyak darah dan kami perlukan darah O negatif — darah yang sangat sukar ditemui.”
Mak Piah menawarkan diri untuk diuji, namun darahnya AB positif — tidak sesuai. Doktor memberitahu kemungkinan mendapatkan darah dari hospital lain, tetapi kosnya sangat tinggi.
________________________________________
Di dalam bilik rawatan, Dato’ Razak dan Datin Razilah melihat Damia yang terbaring lemah. Wajah mereka berkerut simpati.
“Kasihan budak ni, Abang. Ina pernah bawa dia jumpa saya dulu. Baik budaknya,” kata Datin Razilah.
“Abang pun suka Damia ni. Dulu abang pernah cadang jodohkan dia dengan Iqwal, tapi dia belum bersedia. Sebab tu abang minta Iqwal jauhkan diri buat sementara.”
Datin Razilah terpempan.
“Jadi budak perempuan yang Iqwal maksudkan selama ni… memang Damia?”
Dato’ Razak mengangguk perlahan.
________________________________________
Mak Piah duduk di sisi Damia. Air matanya tumpah lagi. Tiba-tiba Marina muncul di muka pintu.
“Makcik… makcik ingat Ina tak? Saya kawan Mia masa di kolej dulu. Selalu ikut dia balik kampung…”
Mak Piah memandang. Lama. Kemudian dia tersenyum dalam tangis.
“Ya Allah Ina… lain sangat kau sekarang. Makcik tak cam tadi.”
Marina ketawa kecil. Tapi dia segera memandang Damia. “Macam mana keadaannya makcik?”
“Masih tak sedar, Ina…”
“Ina akan bantu Mia. Saya akan bincang dengan doktor. Mungkin lebih baik kita pindahkan Mia ke hospital kerajaan — mudah sikit nak dapatkan darah O negatif.”
“Kalau itu yang terbaik, makcik setuju. Tapi bincanglah dengan Dato’ dan Datin dulu. Makcik tak berani buat keputusan sendiri.”
________________________________________
Marina keluar dari bilik rawatan dan menghubungi Iqwal. Dia nekad.
Demi sahabatku, Mia… aku akan cari jalan yang terbaik untuk selamatkan kau.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience