Menjelang tengah hari, Umar dan Aaira tiba di rumah Encik Shakirin dan Puan Maisarah. Motosikal diparkir di sebelah kereta Myvi di hadapan rumah sebelum kedua-dua mereka melangkah masuk ke dalam rumah.
"Assalamualaikum." Salam diberikan. Pintu yang tidak berkunci ditolak ke dalam.
"Aaira masuklah dulu. Saya nak ambil telefon kejap dekat motor."
Aaira mengangguk. Dia masuk ke dalam rumah terlebih dahulu. Kepala terjengul-jengul di sekitar rumah mencari kelibat Puan Maisarah. Entah mengapa tiba-tiba sahaja hatinya jadi tidak enak. Berdebar-debar tanpa alasan. Terasa seram sejuk.
"Ibu." Suara dinaikkan seoktaf. Tidak dapat menjumpai Puan Maisarah di ruang tamu, akhirnya Aaira bergerak ke dapur. Jarang kalau jam sebegini Puan Maisarah ada di dapur. Tapi cubalah. Mana tahu ibunya memang ada di sana.
"Ooo, ibu."
Puan Maisarah mematikan blender. Sekilas dia menoleh ke arah Aaira yang baru sahaja tiba di dapur. "Aaira, kamu dah balik."
"Ya ibu. Baru balik." Dada Aaira berdebar semakin kencang. Si ibu seperti agak pendiam pada hari ini. Lebih memilih mendiamkan diri daripada berbicara dengannya.
"Erk, Umar ambik telefon dekat motor."
"Kejap lagi ajak dia makan. Ibu dah nak siap masak." Ujar Puan Maisarah mendatar. Perasaannya bercampur baur. Soal si anak yang sudahpun bergelar isteri tetapi masih berhubungan dengan lelaki lain. Juga bimbang si suami tidak dapat mengawal kemarahan dan menyebabkan kekecohan.
Pening kepala ni.
"Ayah mana ibu? Kerja ke harini?"
"Ya."
"Abang Ulwan?"
"Keluar."
"Ohh." Alyse termati kata-kata. Kedinginan Puan Maisarah membuatkannya hilang akal.
Kedua-dua tangan dimainkan sesama sendiri. Mata tidak lari dari menatap Puan Maisarah yang sedang sibuk memasak. Mahu menolong tetapi khuatir keadaan akan menjadi lebih janggal.
'Assalamualaikum ibu.'
Nafas hela dilega ketika Umar muncul di dapur. Sekurang-kurangnya dapur tak akan sunyi sepi macam dalam dewan peperiksaan.
"Waalaikumussalam. Ha, Umar."
Nada Puan Maisarah kedengaran lebih ceria dari tadi. Kali ini memang dia percaya yang ada sesuatu yang ibu sorokkan.
"Ibu sihat?"
"Sihat alhamdulillah. Kamu duduklah dulu. Sekejap lagi makan dengan Aaira."
"Okay ibu." Umar berlabuh di sebelah Aaira. Air kopi yang dituang isterinya disisip tertib. "Aaira, pergi tolong ibu."
"Tak perlu. Ibu dah siap masak." Pintas Puan Maisarah terlebih dahulu sebelum Aaira menjawab. Mangkuk kaca yang berisi sup ayam diletakkan ke atas meja. Dua buah pinggan diambil dari rak.
"Marilah makan sekali ibu."
"Kamu berdua makanlah. Tadi ibu dah makan. Ibu nak lipat baju dulu."
"Okay ibu, terima kasih."
Sebaik sahaja hilang dari pandangan, Umar memandang Aaira tepat. "Ibu ada masalah ke?"
"Awak pun rasa ibu ada yang tak kena?"
"Entahlah. Mungkin firasat saya."
-------------------
TEPAT jam 6 petang, sebuah motosikal hitam biru tiba di hadapan perkarangan rumah. Aaira yang sedang menyapu sampah di halaman segera membasuh tangan pada pili air di tepi rumah. Bersiap-siap untuk menyambut kepulangan si ayah.
Encik Shakirin keluar dari perut kereta. Lelaki itu masih kelihatan segak walaupun hanya memakai t-shirt berkolar kuning cair.
"Ayah," Sapa Aaira sambil mendekati kereta.
Sekilas Encik Shakirin menoleh ke arah anak perempuannya sebelum menutup pintu kereta. Wajah tegang Encik Shakirin sedikit menggusarkan Aaira. Tak mungkin ayah masih marah tentang Haiyan. Masalah itu sudah lama berlalu.
"Ayah baru balik kerja?" Soalan tak logik ditanyakan walaupun sudah tahu jawapannya.
"Hmm," Ringkas jawapan diberikan.
Aaira mati akal. Sah-sah ada sesuatu yang tak kena. Sebaik sahaja Encik Shakirin mula menapak ke dalam rumah, laju Aaira membontoti dari belakang.
"Ayah,"
Encik Shakirin berhenti melangkah. "Lepas maghrib berkumpul di ruang tamu. Ajak Umar sekali." Pesan lelaki separuh usia itu tanpa menoleh ke arah Aaira. Belum sempat Aaira membuka mulut, Encik Shakirin sudahpun menghilang ke dalam bilik.
-------------------
SEPERTI yang diarahkan, selepas maghrib Aaira berada di ruang tamu bersama Umar. Sejak petang tadi fikirannya bercelaru. Sesaat pun dia tak boleh tenang. Firasatnya kuat mengatakan bahawa ada sesuatu yang tak kena.
Tangan saling mencubit sesama sendiri bagi menghilangkan kegelisahan. Sekali sekala kepala akan berpaling ke arah pintu bilik tidur kedua ibu bapanya yang masih tertutup rapat. Masih tiada tanda-tanda Encik Shakirin dan Puan Maisarah akan keluar. Ulwan juga masih tidak pulang dari rumah sejak tadi. Apabila ditanya, lelaki itu mengatakan akan balik sedikit lewat.
Bahu Aaira sedikit terangkat dek terkejut tatkala tangannya dipegang seseorang. Dengan muka pucat dia memandang Umar di sebelah.
"Aaira kenapa? Okay tak?"
Lama Aaira menatap seraut wajah Umar. Bagaimana kalau perkara yang dibincangkan pada malam ini berkaitan Haiyan?
Kening sebelah kanan Umar terangkat. Mempersoalkan tatapan yang sukar ditafsirkan daripada Aaira.
'Krekkk!'
Bunyi pintu terbuka mengalihkan pandangan mereka berdua. Encik Shakirin dan Puan Maisarah keluar dari bilik tidur mereka. Tetapi hanya Encik Shakirin yang menuju ke ruang tamu manakala Puan Maisarah menghilang di dapur.
Encik Shakirin terlebih dahulu mengambil tempat di sofa. Sementara menantikan kehadiran Puan Maisarah, Encik Shakirin dan Umar berbual kosong. Manakala Aaira memilih untuk mendiamkan diri sejak tadi.
Tidak sampai 5 minit kemudian, Puan Maisarah tiba di ruang tamu sambil menatang dulang berisi air. Teko kaca putih diangkat dan air kopi suam dituang tertib di dalam dua buah cawan. Lalu diletakkan di hadapan Encik Shakirin dan Umar.
"Eloklah kalau kita mula."
Aaira semakin tidak tenang. Sejak kehadiran kedua ibu bapanya, kepala hanya ditundukkan di bawah. Belakang telapak tangan sudahpun ada luka-luka kecil kerana mengenai kuku dek cubitan yang tidak berhenti dari tadi.
"Tujuan kita kumpul malam ni, sebab ada masalah yang perlu diselesaikan. Bukannya ayah dengan ibu nak masuk campur urusan rumah tangga kamu, tetapi ayah tak nak rumah tangga kamu berdua hancur. Sebelum Aaira dengan Umar dah kahwin lagi benda ni dah jadi. Bukan sekali ayah dah pesan. Berkali-kali. Nasihat, marah tetapi semua tak jalan."
"Aaira, kamu tahu apa yang ayah maksudkan?"
Umar terkedu. Mungkin yang dimaksudkan Encik Shakirin adalah teman lelaki Aaira. Ya, dia sudah maklum akan perkara itu sebelum mereka kahwin lagi. Kata kedua ibu mertuanya, Aaira sedang berhubungan dengan seorang lelaki. Perkara itu mengkhuatirkan mereka memandangkan lelaki yang dimaksudkan tidak pernah mereka temui. Juga perbualan mereka yang terlebih mesra melebihi batas.
"Ayah tanya kamu Aaira." Nada Encik Shakirin menjadi sedikit keras.
Aaira memberanikan diri memandang Encik Shakirin. Bibir digumam kuat. Perlahan-lahan kepala mengangguk.
"Jelaskan."
"Aa-aira..."
"Aa-aira..."
Muncul perasaan kasihan di dalam diri Umar. Dia tahu perkara itu tidak mudah bagi Aaira. Selama ini, dia hanya menunggu masa yang sesuai untuk membetulkan keadaan. "Ayah, maaf saya menyampuk."
"Ayah tahu apa yang kamu nak cakap. Kamu tak perlu bela isteri kamu. Ayah nak dengar penjelasan dari mulut dia sendiri."
Umar terdiam. Tangannya menggenggam tangan Aaira. Sedang menyalurkan kekuatan untuk gadis itu berbicara. Hanya itu yang boleh dia bantu.
"Aa-aira bb-belum putus dengan Haiyan. Aa-aira tengah fi-fikirkan cara nak bb-bagitahu dia."
"Tengah fikirkan cara? Tengah tunggu dia rosakkan rumah tangga kamu?"
"Tt-tak ayah... Aaira betul-betul tak tahu nak bagitahu dia macam mana."
"Kamu nak jaga hati dia? Habistu macam mana dengan Umar? Kamu tak fikir perasaan dia macam mana? Dia suami kamu."
"Berbuih mulut ayah suruh putus. Jangan ada hubungan dengan lelaki tu. Kamu degil. Ke nak tunggu nasi jadi bubur baru nak menyesal?
"Mm-maaf ayah. Aa-aira salah... Aa-aira salah..." Aaira sebak. Tubir mata mula bergenang.
"Buat apa kamu minta maaf dengan ayah? Sepatutnya kamu minta maaf dengan Umar."
"Atau kau ada buat benda buruk dengan Haiyan?"
-------------------
"AAIRA minta maaf. Aaira minta maaf sangat-sangat," Teresak-esak Aaira menangis memohon kemaafan. Tangan Umar dikucup berkali-kali. Air mata semakin deras mengalir di pipi tatkala Umar hanya mendiamkan diri.
"Aa-aira minta maaf awak. Ma-maafkan Aaira... Aaira tahu salah. Jangan abaikan Aaira macam ni. Hiks...hiks...hiks..."
Umar tersenyum tipis. Bahu Aaira dipegang dan tubuh itu ditarik ke dalam pelukan. "Saya dah maafkan Aaira. Dah, jangan nangis." Belakang badan Aaira diusap lembut.
"Aa-aira salah. Aa-aira salah..."
"Saya tahu hari ini akan tiba. Jangan sorokkan apa-apa daripada saya lepas ni. Hmm?"
Aaira mengangguk berkali-kali. Tubuh Umar semakin erat dipeluk. Mengingat akan masalahnya dengan Haiyan, tangisannya semakin menjadi-jadi. Bimbang lelaki itu akan menimbulkan masalah setelah dia meminta untuk putus.
"Dah dah, jangan nangis. Malu jiran dengar nanti," Lembut Umar memujuk. Sudah mati akal untuk menenangkan Aaira. Kalau bab pujuk memujuk, awal-awal lagi memang dah angkat bendera putih.
Gagal ❌
Minit demi minit tangisan Aaira semakin reda. Umar melonggarkan pelukan. Kedua tangannya melekap pada pipi kanan dan kiri Aaira. Perlahan-lahan kepala gadis itu ditolak sedikit ke atas agar memandangnya.
Merah wajah Aaira ketika ini. Mungkin kerana menangis sejak tadi. Ibu jarinya bergerak mengesat air mata yang berbaki di pipi Aaira. "Dah, tak nak nangis dah."
Umar cemas tatkala air muka Aaira berubah sebek. Air mata kembali bertakung. Menunggu masa untuk pecah.
Sudah. Aku cakap jangan nangis, tapi dia nangis pulak.
"Aaa, dah dah dah... Shhhhh..." Tubuh Aaira dipeluk kembali untuk beberapa saat sebelum dilepaskan. Dahi gadis itu dikucup lama sambil hati menzahirkan doa agar masjid yang baru dibina ini akan sentiasa dilindungi.
"Okay, tak nak nangis dah. Lupakan apa yang jadi. Kita kena bergerak ke depan, bukan ke belakang. Perkara yang lepas biarkan jadi sejarah. Esok, kita bukak buku baru. Minggu depan ada percubaan SPM kan?"
"Mmm," Aaira mengangguk. Wajah yang basah dikesat menggunakan belakang telapak tangan. Kemudian kepala berpaling ke tepi untuk seketika. Segan berhadapan dengan Umar. Dirinya terasa amat hina.
"Exam apa minggu depan?" Soal Umar sekadar menyerikan suasana. Dia tidak mahu Aaira terbeban dengan masalah yang terjadi sehingga menyebabkan pelajaran dan kesihatannya terjejas.
"Bb-bahasa melayu."
"Lagi?"
"Bahasa inggeris, matematik, bahasa arab."
"Ush, matematik best tu."
Terus kepala memusing ke hadapan. Keningnya hampir bertaut kerana tidak bersetuju dengan kata-kata Umar. "Tak best."
"Matematik lah paling best. Kacang je."
"Tt-tak best." Bantah Aaira dengan suara yang bergetar.
Umar mula tak senang duduk. Kepala yang tak gatal digaru-garu. Aku cakap matematik best pun salah ke? "Okay, okay matematik tak best. Susah."
"Mmm, susah."
Huh.
"Dah, pergi gosok gigi. Lepastu tidur. Esok nak bangun awal pergi sekolah." Arah Umar persis seorang bapa. Setelah Aaira hilang dari pandangan, barulah nafas lega dihela. Akibatnya kahwin dengan budak sekolah.
Layan.
-------------------
AAIRA duduk di muka pintu. Kasut sarung hitam dicapai dari rak kasut dan diletakkan di lantai. Seperti biasa, dicucuk-cucuk dahulu bahagian dalam kasut bagi memastikan tiada sebarang spesies tinggal dalam kasut. Dah serik kena sebelum ni.
Okay, selamat.
Selesai menyarungkan kasut, kepala Aaira menjenguk ke dalam rumah. Mencari kelibat Umar.
"Umar, dah siap ke belum?" Laung Aaira dengan sedikit kuat. Jam tangan dilihat sekilas.
6.47 am.
Dah lambat ni. Kalau ikutkan hati, dah lama aku naik bas. Tapi Umar pulak yang tak bagi dan offer nak hantar dekat sekolah.
'Sekejap.'
Sementara menunggu Umar, Aaira membetulkan tudung di cermin motorsikal. Kena pin elok-elok supaya awning tak rosak bila pakai helmet. Kalau tak, memang sehari mood aku melayang.
Lain yang ditunggu, lain yang memunculkan diri. Ulwan yang baru keluar dari rumah berjalan santai menghampiri Aaira. Baru sahaja tangannya mahu menyentuh kepala si adik, gadis itu terlebih dahulu mengelak.
"Apa abang Ulwan?"
Ulwan memeluk tubuh. Hujung kaki bergerak-gerak menghentak tanah sambil mata tidak lepas memandang Aaira. Apa abang Ulwan? Cis. Mentang-mentang dia dah ada suami, pandang kita pun sebelah mata je. "Oh, sekarang abang nak pegang sikit pun tak boleh."
"Abang yang suka rosakkan awning Aaira."
"Abang nak pegang kepala dia je."
"Sejak dulu abang suka kacau awning Aaira,"
Seminit kemudian, tergesa-gesa Umar keluar dari rumah. Dia hanya menyarungkan selipar hitam. Dengan seluar petak-petak, t-shirt pagoda warna putih poket dekat depan. Dah macam bapak-bapak nak hantar anak pergi sekolah.
"Sorry, saya sakit perut tadi." Ujar Umar sambil naik ke atas motorsikal. Helmet hitam jenis ducati disarungkan pada kepala. Dari atas sampai bawah memang tak kena si Umar ni.
Ulwan tergelak kecil. Suami isteri memang tak betul agaknya pagi ni. "Kau okay tak okay Umar? Mimpi apa malam tadi?"
"Aku rembat apa yang ada."
"Jom jalan cepat. Dah lambat." Gesa Aaira yang berada di belakang Umar. Bahu lelaki itu ditepuk beberapa kali mengarahkan agar lelaki itu segera bergerak dan berhenti berborak dengan Ulwan. Kedua sahabat itu kalau dapat bersembang memang tak nampak noktah.
"Ulwan, kitorang pergi dulu. Assalamualaikum."
"Jangan merempit!"
Motor jenis Honda EX5 milik Encik Shakirin bergerak di atas jalan raya. Difikirkan tujuan mereka terus ke SMK Abu Bakar, tetapi motosikal yang dipandu Umar berhenti di hadapan gerai nasi lemak Kak Midah di persimpangan jalan.
Aduh, takkan nak beli nasi lemak? Dah lambat nak ke sekolah.
"Beli nasi lemak dulu. Aaira tak sarapan apa lagi."
"Takpe lah. Saya dah lambat nak sampai sekolah."
Umar membuka cermin helmet yang tersarung di kepala. Kata-kata Aaira bagai masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. "Kak, bagi saya nasi lemak dua."
"Baik."
Aaira menepuk helmet. Umar memang tak makan saman. Kalau dia cakap A, maknanya memang A. Takkan jadi B.
Wanita lingkungan 40 an itu menghulurkan satu plastik hijau yang berisi nasi lemak kepada Umar. "Tiga ringgit."
Umar mengeluarkan not hijau bernilai 5 ringgit. "Baki kak simpan ya. Terima kasih, beli."
"Terima kasih dik. Kak jual."
Nasi lemak yang baru dibeli diletakkan di raga motor. Hampir jam 7.05 minit pagi barulah mereka tiba di hadapan SMK Abu Bakar.
Cepat-cepat Aaira turun dari motosikal. Helmet yang sudahpun dibuka diberikan kepada Umar. "Saya pergi dulu awak."
"Ni nasi lemak. Jangan lupa makan."
"Eh dua ke? Satu je."
"Ambik dua-dua."
"Tapi--"
"Dah, pergi masuk. Lambat nanti."
Usai bersalaman dengan Umar, laju Aaira memecut masuk ke dalam perkarangan sekolah. Mana tidaknya, pintu pagar tutup jam 7.10 pagi. Mahu nama aku tercoret dalam buku disiplin.
Share this novel