SETELAH memastikan tiada orang berbual lagi, barulah Umar masuk ke dalam bilik tidur yang menjadi tempat tidur mereka si pasangan suami isteri. Berhati-hati dia melangkah menghampiri katil agar tidak membangunkan Aaira yang sudahpun dibuai mimpi. Seraut wajah itu direnung lama.
Bohonglah kalau dia cakap dia tak kecewa. Hatinya bercelaru dan jiwanya kacau. Tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan perasaannya tika ini apabila isteri yang baru dinikahi bermesra dengan lelaki lain.
Ya, dia tahu pemanggil itu adalah seorang lelaki kalau mahu diikutkan daripada nada Aaira berbual. Mungkin lelaki itu adalah pemilik hatinya seperti yang diceritakan kedua ibu mertuanya sebelum ini. Lelaki yang mahu Aaira jadikan sebagai suami.
Kepalanya tergeleng-geleng. Posisi tidur si isteri dibetulkan sebelum selimut ditarik sehingga paras dada. Lalu telefon bimbit yang berada pada sisi gadis itu, diletakkan di atas meja kecil di sebelah katil.
'Tinggg!'
Bergetar telefon bimbit itu sebaik sahaja mesej masuk. Nama 'Habibiā”' terpapar di skrin.
Habibi?
Umar berlabuh di birai katil. Wajah cantik si isteri ditatap lama. Helaian rambut yang terjatuh di dahi gadis itu, dikuis menggunakan hujung jarinya.
"Macam mana aku nak buat kau terima aku?"
-------------------
AHH! DAH lambat!
Padah tidur selepas subuh. Lagi 10 minit sebelum pukul 9. Kalau lewat ni, habislah masa depan aku.
Beg galas yang berada di dalam almari, direntap kemudiannya terkecoh-kecoh Aaira menuju ke ruang tamu. Di tangan kanan memegang kasut sarung hitam, manakala tangan kiri memegang beberapa fail.
Memang tak sempat.
Tak sempat!
"Kamu nak ke mana kalut-kalut ni Aaira?" Tegur Puan Maisarah yang berada di ruang tamu. Encik Shakirin hanya memerhatikan anak perempuannya tanpa bersuara.
"Aaira ada kelas tambahan ni ibu... Aaira dah lewat."
"Itulah... Umar kejutkan kamu tak nak bangun."
"Hah? Umar? Umar mana pulak ni."
"Bertuah punya budak. Laki kamu lah. Umar Aidan."
Dahi ditepuk kesal. Bagaimana pula boleh lupa dengan perkahwinannya yang diadakan malam semalam. Konferm lah itu suami kau, mangkuk.
"Mana dia ibu?"
"Dia balik rumah kejap. Ambil bajunya."
"Abang, hantarlah anak awak tu ke kelas. Dia dah lambat." Lengan Encik Maisarah dipukul lembut oleh Puan Maisarah. Geram juga ada dengan suaminya. Merajuk mengalahkan budak-budak. Muncungnya bukan kemain memanjang.
Budak tu dah kahwin, tiada apa yang perlu dirisaukan. Umar boleh jaga anak awak.
"Suruhlah laki dia hantar. Apa abang pulak." Encik Said masih keras kepala. Surat khabar harian Metro dicapai lalu diangkat menutupi mukanya.
"Abang Ulwan mana ibu?"
"Dia terbongkang lagi lah tu. Semalam mengemas sampai ke tengah malam."
"Tak apa lah ibu, kejap je ni kalau Aaira pecut. Aaira pergi dulu ibu, abah... Assalamualaikum."
Deruman enjin motosikal menyentakkan mereka yang berada di situ. Saat helmet hitam lelaki itu dibuka, Aaira terlopong.
Aku fikir manusia mana sesat rumah, rupa-rupanya manusia yang menghilangkan diri sejak tadi.
"Ha, itu Umar dah balik," Ujar Puan Maisarah yang sedang mengorak melangkah ke muka pintu. Dia memandang anak perempuannya sambil mengangkat-angkat kening. Tetapi boleh pula gadis itu buat muka blur.
Hailah anak...
"Umar, tolong hantarkan Aaira ke sekolah. Dia ada kelas tambahan hari ini. Dah lewat."
"Ibu, tak nak lah dia hantar." Gumam Aaira perlahan dan sedikit keras. Tidak dapat bayangkan dia naik motor berdua dengan Umar. Kalau ternampak rakan-rakan sekelasnya, apa yang perlu dijawab.
"Boleh ke Umar?" Puan Maisarah memekakkan telinga.
"Boleh je ibu. Marilah,"
Laju Puan Maisarah masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil helmet. Kemudian dia menghulurkan pada Aaira dengan senyuman lebar. "Jangan buat muka macam itu Aaira. Dia dah sah jadi suami kamu." Lembut Puan Maisarah menegur dengan nada rendah.
"Baik ibu, Aaira minta maaf." Tangan Puan Maisarah dikucup.
"Kami pergi dulu ibu. Assalamualaikum,"
"Waalaikumsalam. Hati-hati bawa motor."
.
.
.
UMAR menyorokkan senyuman. Dia tahu si isteri bengang kerana terpaksa menunggang motosikal dengannya. Nak buat macam mana sayang, takkanlah saya nak cakap dekat ibu tak boleh. Nanti silap-silap kena cop menantu durhaka. Ha, kan dah tercemar nama Umar Aidan Umar Hafidz. Awak juga yang malu nanti ada suami seperti saya yang tak reti hormati orang tua.
"Kelas mula pukul berapa? Kenapa tak bagitahu saya?" Kuat Umar bertanya, melawan bunyi angin. Apabila tiada balasan daripada Aaira, motosikal hitam miliknya ditingkatkan kelajuan. Dek tidak bersedia, Aaira terjatuh ke hadapan hadapan seraya memeluk pinggangnya.
"Awak tak boleh bawa perlahan ke? Kalau saya jatuh macam mana?" Lengan si suami dicubit geram. Sedap hati je nak bawa laju-laju di jalan raya. Mentang-mentanglah pagi ni jalan raya lenggang. Mahu tercabut tudung aku tahu tak!
"Kalau jatuh, bawa pergi hospital lah."
"Ish, jahatlah dia ni." Belakang lelaki itu pula menjadi habuannya. Tak puas hati betul aku. Kalau ada dekat rumah, dah lama aku buka gelanggang WWE. Baru kau tahu perangai Aaira sebenarnya.
"Dah Aaira tanya, saya jawablah."
"Pegang elok-elok."
'Vrooommm!'
"Umar!"
Motosikal yang ditunggangnya berhenti di hadapan pondok bas berdekatan dengan Sekolah Menengah Abu Bakar. Kata Aaira, dia tidak mahu ada sesiapa melihat mereka berdua memandangkan tiada yang tahu tentang perkahwinan di antara mereka.
"Saya tak nak naik dengan awak dah lepas ini." Aaira turun dari motosikal dengan muka yang masam mencuka. Mana tidaknya, boleh pula lelaki itu pecut seperti mereka sahaja berada di jalan raya. Mahu melayang badan sekeping aku. Helmet cuba dibuka, namun tidak berjaya.
Heh! Semua nak cari pasal dengan aku.
"Sini," Lengan Aaira ditarik. Helmet di kepala isterinya dibuka dengan berhati-hati. Sedaya upaya tawa yang mahu terhambur, ditahan.
"Awak tak payah ambik saya sekejap lagi. Saya balik naik bas." Umar dijelingnya sebelum badan dipalingkan ke belakang. Belum sempat langkah diatur, tangannya sekali lagi ditarik lelaki itu.
Dia terkedu apabila tangan kanan lelaki itu naik di atas kepalanya. Manakala satu lagi tangan menggenggam erat tangannya. "Belajar elok-elok. Apapun yang Aaira buat, kerana lillahi taala. Bukan sebab nak dapat keputusan baik, bukan kerana arahan daripada cikgu tetapi semuanya kerana DIA."
Aaira mengangguk. Tangan Umar dicapai lalu dikucup. Walaupun dia seorang pelajar, namun pada masa yang sama adalah seorang isteri. Dia bukannya terlampau jahil sehingga tak tahu tanggungjawab seorang isteri.
"Balik pukul berapa?"
"Sebelas setengah."
"Okay, kejap lagi saya ambik."
Eh, jap. Bukan aku tengah marah dengan dia ke tadi? Bukan aku tak nak dia ambik?
Tangan Umar dilepaskan. Matanya mengecil merenung lelaki itu.
"Takkan saya nak biarkan awak naik bas sorang-sorang. Bahaya."
"Dah, pergi masuk. Tunggu saya ambik kejap lagi."
.
.
.
HUH, nasib baik cikgu belum masuk. Beg galas disangkut pada kerusi sebelum Aaira duduk kepenatan. Taubat, memang takkan tidur lepas subuh dah selepas ini.
Lambaian Farha dibalas dengan senyuman kelat.
"Asal kau lambat?"
"Aku tertidur lepas subuh."
"Kau tidur lewat eh semalam? Tapi asal muka kau berseri semacam? Ha, entah-entah dia kahwin diam-diam..."
Aaira terkedu. Macam mana Farha boleh tahu? Walhal majlis akad nikah semalam hanya dihadiri saudara-mara dan jiran terdekat.
"Jangan buat muka terkejut sangat. Aku gurau je lah." Bahu Aaira ditepuk-tepuk Farha.
Gurau? Aaira ketawa janggal. Bahu gadis itu kembali ditepuk-tepuk. Kau buat suspen lah. Hampir tercabut jantung aku. Mati-mati aku ingat kau tahu pasal majlis semalam.
"Kenapa? Ke betul ni?"
"Jangan mengarut. Aku tunggu kau dengan Zam naik pelamin dulu."
Melopong mulut Farha mendengarnya. Main kasar nampak. "Kau jangan macam-macam. Tak hingin aku dengan si Zamron tu. Buat sakit hati je."
"Jangan cakap tak nak. Jadi betul-betul nanti."
"Aaira!"
Berpusing-pusing kepala Aaira ke kanan dan kiri, mencari kelibat Izzat Zamri. "Tapi dia tak datang lagi lah. Ponteng lagi ke?"
"Dia eksiden semalam. Motor dia masuk parit."
Terus wajah Farha dipandang tepat.
"Mm-mak aku yang bagitahu lah. Kan mak aku kenal dengan mak dia." Jelas Farha seakan-akan mengetahui maksud pandangan Aaira. Kalau nak diikutkan hati, aku pun tak nak ambik tahu pasal dia.
'Cikgu datang, cikgu datang...' Dua orang pelajar lelaki terkecoh-kecoh kembali ke tempat duduk mereka. Beberapa saat kemudian, seorang guru perempuan melangkah masuk dengan rotan buluh di tangannya. Semua meneguk liur.
"Selamat pagi, cikgu..."
.
.
.
"WEH, lepak jom..."
Ajakan salah seorang rakan mereka mendapat persetujuan daripada Farha. Begitu juga Aaira. Namun, saat teringat akan pesanan Umar, kepalanya digeleng-geleng. Lelaki itu menyuruhnya menunggu untuk dijemput. Jika dia pergi bersama rakan-rakannya, seperti tidak patut pula.
"Kenapa kau geleng? Kau tak nak join kitorang ke? Jomlah Aaira..." Lengan Aaira digoyang-goyang Farha. Berharap gadis itu akan mengikuti mereka.
"Aku ada hal hari ini."
"Ala..."
"Nanti ada masa, kita lepak lain."
"Janji?"
"Ye, janji."
"Kitorang pergi dulu. Kau hati-hati."
Langkah diatur menuju ke pondok bas sebaik sahaja rakan-rakannya berlalu pergi. Sementara menunggu Umar, buku KERANA DIA dikeluarkan dari beg galas. Pembacaannya yang terhenti pada muka surat 21, sambung dibaca.
'Seorang wanita yang berhijab tentu bukanlah seorang malaikat yang bebas dosa, namun dia sedang berusaha menjadi muslimah idaman syurga.
Mengapa? Kerana mereka itu adalah orang-orang yang beriman, orang-orang yang sentiasa inginkan keberkatan daripadaNya.
Apabila orang lain sibuk mengejar dunia, tetapi apa yang dia fikirkan adalah bagaimana mahu menjadi hamba yang soleh solehah. Bagaimana mahu mendekatkan diri kepadaNya.
Untuk saat ini, pujuklah hati supaya kuat. Belajar menerima kerana apa yang berlaku adalah kehendak daripadaNya.
Jangan kerana manusia kau sanggup menggadaikam semuanya, kerana apa menyesal di kemudian hari tiada guna.
Semua ini KERANA DIA. '
Setiap bait-bait yang tertera, dihayati. Ya, semua ini kerana Dia.
Jam yang terlilit di tangan, dilihat. Sudah jam 11.45 tetapi batang hidung Uma masih sahaja tidak kelihatan. Haih, tadi siapa yang beria suruh tunggu dekat sini dan jangan pergi mana-mana. Akhirnya, dia yang tak muncul-muncul. Aku marathon balik rumah jugak satgi kang.
Buku 'Kerana Dia' nukilan Aden disimpan kembali ke dalam beg galas. Aden? Dah macam oden dah. Tak kisahlah siapa penulis dia, yang pasti cara penulisan dia sangat kemas dan sampai kepada pembaca.
Susah payah aku dapatkan kau, buku.
Beg digalas pada bahu. Lebih baik balik rumah daripada tunggu di sini. Entah-entah Umar lupa jemput aku. Atau paling teruk, dia tak ingat yang dia ada bini?
'PON!'
'PON!'
PANJANG UMUR! AKU BARU NAK SUMPAH KAU, UMAR!
"Aaira, cepat... Nak hujan ni."
Hujan? Awak tak sihat ke macam mana? Langit terang benderang lagi.
"Kalau saya tahu awak lewat, dah lama saya naik bas."
"Saya ada hal tadi. Jom..." Helmet hitam yang diletakkan di raga motor, dihulurkan pada Aaira. Apabila gadis itu hanya mengeraskan diri, dia mengeluh panjang. "Saya minta maaf lambat datang,"
Aaira tersenyum kemenangan. Sememangnya inilah yang mahu didengari.
"Kita nak pergi mana? ni bukan jalan balik rumah." Soal Aaira hairan tatkala jalan yang diambil Umar adalah berbeza. Tak mungkinlah dia lupa jalan nak balik rumah. Atau lelaki itu yang sesat?
Soalan Aaira dibiarkan seperti angin lalu. Semakin lama motosikal yang ditunggangnya semakin perlahan. Entah mengapa tiba-tiba sahaja hatinya berdebar-debar merasakan ada yang tidak kena. Tambahan lagi apabila melihat deretan kereta di jalan raya.
"Aaira ada lesen motor tak?"
"Hah? Lesen motor?"
"Ada tak lesen motor?"
"Tak. Bawak motor pun tak lepas. Kenapa awak tanya?"
"Saya rasa dekat depan tu ada roadblock."
"Jadi?"
"Lesen motor saya dah lama mati."
"What?!"
Share this novel