BAB 12

Romance Series 8597

DEWAN menjadi senyap sepi tatkala tetamu jemputan yang dinanti-nantikan telah tiba. Beliau diiringi pengetua dan beberapa orang guru untuk masuk ke dalam dewan. Terus dibawa ke tempat duduk yang telah disediakan.

Pengacara majlis memulakan majlis dengan membaca Al-Fatihah. Setelah itu membaca sedikit kata-kata aluan sebelum forum perdana pada pagi ini dimulakan dengan rasminya.

"Dengan segala hormatnya saya menjemput panel-panel kita untuk berada di atas pentas."

Seramai 4 orang individu naik ke atas pentas termasuk tetamu jemputan yang menjadi subjek utama pada hari ini.

"Saya Ustaz Taufiq sebagai pembawa forum. Sebelum tu, saya mengalu-alukan kedatangan tetamu jemputan kita pada hari ini. Ustaz Umar Aidan."

Umar yang segak mengenakan sut lengkap berwarna peach lembut menunduk sebagai tanda menyapa kepada penonton. Sempat juga meliar matanya mencari kelibat si isteri.

"Segak ye ustaz Umar kita. Kalau nak tahu, ini housemate saya semasa Jordan. Pemalu orangnya."

Umar tertawa kecil. Begitu juga para penonton yang terhibur dengan usikan itu.

"Bagi pelajar perempuan yang memendam perasaan pada ustaz Umar, mohon lupakan. Ustaz Umar baru sahaja berkahwin beberapa hari lepas."

Keadaan menjadi sedikit bising. Mungkin tidak menyangka bahawa lelaki muda itu sudah berpunya. Namun keadaan menjadi tenang semula sebaik sahaja forum dimulakan. Setiap panel diarahkan untuk memperkenalkan diri masing-masing.

Bermula dari panel satu, ustaz Khairul. Kemudian panel kedua, ustazah Masrah. Dan kini tiba panel ketiga iaitu Umar Aidan.

Salam diberikan terlebih dahulu. "Assalamualaikum semua."

"Waalaikumsalam."

"Terima kasih kepada pembawa acara yang kacak lagi bergaya iaitu ustaz Taufiq Azhar. Terima kasih juga kepada panel-panel yang ada, begitu juga pihak sekolah kerana berikan peluang untuk saya berada di sini pada pagi ini."

"Terlebih dahulu nama saya Umar Aidan bin Umar Hafidz. Lebih dikenali sebagai ustaz Umar. Tapi jangan salah faham. Saya bukan ustaz di mana mana institusi pengajian. Jadi, saya lebih selesa dipanggil encik Umar. Nak panggil abang Umar pun boleh juga. Sebab umur kita tak jauh beza. Tahun ni baru masuk 25 tahun."

Pecah ketawa semua yang ada.

"Saya lulusan bahasa arab dan kesusasteraan di universiti of Jordan dengan Ustaz Taufiq. Tapi sebenarnya saya lebih minat matematik daripada bahasa arab. Disebabkan ada beberapa masalah, saya pilih bahasa arab."

"Walaupun begitu, pekerjaan saya sekarang bukan akauntan, bukan pensyarah atau guru bahasa arab, bukan juga penceramah bebas, tetapi pekerjaan saya adalah chef."

Para pelajar mahupun guru tergamam dan terkejut. Menantikan cerita seterusnya daripada ustaz muda itu.

"Saya pun tak tahu macam mana boleh berakhir dengan chef." Di akhir kata Umar tertawa kecil. Begitu juga dengan yang lain.

"Tetapi percaturan Allah itu cantik. Alhamdulillah, sekarang saya dah ada restaurant sendiri dan dah ada dua cawangan. InsyaAllah, akan dibuka beberapa lagi cawangan di luar negeri."

Tepukan gemuruh memenuhi seisi dewan.

"Jujur saya cakap, sekolah ni adalah sekolah pertama yang jemput saya dalam majlis agama. Sebab saya lebih banyak terlibat dengan program motivasi walaupun bukan pakar motivasi."

"Saya baru keluarkan sebuah buku berkaitan jatuh bangun seseorang individu. Saya akan jelaskan dengan lebih terperinci pada slot seterusnya."

"Saya rasa itu sahaja. Dah panjang lebar dah ni. Saya serahkan kepada ustaz Taufiq semula."

"Terima kasih kepada ustaz Umar. Cantik sungguh ye perjalanan hidup beliau. Minat matematik, tetapi sambung belajar bidang bahasa arab. Kemudian bekerja sebagai chef. Juga penulis buku dan penceramah motivasi. Masih muda tetapi Ustaz Umar dah bolot semua ye bakat yang ada."

Umar tergelak lucu sambil badan menunduk sedikit ke bawah untuk beberapa saat. Tiba-tiba terhibur dengan komen selamba yang diberikan.

"Ceritanya sangat bermotivasi dan semoga dapat beri inspirasi kepada semua. Terima kasih juga kepada kedua panel kita yang lain iaitu ustaz Khairul dan ustazah Masrah. Mereka pun kelihatan agak terpegun ye mendengar cerita ustaz Umar."

Ustaz Khairul mengangkat mikrofon ke hadapan mulut. "Saya sangat terkejut ye bila ustaz Umar cakap sekarang beliau adalah chef."

Umar mengukir senyuman. "Saya pun masih tak percaya."

Sekali lagi dewan bergema dengan bunyi ketawa. Termasuk juga para panel yang berada di atas pentas.

"Kita boleh berkenalan lebih mendalam dengan ustaz Umar pada slot seterusnya."

"Baiklah, sepertimana yang kita sedia maklum bulan mulia iaitu bulan Ramadhan akan tiba tidak lama lagi.
Allah SWT ada merakamkan banyak cerita tentang Ramadahan di dalam Al-Quran. Antara firmannya dalam surah al-Baqarah, ayat ke 183 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."

...

"Selepas rehat, pelajar tingkatan 4, dan 5 diminta berkumpul semula di dewan untuk meneruskan slot seterusnya dengan ustaz Umar. Manakala tingkatan 1, 2 dan 3 boleh masuk ke kelas untuk meneruskan pembelajaran seperti biasa."

-------------------

AAIRA keluar dari tandas wanita setelah hampir 30 minit berada di dalamnya. Bawah matanya sedikit bengkak dengan wajah yang sedikit merah. Mungkin kerana gagal menahan perasaan dan mengakibatkannya berjuraian air mata beberapa puluh minit.

Pipi ditepuk-tepuk bagi menghilangkan kesedihan. Segala fikiran negatif cuba dilupakan.

It's okay Aaira. Semangat.

Modul yang diletakkan di atas kerusi di luar tandas dibawa ke dalam pelukan. Lalu langkah diatur menuju ke dewan untuk mencari cikgu Hanisah.

"Cikgu."

"Ha, Aaira. Dah siap dah?"

Sebaris nama itu menarik perhatian Umar yang berada di atas pentas. Terus terangkat kepalanya ke hadapan.

"Dah cikgu."

Cikgu Hanisah mengambil sebahagian modul di tangan Aaira. "Yang ni kamu tolong edarkan kepada pelajar perempuan boleh?"

"Baik cikgu."

Bebola mata Umar bergerak mengikuti Aaira sehingga gadis itu keluar dari dewan. Aaira sepertinya masih tidak tahu tentang kehadirannya di sini. Entah mengapa dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Wajah Aaira agak sembab persis malam semalam ketika gadis itu menangis.

Tiba-tiba sahaja Umar tidak sedap hati.

"Baiklah, semua dah ada ke?"

Suara cikgu Hanisah lantang kedengaran melalui pembesar suara.

"Dah!"

"Tanpa membuang masa, dengan segala hormatnya cikgu menjemput ustaz Umar untuk meneruskan slot seterusnya."

Tepukan gemuruh memenuhi dewan. Umar bangun untuk mengambil alih majlis. Slide berwarna turquoise gelap, tulisan putih terpapar besar di hadapan dewan.

'Kerana Dia,'

"Assalamualaikum semua. Kita jumpa lagi pada slot terakhir pada hari ini."

"Waalaikumsalam!"

Aaira berhenti menulis sesuatu di dalam buku catatan. Dahinya mengerut halus memikirkan si empunya suara. Kenapa macam pernah dengar?

"Aaira, encem kan ustaz Umar. Rugi kau takde waktu forum tadi."

Ustaz Umar?

Tegak Aaira memandang ke hadapan. Lihat sahaja figura yang menjadi tumpuan para pelajar, matanya sudah membuntang luas.

Umar?

"Tengok, kau pun teruja tengok dia. Hensem gila, dah lah putih, tinggi pulak tu. Tapi sayang, dia dah kahwin."

Kepala Aaira memusing ke arah Farha. "Dia ke tetamu penting hari ni?" Soalnya masih tidak percaya.

Farha mengangguk-angguk. "Haah... Dialah."

Mata Aaira terpejam lama.

Ya Allah, kenapa aku tak perasan dia ada dekat atas pentas dari tadi? Kalau dia nampak muka aku yang macam tempoyak ni, apa nak dijawab. Takkan nak bagitahu aku baru habis nangis sebab tak dipercayai cikgu.

Sangat kebudak-budakan.

"Kenapa? Kau kenal dia ke?"

Kenal. Sangat kenal. Terlebih kenal.

"Eh, nak tahu jugak siapa bini dia. Mesti lawa kan... Nak cari ig dia lah nanti."

Farha dijeling dengan mata kuyu.

Memang lawa bini dia. Ni, duduk sebelah kau ni bini dia. Lagi satu, dia adalah penulis buku 'Kerana dia'? Aden Hafidz? Maknanya selama ni aku mesej dengan Umar?

Huh? Kenapa dia tak pernah bangkitkan tentang perkara tu sedangkan dia tahu aku pernah beli buku Kerana Dia? Kenapa dalam banyak-banyak sekolah, sekolah aku jugak yang dia kena datang.?

-------------------

"AAIRA Ufairah."

Langkah Aaira terhenti. Tidak usah menoleh pun dia sudah tahu siapa pemilik si empunya suara.

Aduh.

Dalam sekelip mata sahaja Umar berada di hadapan mata. Bimbang ada yang melihat mereka berdua, lengan lelaki itu ditarik mengikutinya sehingga mereka tiba di belakang bangunan sekolah. Meskipun begitu, Aaira tetap waspada. Sekeliling diawasi berkali-kali. Persis pelajar bercinta yang berjumpa secara rahsia.

"Kenapa? Cepat cakap."

Bibir Umar terangkat sedikit ke atas. Pelik dengan tingkah Aaira. Takut sangat ke kalau ternampak oleh orang lain? Mereka bukannya buat perkara tak elok.

"Ada apa?" Sekali lagi soalan yang sama diajukan. Kalau nak diikutkan hati, Aaira mahu cepat-cepat pergi dari sini. Tadi punyalah awal aku keluar dewan sebab tak nak jumpak dengan Umar. Tapi sekarang??

Ish, nak apa? Cakaplah cepat. Bukannya suruh senyum.

Umar tersengih. Ini barulah Aaira yang dia kenal. Mungkin dia yang terlebih risaukan gadis itu. "Saya nak kena gerak ke KL lepas ni. Mungkin lewat malam baru balik. Nanti Ulwan ambik Aaira dekat sekolah."

"Oh, okay."

Okay? Apa maksud okay? Itu je?

"Ada apa-apa lagi?"

"Tak."

"Kalau macam tu saya pergi dulu ye."

"Eh, kejap."

Aaira memutarkan bebola matanya. Dah kenapa tiba-tiba cakap separuh separuh. Lama dia memandang Umar, menantikan bicara lelaki itu seterusnya.

"Tadi nangis ke?"

Zappp!

Bagai ada yang merentap hatinya. Dalam banyak-banyan soalan, kenapa soalan ini jugak yang ditanya.

Tak, tak nangis!

"Kenapa? Ada masalah ke dekat sekolah?"

Bibir menarik senyuman lebar. "Tak ada. Eh, kenapa tak bagitahu saya awak penulis buku Kerana Dia?" Aaira menukar topik perbualan. Tidak mahu dirinya terus diasak dengan pertanyaan yang sukar dijawab.

"Ya, saya penulis buku Kerana Dia. Aaira bangga tak ada suami penulis buku?" Kedua-dua kening Umar diangkat-angkat beberapa kali.

Aaira mencebik bibir. Lengan Umar ditamparnya. "Kenapa awak tak bagitahu saya sebelum ni?"

"Aaira tak pernah tanya."

"Awak tahu kan saya pernah beli buku Kerana Dia? Saya mesej awak malam tu."

Umar tidak menjawab. Bebola matanya meliar ke sekitar sebelum kepala menggeleng-geleng menandakan bahawa dia tidak tahu.

Sekali lagi lengan Umar ditampar Aaira. Agak-agaklah lah nak menipu pun. Belajar lagi macam mana nak kelentong. Muka dia dah jelaskan semuanya. Memang sengaja kan dia nak kenakan orang.

"Saya cuma tahu pembeli malam tu brutal semacam. Saya tak nak duit. Nak buku."

Aaira mengetap bibir. Kurang asam punya Umar.

Umar menunduk ke bawah beberapa saat bagi mengelakkan senyumannya dilihat Aaira. Lalu bahu gadis itu dipegang. "Dah, pergi masuk kelas."

"Ohh,"

Baru sahaja setapak Aaira melangkah, sekali lagi dia dihentikan oleh Umar. Apa lagi Umar Aidan?

"Pergi macam tu je?"

Aaira kembali berpusing ke belakang mendapatkan Umar. Tangan kanan lelaki itu dicapai dan dibawa ke bibir. "Selamat pergi dan pulang Umar."

Tubuh kecil Aaira ditarik ke dalam pelukan untuk beberapa saat. "Tunggu saya balik."

Panas wajah Aaira ketika ini. Kiri dan kanan dipandang bagi memastikan tiada siapa di sekeliling mereka. Boleh pulak si Umar buat aksi luar biasa dekat tempat umum. Sekolah pulak tu. Kalau ada cctv tersorok dekat belakang bangunan ni, tamat riwayat.

"Dah, pergi masuk kelas. Belajar elok-elok."

Aaira hanya membalas dengan anggukan. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Masih terkejut dengan tindakan spontan Umar sebentar tadi.

Ahh, Umar memang di luar jangkaan.

-------------------

JAM di dashboard kereta dilihat untuk kesekian kalinya. Sudah hampir jam 3.00 pm, namun kelibat Aaira masih tidak kelihatan. Haiyan menunggu dengan penuh sabar. Matanya tidak lepas dari memandang pintu pagar sekolah. Seorang demi seorang pelajar sekolah yang keluar dari situ diperhatikan.

Sebaik sahaja melihat Aaira yang memakai beg galas bewarna putih melangkah keluar dari perkarangan sekolah, terus keretanya yang diparkir di bahu jalan dipandu sehingga tiba di hadapan pagar. Tingkap di bahagian pemandu dibuka. "Aaira,"

Aaira yang terkejut dengan kehadiran Haiyan, melompat setapak ke belakang. Tangan melekap di dada yang berdebar kencang dek terkejut.

"Aaira masuklah. Abi hantar awak balik."

"Apa awak buat dekat sini?"

"Masuklah dulu. Abi tak boleh parkir lama-lama dekat sini."

Mahu tidak mahu terpaksa juga Aaira menuruti arahan Haiyan. Khuatir jika ada yang melihat mereka berdua. "Bila awak sampai? Awak buat apa dekat sini?" Soalnya bertalu-talu tatkala kereta yang dipandu Haiyan bergerak di atas jalan raya. Masih terkejut dengan kerana Haiyan menjemputnya pulang dari sekolah.

"Abi ada kerja dekat sini. Alang-alang boleh jumpak awak sekejap." Bohong Haiyan.

Aaira mengangguk-angguk. Sememangnya Haiyan lebih banyak bekerja di luar negeri. Jadi, tak hairanlah kalau lelaki itu boleh sampai ke sini.

"Aaira sibuk ke? Susah dah sekarang nak mesej dia. Hahaha,"

"Ssi-sibuk."

"Oh, lupa. Minggu depan ada percubaan SPM kan?"

"Haah, ya." Aaira membuang pandangan ke luar tingkap. Tiba-tiba terasa janggal berdua-duaan dengan Haiyan. Tidak seperti sebelum ini. Terasa asing dengan jalan yang dilalui Haiyan, dahi Aaira berkerut. "Awak, ni bukan jalan nak balik rumah saya."

"Abi tak makan lagi dari. Awak temankan abi makan boleh?"

"Erk, tapi saya kena balik. Ibu abah mesti risaukan saya."

"Aaira call diorang bagitahu keluar dengan kawan."

Aaira termati kata-kata. "Haiyan, saya ada benda nak bagitahu awak."

Haiyan menggenggam kuat stereng kereta. Bibir dipaksa menarik senyuman lebar. "Kita pergi makan dulu okay,"

"Tapi benda ni penting. Saya tak nak terus rasa bersalah dekat awak."

Pedal minyak ditekan Haiyan. Kereta yang dipandunya bergerak semakin laju di jalan raya.

"Saya nak jujur dengan awak yang saya sebenarnya--"

'Pappp!' Kuat stereng kereta dihentak Haiyan.

Aaira tersentak. Baju kurung kurungnya digenggam bagi menyalurkan kekuatan. Mata terpejam lama. "Saya--"

"Diam!"

Share this novel

laisa
2023-08-17 12:31:07 

Next B-)


NovelPlus Premium

The best ads free experience