BAB 11

Romance Series 8597

PERHIMPUNAN pagi dimulakan dengan amat 'bosan'. Mana tidaknya kalau kena dengar ketua pengawas a.k.a Zariff si spek mata tebal berucap. Lelaki itu kalau dapat mikrofon memang tiada niat nak lepaskan. Perhimpunan pagi yang biasanya hanya 15 minit pun jadi setengah jam. Kalah pengetua membebel ketika perhimpunan rasmi.

Aaira menongkat dagu. Mata yang terasa memberat dikerdipkan beberapa kali. Kalau kantoi aku buat taik mata ni, konferm kena berdiri sepanjang perhimpunan.

Bibir tersenyum senget tatkala melihat Farha sedang tersengguk-sengguk. Jelas, bukan aku sahaja yang bosan dan mengantuk.

Peha gadis itu ditampar perlahan. Automatik badan Farha menegak. Mata yang kuyu juga sudah terbuka luas sambil memandang tepat ke hadapan.

Aaira menekup mulut menggunakan tapak tangan. Menahan tawa yang mahu terhambur. Ketika Farha berpaling ke tepi, kenyitan mata dihadiahkan.

"Ish kau ni. Buat terkejut aku je. Ingatkan Fatimah yang pukul aku." Bisik Farha. Sempat dia mencuri lihat ke arah Fatimah si pengawas garang yang berada di bahagian belakang barisan.

Peh, fokus gila dia dengar Zariff berucap. Memang pelajar cemerlang.

"Hehehe, tahu takut."

"Gila kau tak takut. Dia tu bukannya reti berkompromi. Silap hari muka cantik aku terpampang dekat papan kenyataan sebab tidur dekat perhimpunan."

Aaira juga mencuri lihat ke belakang. Tatkala dia dan Fatimah bertentang mata, lantas kepala berpaling ke hadapan. "Shh, dia tengok sini weih."

Aaira dan Farha fokus pada Zariff untuk beberapa minit. Satu pun ucapan lelaki itu tidak difahami. Masakan tidak jika tubuh badan sahaja berada di sini manakala roh sudah melayang ke mana entah.

Nafas dihela berat. "Dah setengah jam dia bebel."

"Dalam kamus hidup dia mana ada tanda noktah."

"Okay, setakat itu sahaja untuk pagi ni."

Terus mata Aaira menjadi segar. Bukan setakat Aaira sahaja, malahan hampir kesemua pelajar meluahkan rasa 'syukur' dengan senyuman yang tercoret di wajah.

Kami pelajar-pelajar SMK Abu Bakar tersiksa dengan ucapan Zariff Husaini bin Badrul Hisham. Kenyataan dan fakta. Sila ambil tahu.

-------------------

GELAS berisi air teh 'o' diangkat paras mulut. Dihirup perlahan sambil mata tidak lepas memerhatikan Umar yang sibuk menghitung sesuatu di dalam telefon. Sejak setengah jam yang lepas mereka bertemu, lelaki itu tidak sudah-sudah dengan kerjanya. Agak-agaklah pun. Sudahlah sekarang nak jumpak aku pun susah. Lepastu bila dah jumpak, kau sibuk pulak dengan kerja.

Telefon yang berada di pegangan Umar dirampas. "Kau boleh berhenti tengok telefon?"

Sekilas Wafi dijeling sebelum telefon bimbitnya kembali direbut. Mulutnya bergerak-gerak, menyambung semula hitungan yang tergendala.

Wafi menarik nafas dalam. Bebola mata digulingkan menyampah. "Tengoklah. Dah kahwin, lupa kawan."

Beberapa minit kemudian, barulah hitungan Umar selesai. Nota ringkas dibuat agar tidak lupa dan hilang. Lalu air botol diteguk tertib. Telefon bimbit juga telah dimatikan dan diletakkan di tepi. "Kau jadi nak balik Perlis?"

Ceh, dia buat muka tak bersalah. Macam tak ada apa-apa. Aku dari tadi macam cakap dengan tiang elektrik. "Aku tak nak cakap dengan kau."

Umar berdecit kecil. Tak habis-habis dengan perangai budak-budak dia. "Okay."

Wafi tercengang. Kedua tangan disilangkan ke dada dengan mata yang mengecil merenung Umar. "Dah ada isteri, lupa kawan. Kalau aku tak ajak kau keluar, entah-entah sampai sekarang pun tak nampak batang hidung kau."

"Kau kahwinlah jugak."

Kahwin?

Senang kau cakap. Masalahnya calon pun tak nampak lagi. Aku bukannya ada aura nak pikat mak pak mertua macam kau. Baru hari ni jumpak, tiba-tiba dah kena melamar dari pihak perempuan. Tup-tup minggu depan terus kahwin.

Pelik tapi benar. Orang lain ambik masa berbulan-bulan untuk kenal, kau cuma ambik masa tak sampai sehari.

"Kenapa?" Soal Umar pelik. Suruh kahwin, boleh pulak Wafi buat muka toya. Nak kata calon tak dak, tiap-tiap hari keluar dengan perempuan. Bukannya seorang. Boleh pilih mana saja.

"Yang pasti aku dah halal. Bukan haram."

Sekejap, Umar perli aku ke tadi? "Umar, kau main kasar?"

Umar tidak membalas. Bersahaja dia memeluk tubuh. Tidak ada sedikit pun riak bersalah di wajahnya. Tidak kisah jika Wafi terasa ataupun tidak. Bukannya baru pertama kali dia menegur dengan cara sebegini.

"Apa maksud senyuman kau?"

"Hah?"

"Apa hah?"

"Masa bila aku senyum?"

"Jangan ingat aku tak nampak. Kau senyum beberapa saat tadi." Tempelak Wafi penuh berang dan tidak puas hati. Aku nampak dia senyum tadi! Itu senyuman mengejek atau apa? Sila jelaskan!

Oh, mentang-mentang dia dah kahwin. Boleh buat berlagak eh.

"Kau balik Perlis bila?"Soalan yang sama Ulwan tanyakan.

Wafi mencebik bibir. Tukar topik, tukar topik.

"Bila?"

"Kenapa? Nak ikut aku balik?" Soalan berbalas soalan. Sengaja Wafi memanaskan keadaan. Walhal dia tahu jawapan yang bakal diberikan. Dari dulu pun susah nak ikut aku balik Perlis. Tambah lagi sekarang bila dah ada bini. Mesti sayang sangat nak tinggal orang rumah dia. Al-maklumlah, lelaki itu hanya ada dua minggu lagi untuk bermadu kasih dengan si isteri sebelum perlu pulang ke Selangor.

"Aku nak kirim barang dekat mak ngah."

"Mira? Dia bukan tak balik lagi?"

"Macam tak kenal pulak adik sendiri."

"Jangan cakap dia pergi berjalan lagi. Aih, budak ni. Dah lama rasanya tak kena lesing dengan aku."

Umar mengangkat bahu menandakan bahawa dia juga tidak tahu perihal Amira, adik kepada Wafi. Gadis berusia 19 tahun itu memang jenis tak lekat dekat rumah. Kali terakhir dia melihat Gadis itu adalah seminggu yang lepas. Pada hari akad nikahnya dengan Aaira. Kemudian menghilang.

"Kau tolong call dia kejap." Arah Wafi.

"Mana telefon kau?"

"Aku call dia takkan angkat."

Umar menghubungi Amira seperti yang diarahkan. Bahagian speaker ditekan dan telefon bimbitnya di letakkan di tengah-tengah meja makan.

Sedang menanti panggilan disambungkan, tergopoh Wafi menghabiskan bihun sup di dalam mangkuk. Sebagai tenaga untuk berperang dengan si adik. Degil dia memang tak boleh bawak bincang. Sental dengan clorox pun tak hilang.

'Helo?'

Umar dan Wafi saling berpandangan. Lalu isyarat diberikan kepada Umar agar lelaki itu teruskan bercakap.

"Abang Umar ganggu Mira ke?"

'Tak. Kenapa abang Umar?'

"Mira ada dekat mana? Dah balik Perlis ke?"

Tiada suara Amira membalas di corong telefon. Cepat-cepat telefon bimbit tersebut dicapai Wafi. Bimbang sekiranya Amira mematikan panggilan dan menghilang lagi.

Nafas lega dihela tatkala melihat nama gadis itu masih terpapar di skrin. Matanya membulat, mengarahkan agar Umar bersuara.

"Mira?"

'Wafi yang suruh tanya?'

Wafi dan Umar saling berpandangan lagi. Sudah, budak ni macam tahu-tahu je. Laju kepala Wafi menggeleng.

"Kalau Mira nak balik Perlis, abang nak kirim barang. Bagi dekat mak ngah."

'Oh. Tapi Mira tak balik Perlis lagi.'

"Mira ada dekat mana sekarang?"

'Abang Umar ada dengan Wafi kan?'

Wafi mengetap gigi. Geram dengan si adik, telefon bimbit Umar diletakkan di hadapan mulut. "Kau ada dekat mana?"

'Tuttt!'

'Tuttt!'

Panggilan dimatikan.

"Amira!"

Umar berdiri. Telefon bimbit miliknya di tangan Wafi dirampas dan dimasukkan ke dalam poket seluar. "Esok-esok dia baliklah tu."

"Selagi dunia tak kacau, jangan harap dia nak balik. Hantar belajar, boleh dia pergi merayap. Memang nak kena dengan aku." Perasan Umar sudah bangun, lelaki itu dipandang pelik. "Kau nak pergi mana?"

"Aku ada program kejap lagi."

"Kita baru jumpak setengah jam."

"Program aku mula pukul 10. Nanti kita lepak lain."

"Yah Umar." Suara Wafi mula meninggi tatkala Umar melangkah pergi. Kesal dengan perkara itu, tangan dihentak kuat di atas meja. Semua nak tinggalkan aku. Ajak Ulwan lepak pun, dia cakap sibuk. Dan sekarang Umar?

Ohh, mentang-mentanglah hampa dan jadi keluarga, aku pun tak dikisahnya lagi. Sampai hati.

-------------------

"DIMINTA semua pelajar berkumpul di dewan bagi menghadiri program Ihya' Ramadhan."

Pengumuman yang bergema di SMK Abu Bakar menarik perhatian para pelajar yang berada di sekitar kawasan sekolah. Yang sedang belajar di kelas juga berhenti seketika untuk mendengar pengumuman tersebut.

"Diulangi. Diminta semua pelajar berkumpul di dewan untuk menghadiri program Ihya' Ramadhan."

Sebaik sahaja pengumuman tersebut berakhir, terdengar sorakan para pelajar. Siapa sahaja yang tak suka ponteng kelas kan.

Para pelajar Tingkatan 5 Bukhari siap-siap berkemas untuk bergerak ke dewan. Pelajaran mereka pada pagi ini terhenti untuk seketika.

"Oh, ini ke program yang diorang bincang semalam tu?" Soal Farha sambil memasukkan kotak pensil ke dalam laci meja. Sempat air mineral diteguk terlebih dahulu.

Aaira hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu. Ada atau tidak program Ihya' Ramadhan pada hari ni, yang pasti dia tetap akan ponteng kelas. Cikgu Hanisah awal-awal lagi sudah mengingatkannya agar berada di bilik guru pada jam 10.00 pagi.

"Jom."

"Aku kena jumpak cikgu Hanisah. Kau pergilah dewan dulu."

"Jumpak cikgu Hanisah? Kenapa?"

Sekali lagi Aaira mengangkat bahu. Dia juga tidak pasti mengapa cikgu kaunseling itu mahu bertemu dengannya.

"Kau ada buat masalah ke?" Tebak Farha dengan wajah terkejut.

"Entahlah. Aku pergi dulu ye."

"Nanti dah habis, kita jumpak dekat dewan."

"Okay."

Dalam beberapa minit sahaja, kawasan sekolah menjadi lengang memandangkan pada pelajar sudahpun berkumpul di dewan. Aaira meneruskan langkahnya menuju ke bilik guru.

Sesampainya di sana, hanya 3 orang guru perempuan dan seorang guru lelaki yang kelihatan.

Pintu bilik guru diketuk beberapa kali.

'Tokkk!'

'Tokkk!'

'Tokkk!'

Serentak itu, kesemua individu di dalam bilik guru memandang Aaira.

"Ha Aaira, kenapa kamu tak berkumpul lagi di dewan?" Tanya salah seorang guru perempuan yang sedikit berisi, memakai tag nama Fazira.

"Erk, cikgu Hanisah nak jumpa saya."

"Cikgu Hanisah baru je pergi ke dewan. Kamu masuklah dulu."

Aaira membuka kasut sebelum masuk ke dalam bilik guru. Dia menempatkan dirinya pada sofa yang tersedia di situ. Bukan sekali pernah menunggu di sini.

"Aaira, kamu datang ke sekolah naik motor ke?"

Pertanyaan 'tiba-tiba' daripada seorang guru perempuan mengejutkan Aaira. Lambat-lambat kepala mengangguk.

Jangan cakap yang Cikgu Asyikin nampak aku naik motor dengan Umar.

"Saya berselisih dengan kamu tadi. Kamu datang dengan siapa?" Ketiga-tiga guru perempuan itu fokus kepada Aaira. Menantikan jawapan yang akan diberikan gadis itu.

Ahh, sudahlah cikgu Asyikin and the gang memang kaki gosip. Kalau aku bagitahu dengan suami, agak-agak meletup bilik guru ni. Mesti dalam sehari sahaja semua cikgu dah tahu aku dah kahwin. Lepastu tercetus cerita yang bukan-bukan.

"Pakwe kamu hantar eh?" Tokok seorang guru berusia 30an dari Kelantan yang dikenali sebagai Cikgu Farah. Cikgu Zira sudah ternganga besar.

"Kamu ada pakwe Aaira?" Soalnya dengan nada terkejut.

Aaira sudah serba tidak kena. Kepala yang tidak gatal digaru-garu. "Bb-bukan cikgu. Bukan pakwe saya."

"Kamu ni Zira. Takkanlah pakwe dia nak hantar ke sekolah." Cikgu Asyikin ketawa kecil.

"Mana tau Syikin. Budak-budak zaman sekarang bukannya macam budak zaman dulu-dulu."

"Ehh, kalau gitu awat mu takde pakwe lagi? Mu bukannya budak zaman dulu." Serang cikgu Farah.

Pecah ketawa cikgu Asyikin dan Cikgu Zira.

"Farah, aku ni lahir 92. Agak-agaklah. Hahaha."

Aaira hanya mampu tersenyum tawar. Dalam hati tidak berhenti berharap agar Cikgu Hanisah muncul secepat mungkin. Makin biru aku duduk sini lebih lama.

Seakan-akan doanya dimakbulkan, tiba-tiba sahaja kedengaran suara Cikgu Hanisah menyampuk.

"Dari jauh dah dengar suara Zira." Cikgu Hanisah melangkah masuk ke bilik guru sambil membawa sebuah fail biru. Sekali lagi bilik guru bergema dengan suara ketawa.

"Inilah Farah. Dia suruh saya cari pakwe."

"Sekejap lagi penceramahnya segak Zira. Muda lagi."

"Hahaha... Kak Nisah."

Cikgu Hanisah tersenyum lucu sambil menapak ke arah Aaira. Fail yang dibawa diletakkan di hadapan gadis itu. "Cikgu nak mintak tolong kamu. Boleh ke?"

"Boleh cikgu, boleh."

Aaira mengenjak sedikit ke tepi memberi ruang kepada cikgu Hanisah untuk duduk di sebelahnya.

"Sekejap lagi lepas habis je forum perdana Ihya' Ramadhan, ada program motivasi pula untuk pelajar tingkatan 4 dan 5. Modul cikgu dah siap fotostat. Tapi belum satukan lagi. Kamu tolong satukan dan stapler. Modul tu ada dekat meja belakang."

Kepala berpusing ke belakang melihat ke arah meja yang dimaksudkan. "Boleh cikgu."

"Lepastu," Fail biru dibuka cikgu Hanisah. Beberapa helai kertas A4 bercetak yang telah di stapler dibawa keluar. "Cikgu Shidah ada bincang dengan cikgu tentang masalah baru-baru ni. Cikgu Shidah mintak cikgu adakan sesi kaunseling dengan kamu. Boleh ke kalau kita jumpak petang ni?"

Aaira terkedu. Hilang terus semangatnya untuk melakukan kerja. Kenapa masalah yang telah lama perlu dibuka kembali. Tetap sahaja tidak ada sesiapa yang mempercayainya.

"Atau kamu ada hal lain?"

"Tt-tak cikgu. Boleh jumpa petang ni."

"Okay. Kalau macam tu kamu isi ni dulu. Lepastu petang ni baru berikan pada cikgu." Kertas tersebut dihulurkan kepada Aaira.

Borang soal selidik.

"Kamu boleh buat sendiri ke? Atau nak panggil kawan kamu seorang?"

"Takpe cikgu."

"Ada lebih kurang 5 helai je satu modul. Cikgu nak kena uruskan forum Ihya'Ramadhan. Kalau dah siap, kamu boleh cari cikgu dekat dewan."

"Baik cikgu."

Bilik guru yang pada mulanya kecoh kini senyap sepi. Hanya tinggal Aaira sendirian memandangkan semua guru sudah bergerak ke dewan kerana majlis akan bermula beberapa minit sahaja lagi.

Badan yang terasa lesu disandarkan pada sofa. Kepala terdongak memandang siling.

Kosong.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience