‘Pruhhh!'
“Astagfirullahalazim, abang...” Cepat-cepat Puan Maisarah menghulurkan tisu kepada Encik Shakirin. Cawan yang digunakan suaminya diambil.
“Habibi? Sayang?”
“Shh...”
“Apa kena dengan anak awak sejak kebelakangan ni? Haritu abang ada jugak dengar dia bersembang dengan seseorang dalam bilik. Lepastu gelak seorang diri. Ingatkan kena sampuk. Rupa-rupanya miang. ”
“Ish abang ini. Kita mana tahu dia bersembang dengan siapa.”
“Mai, budak-budak zaman sekarang bukan macam kita dulu. Nak bercinta pun kemain susah. Kena jumpa ibu bapa , kena interviu lagi.”
“Kalau dah berhabibi, bersayang bagai, takkanlah dia bersembang dengan perempuan pulak.” Sambung Encik Shakirin lagi. Tubuhnya disandarkan pada sofa dengan wajah serius.
Betullah orang kata, nak jaga anak perempuan lagi susah daripada anak lelaki .
“Nanti saya cuba sembang dengan dia.”
“Tak payah sembang dengan dia. Kalau dah miang sangat, kita kahwinkan terus.”
“Abang ni... Takkan lah nak kahwinkan dia dengan orang yang entah apa-apa.”
“Ha, inilah masalahnya. Semakin lama, semakin teruk anak awak itu saya tengok. Bernanah telinga saya ini dengar orang duk mengata anak awak. Tengok dari luar, nampak baik, sopan, alim. Tetapi menggedik dengan lelaki.”
"Risau saya ni. Ada dengar yang Yana anak kak Pah tu kena tangkap basah. Betul ke?"
"Betullah. Si Kamaruddin sampai tak nak tengok muka anak dia. Siapa yang tak kecewa."
"Tunggu nasib je Aaira tu. Kalau dah melampaui batas, memang abang takkan ada belas kasihan."
‘Ibu, ayah..."
Aaira yang baru tiba di ruang tamu terus duduk di sofa bertentangan dengan kedua ibu bapanya. Wajahnya ceria mengalahkan kanak-kanak yang baru dapat aiskrim. Mana tidak ceria, tadi semasa dia video call dengan Haiyan untuk mendengar bacaan Al-Quran lelaki itu, suaranya semakin bagus dan bacaannya semakin lancar. Mesti ibu dan ayah akan terus terpikat bila aku bawa jumpa diorang.
Tidak mahu fikirkan si anak, Encik Shakirin segera mencapai remote televisyen. Ditekan-tekan tanpa arah tuju. Akhirnya, dia bangun.
"Ayah nak ke mana?” Soal Aaira hairan. Bukankah pada jam 9.30 malam akan ada rancangan kesukaan ayah di Astro warna. Ayah tidak pernah terlepas untuk menonton selama ini.
Puan Maisarah tersenyum kelat. Ditarik lengan Encik Shakirin, mengarahkan suaminya untuk duduk semula. Dia tahu si suami tidak selesa dengan sikap yang ditunjukkan Aaira.
“Kenapa ibu? Ayah ada masalah ke?”
“Eh, ayah nak tanya kau sesuatu.” Laju Encik Shakirin berkata sebelum isterinya membuka mulut.
“Ye ayah. Ada apa?”
“Ayah dengar kau sembang sakan dalam bilik. Kau sembang dengan siapa?”
Mulut Aaira terkunci. Sembang dengan siapa? Ayah dah tahu ke selama ni dia sentiasa bergayut di telefon?
“Pakwe?” Tidak bertapis Encik Shakirin bertanya.
“Bukan ayah. Itu kawan Aaira.”
"Lelaki ke perempuan?"
Aaira diam tidak menjawab.
“Aaira, ayah bagitahu kau. Ayah pindahkan kau daripada sekolah agama masuk ke sekolah biasa, bukan sebab ayah nak tengok kau makin jadi buruk perangai. Jaga sikap kau.”
“Ayah, betul...Dia kawan lama Aaira."
“Kawan lama kau?"
“Aaira sayang, Aaira betul-betul tak ada hubungan dengan kawan Aaira tu kan? Kalau macam tu, selepas ni, Aaira tak perlu telefon dengan dia lagi ye. Tak elok lelaki dan perempuan begitu. Boleh mengundang fitnah.” Pintas Puan Maisarah sebelum si suami berbicara dengan lebih lanjut. Jika begitu, kemungkinan rumah kecil ini akan meletup pada malam ini.
Aaira bungkam. Dia hanya menelefon dengan Haiyan. Bukan melebihi batas.
“Kenapa kau diam? Tak sanggup? Kalau macam tu bawa dia jumpa ayah dengan ibu. Biar ayah kahwinkan kau orang. Gatal sangat kan."
“Ayah, Aaira dengan Haiyan..."
“Abang, kita dengar penjelasan Aaira dulu.” Encik Shakirin ditenangkan isterinya. Dia mendengus kasar sebelum membuang pandangan ke arah televisyen.
“Aaira cadang nak bawa Haiyan jumpa ayah dan ibu selepas habis SPM. Aaira--”
“Oh, kau masih ingat kau tu tak habis SPM lagi. Lepastu yang gatal meroyan sangat dah kenapa? Nak tunggu nasi jadi bubur baru nak menyesal? Kau tak dengar yang budak satu sekolah dengan kau dah kena tangkap basah? Nak tunggu turn kau pulak?"
“Sudahlah, malas aku nak bercakap dengan budak keras kepala kepala macam kau. Tak akan jadi apa apa.” Encik Shakirin bergerak memasuki bilik tidur. Lantas Puan Maisarah mendapatkan anak perempuannya. Tubuh Aaira didakap lalu kepala gadis itu dielus lembut.
“Aaira putuskan hubungan dengan Haiyan okay.”
-------------------
TELEFON canggih yang diberikan Haiyan kepadanya digenggam erat. Bagaimana dia mahu beritahu Haiyan yang dia mahu putuskan hubungan. Pasti lelaki itu tidak akan terima dengan permintaannya.
Dia tidak mahu ayah terus-terusan marah, dia juga tidak mahu Haiyan kecewa. Di antara abah dan Haiyan, yang mana satu aku perlu utamakan.
Badannya ditelentangkan menghadap siling. Keluhan panjang dilepaskan.
‘Ting!'
‘Ting!'
2 new messages from IncStar
-Maaf ye... Buku Kerana Dia sudah tidak ada dalam stok.
-Mungkin dalam dua tiga minggu lagi baru ada semula.
Aaira mencebik bibir. Aku hantar mesej seminggu yang lepas, baru dia balas malam ni. Laju jarinya menari-nari di skrin telefon membalas mesej itu.
-Tapi saya dah lama order. Saya pun dah bayar.
'Ting!'
‘Ting!'
-Pihak kami betul-betul minta maaf. Mungkin maklumat cik tercicir.
-Duit cik akan dipulangkan dalam masa terdekat.
“Aku tak nak duit. Aku nak buku lah.” Gumam Aaira penuh geram. Mesej tersebut dibalas kembali.
+Saya nak buku... Tak nak duit.
+Sudahlah balas mesej pun lambat. Macam ini ke pihak IncStar buat kerja?
-Kami minta maaf.
-Macam inilah cik... Kami bagi nombor penulis, dan cik mesej dengan dia. Mungkin masih ada stok pada dia.
- 011 3671****
+Bagus!
Pantas nombor yang diberikan admin IncStar didail. Tidak perlu mesej atau perlu menunggu masa yang lama. Call terus!
‘Tett! Tett!’
Panggilannya ditolak? Huh?
Bahagian aplikasi WhatsApp pula dibuka. Nama 'Penulis Kerana Dia' ditekan.
Online! Yes!
“Salam... Saya pelanggan di IncStar. Saya ada order buku Kerana Dia sebelum ini. Sudah bayar tetapi diorang kata habis stok dan suruh hubungi penulis.”
Send!
Dua tick...
Dua tick...
Dua tick...
Blutick!
“Arh! Stressnya aku. Huwaa...” Telefon bimbit dibaling ke tepi. Bantal pisang ditarik ke dalam pelukan. Kakinya dihentak-hentak geram.
'Ting!'
'Ting!'
'Ting!'
Telefon bimbit kembali dicapai dengan pantas. Senyumannya mati saat nama 'Habibi' yang muncul di skrin bimbit. Ditekan lama punat kecil di tepi telefon canggih itu sehingga skrin telefon gelap.
Ah! IncStar!
-------------------
'Kringgg!'
"Thank you teacher!"
Usai mengucapkan terima kasih, kelas mula bingit dengan suara para pelajar. Ada sahaja topik yang hendak dibicarakan. Tidak berhenti dari pagi. Tentang bangun pagi lambat, kaki kucing tersepit tepi pintu, mak cik kantin nak kahwin.
Farha memusingkan kerusi ke belakang. Sebungkus keropok dikeluarkan dari beg sebelum dia melabuhkan duduk.
"Aaira, kau tahu tak yang Yana tingkatan 4 tu kena tangkap basah?"
Aaira berhenti menulis. Kepalanya terangkat memandang Farha. "Yana mana?"
"Alah, Siti Syuhaina yang kurus kurus. Alah, budak cantik tu."
"Ohh, dia."
"Dia kena tangkap basah dekat hotel. Sekarang satu sekolah kecoh pasal tu. Cikgu-cikgu lagilah kecewa dengan dia. Ye lah, malukan sekolah. Malukan ibu bapa. Malukan keluarga."
"Ohh,"
"Tapi aku tak tahulah lelaki yang kena tangkap basah dengan dia tu yang mana satu. Kau tengoklah dia ada berapa banyak pakwe dekat sekolah ni saja."
Setiap kata Farha hanya akan diiyakan oleh Aaira. Dia juga tak tahu nak balas apa. Baginya, couple itu biasa dalam kalangan anak muda. Kalau pandai jaga diri takkan jadi sebegitu rupa. Sama sepertinya dengan Haiyan. Saling memahami.
"Ada jugak aku dengar yang dalam perut dia tu dah ada isi. Tapi tak tahulah betul ke tak."
"Aku tak boleh betullah dengan orang macam dia. Memang takdak tanggungjawab sebagai seorang anak, tanggungjawab sebagai seorang Islam. Dah bagitahu dalam al-quran yang jauhi zina. Ini ada pulak jadi couple islamik. Otak dia. Kalau dah haram memang haramlah. Couple sebijik macam makan babi. Haram. Tak ada beza."
Sebaik sahaja luahan hati Farha berakhir, bunyi tepukan tangan kedengaran.
"Sekian ceramah ringkas daripada Pak Ha. Mari tepuk tangan."
Sekali lagi bunyi tepukan tangan bergema. Ahh, Zamron ni memang selalu cari pasal dengan aku. Sekali aku bagi smack down, tertonggeng kau dengan kaki ke atas.
Pelajar lelaki yang dikenali sebagai Zamron atau nama sebenarnya adalah Izzat Zamri mencapai satu botol mineral di atas meja. Lalu diletakkan di hadapan mulutnya seakan-akan mikrofon. "Boleh saya temu bual Pak Ha?"
Farha bercekak pinggang. "Kau memang selalu tak puas hati dengan aku eh?"
"Betul tu. Memang saya selalu tak puas hati dengan Pak Ha. Saya tak puas hati dengan kredibiliti Pak Ha. Boleh share sedikit tips? "
Meletus ketawa rakan-rakan Izzat Zamri. Seronok melihat lelaki itu berperang mulut dengan Farha. Memang berani. Bukannya dia tak tahu yang Farha memang angin monsun. Sekali kena tengking, habis kecut sampai menyorok bawah meja.
Farha menolak kasar kerusi yang didudukinya. Serentak itu, Izzat Zamri dan rakan-rakannya bergerak setapak ke belakang. Bukan telah dirancang, tetapi tindakan spontan.
"Kau nak rasa tendangan aku? Eh, aku dengan senang hati nak ajak kau masuk gelanggang."
"Jangan begitu pak Ha. Saya cuma nak temu bual, bukannya nak jadi peneman taekwondo pak Ha."
Aaira hanya tertawa kecil. Lucu dengan adegan itu. Tetapi dalam masa yang sama hatinya sedang kacau dengan kata-kata Farha sebentar tadi. Sudah cuba dilupakan, namun tidak berjaya. Setiap bait-bait perkataan tersebut terngiang-ngiang di telinga.
'Memang takdak tanggungjawab sebagai seorang anak, tanggungjawab sebagai seorang Islam.'
'Dah bagitahu dalam al-quran yang jauhi zina. Ini ada pulak jadi couple islamik.'
'Kalau dah haram memang haramlah. Couple sebijik macam makan babi. Haram. Tak ada beza.'
Kedua-dua tangan dimainkan di bawah meja. Sedang memikirkan hubungannya dengan Haiyan. Kalau nak kahwin sekarang, memang mustahil. Lelaki itu baru sahaja mula bekerja, manakala dia akan menghadapi SPM tak lama lagi. Ibu dan ayah pun dah bagi amaran. Tetapi hubungan jarak jauh selama setahun lebih ini takkan hancur macam tu sahaja?
"Aaira!"
Kedua-dua bahu Aaira terangkat dek terkejut. Farha dipandang dengan wajah blur.
"Kau jadi saksi aku. Zamron cakap dia akan berhenti ganggu aku kalau dia kalah dalam gelanggang taekwondo."
Kepala Aaira menoleh ke arah Izzat Zamri pula. Seriously kau nak bertanding dengan Farha? Juara taekwondo peringkat negeri ni.
"Aku takkan kalah."
"Okay. Hari Sabtu ni, tempat biasa."
"Setuju!"
-------------------
KERETA yang dipandu Umar akhirnya berhenti di perkarangan sebuah rumah berpapan. Turut kelihatan di situ dua lagi buah kereta yang tidak asing lagi. Pasti kedua-dua buah kereta itu milik saudara mara sebelah bonda.
Handbrake ditarik sebelum enjin kereta dimatikan. Satu plastik yang berisi buah-buahan di tempat duduk penumpang, diambil dan dibawa bersamanya. Langkah terus diatur menuju ke dalam rumah.
“Assalamualaikum,” Salam diberi. Sebaik sahaja dia menapak ke dalam rumah, berpasang-pasang mata mengarah ke arahnya.
Umar menganggukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat kepada kaum wanita yang ada di ruang tamu. Kemudian menghampiri Puan Safiyyah iaitu si ibu yang sedang menghidangkan minuman.
“Umar, dah balik dah kamu. Bonda ingatkan kamu tak jadi balik...” Lembut Puan Safiyyah berkata. Tangan disalam anak lelakinya sebelum kucupan dihadiahkan pada kedua belah pipi dan dahi Umar. Sudah menjadi kebiasaan mereka sekeluarga sebegitu.
“Saya ada hal sikit tadi. Ada telefon bonda, tapi tak dapat.”
Bibir Puan Safiyyah menarik senyuman manis. Lengan Umar ditepuk-tepuk. “Telefon bonda ada dalam bilik. Tak dengar pula kamu telefon.”
“Haa Umar, datang dari mana ni? Lama tak nampak, makin handsome mak long tengok kamu.” Sampuk satu suara yang datangnya daripada sekelompok wanita itu.
“Saya baru balik kerja mak long.”
“Kamu kerja apa? Dekat kedai makan tu ye? Kalau kedai makan, dekat sini pun banyak. Tak payah susah-susah pergi tengah bandar.” Tempelak wanita itu atau nama sebenarnya Siti Husna.
Baru sahaja Puan Safiyyah mahu membalas, Umar terlebih dahulu menggenggam tangan si ibu. Mencegah wanita itu daripada berperang mulut dengan Puan Husna.
“Rezeki saya dekat sana mak long,” Tenang Umar menjawab. Dia sudah maklum akan sikap Puan Husna. Jadi, cara terbaik adalah kekal tenang dan sabar.
Puan Husna menepuk tangan seorang wanita di sebelahnya, menggamit wanita itu supaya memandangnya. “Eh, Ren bukan ada kedai sendiri? Dekat mana nama tempat dia tu?”
“Dekat Taman Delima.”
“Ha, Umar... Apa kata kamu kerja je dengan Ren, anak mak cik Midah. Dia ada bukak kedai baju sendiri. Untung pun banyak daripada kerja kedai makan yang entah berapa gaji seminggunya.”
Cadangan Puan Husna membuatkan Umar tersenyum segaris. “Saya selesa dengan kerja saya sekarang ini. Walaupun gaji tak besar, tapi saya masih mampu untuk menanggung bonda dengan abah.”
Puan Husna mencebik. Sakit hati kerana cadangannya ditolak mentah-mentah oleh anak muda itu. Aku bagi kau jalan keluar, kau nak jugak terperuk dalam tempurung. Sampai bila nak maju. Kalau macam inilah gayanya, memang tidaklah aku nak jodohkan anak saudara aku dengan kau. Nanti bila dah kahwin, entah-entah makan daun kering sahaja agaknya.
“Mak long cuma bagi cadangan. Kamu fikir-fikirkanlah.”
“Baik mak long. Terima kasih,”
“Eh, Sarah... Aku kena balik dulu. Lepasni nak singgah tempat Farah pulak”
Sebaik sahaja kelibat dua buah kereta yang diparkir di dalam rumah meluncur pergi, Puan Safiyyah menghela nafas lega. Nasib baiklah anaknya bukan seorang yang baran dan mudah melenting. Jika tidak, mungkin sahaja keadaan sebentar tadi akan lebih parah.
“Kenapa Umar tak bagitahu benda sebenar?”
“Tak apalah bonda. Biarlah mak long fikir saya kerja dekat kedai makan pun. Saya tak kisah. Janji halal.”
“Bagus anak bonda,"
"Bonda..."
Terangkat kening Puan Safiyyah mendengar panggilan 'manja' si anak.
“Saya lapar,"
Share this novel