'AKU terima nikahnya Aaira Ufairah bin Muhammad Shakirin dengan mas kahwin sebanyak 300 ringgit tunai'
Mimpi? Aku tengah mimpi kan?
Hahaha, sejak bila pulak aku kahwin di usia yang masih mentah ini.
Baru 17 tahun. Tak mungkin, tak mungkin.
"Aaira,"
Tolong, aku tak nak teruskan mimpi ini. Sesiapa tolong bangunkan aku. Tolong...
"Aaira!"
Automatik kelopak mata Aaira terangkat. Figura pertama yang terpampang di hadapan matanya adalah seorang lelaki yang lengkap berbusana putih. Bersongkok hitam.
Dia bukan Haiyan.
"Aaira, salam suami kamu." Arah Puan Maisarah sambil mencuit tangan anak gadisnya. Tatkala Aaira masih tidak bereaksi, bahunya pula ditampar-tampar perlahan. "Aaira, kamu okay tak?"
Kepala Aaira menoleh ke arah Puan Maisarah. Kemudian, pandangannya berhenti pada setiap orang yang berada di ruang tamu.
Kenapa semua memandangnya seperti itu? Seakan-akan dia adalah watak utama dan semua ini adalah nyata.
"Aaira Ufairah." Nada Puan Maisarah naik seoktaf kuat.
Aaira mahu membalas, namun tidak berdaya. Mulutnya berat mahu terbuka, dan satu patah perkataan pun susah mahu keluar. Apa jadi dengan aku?
Mahu tidak mahu, terpaksa juga tangan lelaki itu disalami. Mungkin dia hanya perlu mengikuti alur ceritanya sehingga tersedar dari tidur. Setelah selesai majlis akad nikah yang diadakan pada malam ini, semua tetamu yang hadir dijemput untuk menjamu selera.
Aaira yang masih tidak puas hati dengan keputusan itu, lantas menarik tangan Umar sehingga mereka menjauhi tetamu-tetamu yang hadir. Sebaik sahaja tiba di tepi rumah, tangan lelaki itu dilepaskan. "Ni cuma mimpi kan? Tak mungkin awak betul-betul kahwin dengan saya."
Umar tersenyum nipis. Tiba-tiba terasa lucu dengan pertanyaan itu. "Kenapa Aaira rasa ni mimpi?"
Kenapa? "Tak mungkin awak kahwin dengan saya. Kita baru jumpa minggu lepas. Waktu abang Ulwan balik."
Terangguk-angguk kepala Umar. "Ye,"
"Jadi? Ni semua bukan realiti kan?"
Telapak tangan Aaira disatukan dengan telapak tangannya dan digenggam lembut. Dia tahu gadis itu belum dapat menerima apa yang sedang terjadi. "Sekali saya lafazkan akad, saya akan bertanggungjawab terhadap Aaira. Walaupun kita bukan pasangan bercinta seperti yang lain, tetapi InsyaAllah, manisnya akan datang selepas ini."
Tergamam Aaira mendengar setiap butir perkataan yang meluncur dari bibir lelaki itu. Penuh makna. Entah mengapa tiba-tiba sahaja sebak datang bertandang.
Ah, sudah. Aku betul-betul dah kahwin?
Mungkin ada setengah orang merasakan bahawa kahwin muda itu adalah sesuatu yang seronok dan bahagia. Tetapi buka pada Aaira Ufairah. Dia cuma merasakan perkahwinannya pada malam ini adalah beban yang akan membelenggu kehidupannya.
Bagaimana dengan nasibnya selepas ini? Bagaimana dengan Haiyan? Jika lelaki itu tahu dia sudah kahwin, pasti semuanya akan menjadi lebih rumit.
Dalam jarak di antara mereka ketika ini, baru Umar dapat mengiyakan kata-kata Wafi. Betullah, isterinya sememangnya seorang wanita yang cantik. Mata yang menawan dan bulu mata yang melentik. Paling berharga mungkin sepasang lesung pipit yang terletak elok di kedua pipinya.
Comel.
"Erk, jangan pandang saya macam tu." Telapak tangan kanan ditekap pada mata Umar. Menghalang lelaki itu daripada terus memandangnya. Segan apabila direnung sebegitu rupa. Macam ada yang tidak kena sahaja di muka ini.
Umar tertawa kecil. Tangan Aaira yang masih berada di wajahnya dibawa turun. "Tak salah pun." Balasnya.
"Menyeramkan tahu tak."
"Tak."
"Sebab tu saya bagitahu."
"Tapi saya tak nak tahu."
Mengecil mata Aaira memandang Umar. Haih, kecik besar kecik besar je aku pandang manusia tiang lampu ni.
Kenapa perangai dia berubah 360 darjah? Sangat berbeza dengan perangainya sebelum kahwin. Yang lebih kepada pendiam dan pemalu. Betul ke ini Umar Aidan yang aku kenal?
"Cewah, bersemut habis pengantin baru ni." Sampuk satu suara garau yang baru tiba di situ. Bahu Umar ditumbuk perlahan.
Dari jauh aku dengar ayat-ayat bergula yang sememangnya tidak sedap didengar. Mana ada mengayat awek dengan nada macam tu. Ingat cerita Korea tentang bos yang kononnya sombong jatuh hati dengan pekerja dia? Mula-mula bertengkar akhirnya bersama juga.
Mahu kencing manis aku hujung bulan.
Sudahlah bercinta dekat tempat gelap. Eee, pelik-pelik budak-budak zaman sekarang.
"Mana ada orang mengorat macam tu." Selamba Wafi memberi komen tanpa tapis. Kepala digeleng tanda tidak bersetuju.
"Mana ada abang Umar ngorat saya."
Melopong mulut Wafi mendengar panggilan itu. Bukan setakat Wafi, malahan Umar juga terkejut besar. Sejak bila panggilan itu berubah? Tadi kan elok sahaja saya awak.
Alamak, sedap pula telinga ini dengar.
"Please Umar, jangan senyum macam tu. Aku nak muntah."
Mati terus senyuman 'bahagia' Umar. Si sahabat dijeling tajam. "Mana ada aku senyum."
"Eleh, ingat aku tak nampak."
Pandangan dihalakan ke arah Aaira yang lebih rendah daripadanya. "Aaira nak makan?"
Wafi tercengang. Amboi, dah ada bini, aku pun tak dilayannya.
"Jom kita makan."
Tanpa menunggu balasan daripada Aaira, terus gadis itu ditarik agar mengikutinya. Mereka mendapatkan sebuah meja kosong di bawah kanopi yang disediakan di hadapan rumah. "Aaira nak makan apa?"
Aaira memejamkam mata lama. Cuba menenangkan fikirannya. Masih cuba menghadam dan menerima apa yang sedang terjadi.
Sedarlah Aileen, kau dah kahwin. Lupakan Haiyan! Belajar terima takdir!
"Aaira okay tak?"
Aaira tersenyum tipis seraya menggeleng perlahan. Wajah kacak itu direnung. Jika dilihat lebih teliti, lelaki itu mempunyai tahi lalat kecil di pangkal hidung. Membuatkan kekacakannya semakin terserlah. Patutlah sejak tadi ada beberapa pasang mata yang gatal mencuri-curi lihat lelaki itu. Dari tua kerepot sehinggalah kanak-kanak.
Masakan tidak jika 'imam muda' masjid Ar-Ridhwan sudahpun ke jenjang pelamin. Suaranya merdu ketika melafazkan ayat-ayat suci Al-Quran, orangnya penuh sopan santun dan berbudi bahasa. Juga berpendidikan tinggi.
Yang paling membuatkan para ibu berkenan mahu menjadikan menantu, adalah kerana kemahirannya dalam memasak. Mengalahkan sesetengah anak dara yang hanya tahu goyang kaki. Siapa sahaja yang tak nak mencuba untuk menarik lelaki itu masuk ke dalam keluarga mereka.
Ya, dia sangat beruntung dapat memiliki Umar.
Dia dan Umar dalam situasi yang sama. Masing-masing tidak mengenali antara satu sama lain. Sudahlah,
mungkin sudah saatnya membuka lembaran baru. Perlu lupakan Haiyan.
Wajahnya sedikit berbahang tatkala pipinya dipegang seseorang. Tidak usah dilihat juga dia sudah tahu siapakah si gerangan. Lalu bahunya ditekan Umar, mengarahkan dia duduk di situ. "Saya ambil makanan dulu."
Kepala mengangguk akur. Dibelek-belek jari manis sebelah kiri yang tersarung cincin emas. Entah mengapa perasaannya sedikit berbeza pada tika ini. Bahagia?
Ya, tidak dapat disangkal lagi. Tidak tahu daripada mana perasaan itu datang, walhal dia tidak pernah rela akan semua ini terjadi.
"Aaira nak apa-apa lagi tak?"
Terus tangan ditarik ke bawah meja. Kepala digeleng-geleng bagi menjawab pertanyaan Umar. Agaknya mulut kau memang ada emas pada malam ini, Aaira.
Air liur ditelan melihat dua pinggan berisi makanan yang yang diambil Umar. Satu pinggan, ada bihun goreng campur mee. Satu lagi pinggan, ada popia, kuih seri muka, kuih talam, karipap dan beberapa jenis lagi kuih-muih.
Mak aii, banyaknya makanan. Mahu kembung perut aku malam ini. Silap-silap naik 3 kilo.
"Makanan untuk awak, tak ambik ke?"
"Ni..." Umar menunjuk pada dua pinggan yang terhidang di atas meja.
"Untuk saya?"
"Kita kongsi lah sayang. Pinggan dah nak habis. Kesian pada tetamu yang baru datang." Pinggan berisi bihun goreng, ditarik menghampirinya. Dia hanya menayangkan riak selamba selepas mengucapkan perkataan keramat itu walhal dia sendiri juga terperanjat besar. Sudahlah lancar pula.
Untuk sekian kalinya, Aaira tidak senang duduk. Wajahnya sudah berbahang kepanasan. Bagi menghilangkan keadaan janggal itu, dia terbatuk-batuk kecil.
"Bismillah. Aaaa..."
Bagai dipukau, Aaira membuka sedikit mulutnya bersedia mahu menerima suapan daripada si suami.
Dah nak masuk...sikit lagi...
'Wuu, suwitnya pengantin kita malam ini.'
Automatik sudu plastik yang dipegang Umar u-turn dan masuk ke dalam mulut lelaki itu sendiri. Manakala Aaira spontan menyisip air teh di dalam cawan kertas.
"Auu, panas..."
"Aaira..." Kalut Umar mencapai tisu dan mengelap mulut isterinya. Lebihan tisu digunakan untuk mengelap meja yang basah.
"Aku baru tegur sikit, dah gelabah. Relaks sudahlah." Usik Amira seraya berlabuh di hadapan pasangan suami isteri itu. Terhibur jadinya. Aku nak gelak, nampak macam jahat pulak. Kalau boleh nak je aku berguling-guling daripada Perlis ke Johor. Huu, kemain.
Seorang jenis malu-malu kucing, tapi berlagak cool dan macho. Seorang lagi spesies pemalu juga. Tapi jenis malu tapi mahu. Itu sebablah bila kena tangkap romantik, kalut semacam.
Relaks sudah. Tengok macam aku. Single. Tak usah fikir banyak-banyak. Bak kata orang, single is perfect!
Betul tak?
"Aaira okay tak?"
Kerisauan yang dipamerkan Umar membuatkan Amira mencebik bibir. Melebih pula lelaki ini. Melecur sikit je pun mulut bini dia. Nak bersemut pula dekat sini.
Eh, aku yang panas.
"Pedih..."
"Eh, korang jangan nak melebih. Adegan 18 ke atas, jangan buat dekat sini. Jangan kotorkan mata aku." Tegahnya terlebih dahulu semasa bibir Aaira diusap-usap lembut oleh lelaki yang baru bergelar suaminya. Konon nak meredakan kepedihan.
Otak kau.
"Macam mana sekarang? Dah okay dah?" Soal Umar setelah lima minit kemudian. Melihat anggukan daripada Aaira, dia menghela nafas lega.
"Korang berdua ingat aku dekat sini, patung ke?" Amira hilang sabar. Niat pada awalnya, dia mahu mengusik pengantin baru ini. Ternyata dia pula 'diusik'.
"Hehehe, maaflah Mira. Mira makan belum? Makanlah dulu." Pinggan yang berisi kuih ditolak ke arah Amira. Namun, ditarik kembali oleh Umar.
"Kalau Mira nak makan, tu... Dekat sana ada banyak." Jari ditunding ke arah meja yang menempatkan pelbagai jenis makanan. Maaf Mira, makanan ini abang ambil untuk isteri abang. Mira, sila layan diri.
"Aaira, makan dulu."
"Mengada lah abang Umar ni. Dia ingat dia je ada bini!"
"Masa bila pula--"
"Mira nak pinjam Aaira. Jom Aaira, Mira bawa pergi satu tempat." Tangan Aaira ditarik Amira. Cepat-cepat dia beredar daripada situ sebelum abang saudaranya bersuara.
-------------------
TANGAN yang terasa lenguh dihayunkan ke depan dan belakang. Bukan sahaja tangan, malahan seluruh badan terasa pegal. Mengalahkan orang yang bekerja keras. Ah, ni semua salah Amirah. Ingatkan gadis itu nak mengajaknya ke tempat apa, rupanya ajak pergi sawah padi. Dengan beberapa orang lagi saudara mara Umar.
Sawah padi tak jadi masalah. Yang jadi masalahnya, pergi ke sana berjalan kaki. Hampir beberapa kilometer. Memang buat kerja gila.
Pintu bilik ditolak ke dalam. Bergerak-gerak bebola mata Aaira ke sekitar bilik, mencari kelibat Umar. Dekat luar dah tak ada sesiapa memandangkan jam sudah hampir 12 tengah malam. Kemana pulak lelaki itu menghilang.
Mulut yang terbuka luas ditutup menggunakan tangan. Sudahlah esok jam 9 pagi ada kelas tambahan. Tiba-tiba pula guru matapelajaran sains memaklumkan bahawa terdapat kelas tambahan pada hujung minggu. Tak hadir, perlu siapkan 5 kertas ujian dalam sehari.
Kejam.
'Krekkk!'
Bunyi pintu terbuka kedengaran. Muncul Umar di sebalik pintu sambil memasukkan telefon bimbitnya di dalam kocek seluar. Lelaki itu hanya mengenakan t-shirt pagoda putih dengan seluar baju melayu. "Aaira dari mana?"
"Baru balik sawah padi dengan Amira."
"Sawah padi?" Umar tergelak sesaat seraya tergeleng-geleng kepalanya. Perangai Amira memang tak berubah. Sengajalah tu nak uji Aaira kononnya boleh bertahan tak berjalan kaki. Ibarat bertahan hidup dengannya selepas ini. Datang dari mana idea dia pun tak tahu. Membuang masa.
"Erk, awak nak mandi? Saya ambilkan tuala."
"Ya."
Pintu kayu berpintu dua dibuka. Lalu tuala biru tua yang berlipat, dicapai dan diserahkan kepada Umar.
"Awak bawa baju tak? Kalau tak, saya nak minta pada abang Ulwan."
"Boleh jugak,"
"Sekejap,"
-------------------
TIDAK sampai lima minit berada di dalam bilik air, Umar telahpun selesai membersihkan diri. Sekadar membasuh muka dan menggosok gigi memandangkan sudah lewat malam.
Tanpa berlengah lagi, segera dia menapak ke arah bilik. Tombol pintu dicapai dan ditolak perlahan supaya tidak mengejutkan si isteri yang kemungkinan sudah tidur.
'Saya minta maaf abi...'
'Telefon yang Abi bagi tu rosak. Itu sebablah panggilan abi semuanya tidak berjawab.'
Umar kaku tidak bergerak. Air mukanya juga sudah berubah mendengar panggilan mesra itu. Jantungnya berdegup kencang tanpa dipinta.
'Aaira pun sayang Abi juga. Tetapi--'
Share this novel