SEBUAH teksi berhenti di hadapan perkarangan rumah Encik Shakirin dan Puan Maisarah. Pintu pada bahagian penumpang terbuka. Seorang lelaki yang memakai t-shirt hitam keluar dari perut kereta.
Berkali-Kali lafaz syukur diucapkan kerana masih diberi peluang bertemu dengan orang yang tersayang.
'Ulwan Hadi Muhammad Shakirin!'
Tertoleh kepalanya ke belakang. Belum sempat menebak gerangan si pemanggil, tiba-tiba sahaja badannya didakap seseorang. Erat.
"Abang..."
Bebola mata Ulwan melirik ke bawah.
"Aaira rindu abang,"
Bibir Ulwan menarik senyuman. Tubuh Aaira kembali dipeluknya. "Abang rindu pada Aaira. Sangat-
sangat,"
Aaira melonggarkan pelukan. Kepalanya sedikit terdongak ke atas menatap seraut wajah yang amat dirinduinya selama ini. Masih tidak percaya bahawa lelaki itu berada di hadapan matanya.
"Aaira baru balik sekolah ke? Balik dengan siapa? Hmm?"
"Aaira rindu abang," Tubuh Ulwan kembali didakapnya.
Ulwan tergelak kecil. Dahi Aaira dijentik perlahan. "Tak menjawab soalan."
"Jom kita masuk dulu. Tak elok orang tengok kita macam ni." Ujar Ulwan tatkala tiada tanda-tanda Aaira mahu melepaskannya. Gadis itu masih tidak berubah sejak dua tahun lepas. Masih manja walhal umur sudahpun berganjak ke angka 17 tahun.
"Biarlah orang tengok pun. Ini abang Aaira, bukannya orang lain."
"Ooo, dah pandai sekarang. Haritu siapa entah yang merajuk sampai tak nak tengok muka abang. Hantar ke airport pon tak."
Terus pelukan di antara mereka terlerai. "Semua salah abang."
"Tiba-tiba salah abang?"
"Abang yang tiba-tiba tinggalkan Aaira."
"Eh?"
"Tak tepati janji."
"Baiklah, abang salah sebab tiba-tiba tinggalkan Aaira. Maafkan hamba tuan puteri." Ulwan menunduk dengan satu tangan ke hadapan, seakan-akan satu adegan dari movie barbie yang diminati Aaira.
Aaira tersenyum kemenangan. Sudah tahu bahawa Ulwan akan mengalah.
Tapak tangan disatukan dengan tapak tangan Ulwan. "Maafmu diterima."
-------------------
"Ibu, biar Ulwan yang buat." Teko kaca di tangan Puan Maisarah diambil Ulwan. "Ibu duduklah,"
Puan Maisarah berlabuh di kerusi meja makan seperti yang diarahkan. Air matanya tumpah lagi. Gembira dan bersyukur kerana akhirnya mereka sekeluarga telah berkumpul semula.
"Ibu okay?" Soalan yang sama Ulwan tanyakan sejak tadi. Walaupun jawapan yang diberikan Puan Maisarah seperti tiada masalah, tetapi entah dia mengapa dia dapat merasakan suasana rumah agak asing dan aneh.
"Ibu okay. Malam ni ada ceramah ustaz Furqan di masjid. Kamu ajaklah Aaira pergi sekali."
"Aaira ada buat masalah ke ibu?" Duga Ulwan. Walaupun Puan Maisarah cuba menyembunyikan air mukanya yang sudah berubah, namun tetap jelas kelihatan.
"Baik ibu. Kejap lagi Ulwan ajak dia."
Bunyi pintu terbuka mengalihkan perhatian mereka berdua. Aaira yang baru sahaja keluar dari bilik diperhatikan sehingga gadis itu berada di hadapan pintu rumah.
'Ya, no 70A.'
'Lepas jumpak masjid, jalan terus sampai jumpak simpang. Kemudian belok ke kanan.'
'Nanti depan rumah ada kereta Myvi biru.'
'Ya, ok.'
Ulwan dan Puan Maisarah saling berpandangan sesama sendiri. Dapat sahaja isyarat daripada si ibu, lantas Ulwan berdiri mendapatkan Aaira yang seakan-akan sedang menunggu seseorang. "Aaira tunggu siapa?" Soalnya.
"Orang hantar barang. Dia tak jumpak rumah."
"Aaira beli apa?"
"Buku."
Mulut Ulwan membentuk 'o'. Seminit kemudian, sebuah lori bewarna oren, shopee express berhenti di perkarangan rumah. "Abang, tolong ambilkan."
Ulwan menunding jari pada diri sendiri. "Abang?"
"Ye lah. Aaira nak kena ambik tudung lagi dalam bilik. Lambat."
'Assalamualaikum,'
"Cepat-cepat pergi."
Akur dengan arahan itu, Ulwan keluar dari rumah. Sempat rambut tebalnya digosok-gosok.
"Aaira Ufairah?"
"Ha, ya."
"Terima kasih."
Sebaik sahaja Ulwan melangkah masuk ke rumah semula, terus bungkusan dari tangan lelaki itu diambil.
Akhirnya, buku edisi terhad berjaya dibeli!
"Buku apa Aaira beli?" Risik Ulwan sambil berlabuh di sisi Aaira. Semacam aje dia tengok Aaira yang terlebih gembira. Tidak lepas dia memandang Aaira sehinggalah bungkusan tersebut dibuka.
"Buku ni!" Buku biru hitam itu ditayangkan pada Ulwan. "Kerana Dia."
"Kerana Dia?"
Buka sahaja halaman yang pertama, tertera nota ringkas daripada penulis.
Tulisan yang cantik dan kemas.
'Diharapkan buku ini dapat memberi manfaat anda. Semoga maju jaya Ufairah.' -Aden Hafidz-
"Hampir je Aaira tak dapat beli buku ni."
Dahi Ulwan berkerut. Entah mengapa dia rasakan pernah nampak tulisan yang sama persis seperti yang ditulis. "Aaira, abang nak tengok kejap buku tu."
Buku 'Kerana Dia' telah bertukar tangan.
"Abang jangan bagi terlipat buku Aaira."
"Ye."
Lama Ulwan menatap tulisan itu. Dekat mana dia pernah nampak tulisan macam ni? Gaya tulisan dia sama sangat dengan seseorang. Tetapi siapa?
"Aden Hafidz?"
"Kenapa? Abang kenal dengan dia ke?" Soal Aaira teruja. Kalau kenal, senanglah nak beli buku dia lepas ni. Tak perlu susah-susah kena melalui proses yang sangat lama.
Ulwan menggeleng. "Nama dia macam nama kawan abang. Umar Aidan bin Umar Hafidz."
Tapi sejak bila pula Umar tulis buku? Pelik.
"Oh,"
"Ada nama penuh dia tak?"
"Tak ada. Biodata penulis pun tak ada."
"Okay, abang." Buku di tangan Ulwan dirampas semula. Lantas Aaira bangun sambil melambai tangan. "Aaira nak baca buku. Bye, bye."
"Malam ni pergi masjid. Ada ceramah ustaz Furqan."
"Okay!"
-------------------
SEAWAL jam 7 malam, masjid Ar-Ridhwan sudahpun dipenuhi orang ramai. Solat maghrib ditunaikan berjemaah sebelum diteruskan dengan ceramah dari Ustaz Furqan, salah seorang ustaz terkenal yang amat dihormati dalam kalangan masyarakat. Hampir jam 10 barulah para jemaah mula beredar setelah selesai menunaikan solat fardu Isyak.
Ulwan sudahpun berada di tempat parkir motor sementara menunggu Aaira. Tadi dia dah pesan untuk tunggu dekat motor.
"Ulwan ku sayang!"
Membulat mata Ulwan dek terkejut kerana badannya dipeluk seseorang. Tiba tiba sahaja?
"Aku rindu kau gila."
Riak wajahnya berubah jengkel.
Sah, Wafi.
Ulwan cuba melepaskan diri , namun tidak berjaya. Lehernya telah dikunci. "Wafi, lepaskan aku."
"Tak nak."
Umar yang baru tiba di situ hanya menggeleng-geleng kepala. Kedua tangan disilangkan ke dada sambil mata tidak lepas menghayati drama akasia yang sedang ditayangkan secara langsung. Sangat menusuk ke kalbu.
Hampir 10 minit berkeadaan begitu, barulah tubuh Ulwan dilepaskan. Air mata yang tidak wujud dikesat menggunakan hujung jari.
"Selamat kembali, sahabat." Ujar Umar dengan senyuman lebar. Mereka saling bersalaman sebelum berpelukan untuk beberapa saat.
"Aku nak join jugak."
Automatik Umar dan Ulwan menjauhi Wafi. Meninggalkan lelaki itu yang masih dalam karakternya. Biarkan si budak Wafi tu. Tak habis-habis dengan drama.
"Kau cari siapa?” Soal Umar pelik. Sedari dari tadi Ulwan gelisah dan serba tidak kena seakan-akan sedang mencari seseorang.
Siapa?
“Bakal orang rumah dia lah. Hahahaha.” Wafi ketawa kecil. Namun ketawanya mati serta merta tatkala perutnya dipukul Ulwan.
Aduh, senak gila!
“Aku tunggu adik aku.”
"Adik kau? Yang perempuan tu ke?" Mata Wafi bersinar-sinar. Sebelah tangan dilingkarkan pada bahu Ulwan.
"Adik aku baru form 5." Jelas Ulwan seakan-akan tahu niat terselindung Wafi.
"Sejak bila kau berminat join kuliah maghrib?" Soalnya pelik. Memang tak pernah dibuat cerita Wafi menyertai mana-mana ceramah sebelum ini. Bila diajak, ada sahaja alasannya. Ini tiba-tiba terjengul dekat sini dengan siap berkain pelekat lagi.
Wafi mengangkat kening berkali-kali. "Itulah, kau tak tahu. Aku ni memang kaki masjid."
"Dengar boleh, percaya jangan." Selamba Umar berkata. Apa lagi, makin memanjanglah muncung si Wafi menahan kemarahan. Memang jenisnya kalau marah, mulut akan muncung ke hadapan. Entah cantik kut sangat bibir dia tu.
'Abang,'
Serentak semua pandangan tertumpu pada Aaira yang baru tiba. Belum sempat Ulwan membuka mulut, Wafi terlebih dahulu bersuara.
"Adik Ulwan kan?"
Terus Ulwan menarik tangan Aaira sehingga gadis itu berada di belakangnya. "Kau jangan pandang adik aku macam tu."
Wafi tergelak lucu. Bahu Ulwan dipeluk dan ditepuk-tepuk. "Bukannya aku nak masuk line. Aku cuma nak kenankan dia dengan Umar. Kau tak nampak ke Umar asyik tunduk je sejak adik kau datang." Bisiknya perlahan.
"Mana tahu, kalau ada jodoh Umar jadi adik ipar kau. Kebetulan, bonda dengan abah dia tengah cari menantu. Hmm?" Terus-terusan Wafi mencucuk jarum. Dia memang tak ada niat nak kahwin lagi. Jadi, pass dekat Umar je lah. Tapi kalau berkenan dengan aku, dengan terpaksa aku jadi adik ipar Ulwan.
Seakan-akan baru tersedar, kepala Wafi dilukunya. Tubuh lelaki itu ditolak jauh ke tepi. "Jangan merepek."
Wafi berdehem beberapa kali. "Umar,"
"Apa?" Dengar tidak dengar sahaja Umar menjawab.
Ish, seronok pulak aku nak mengusik si Umar ni. Malu-malu kucing pulak dia. Tengoklah, dari tadi tak angkat kepala. Asyik sibuk dengan telefon.
"Kau kerja ke esok?"
Sebelah kening Umar terangkat. Wajah Wafi dipandang aneh. Dah kenapa tiba-tiba tanya macam tu. Macam tak tahu pulak aku memang kerja hari minggu."
"Kau kerja ke tak?" Soalan yang sama Wafi tanyakan.
"Kerja."
"Kau bos, tapi kau tak cuti. Tak penat ke?"
"Kau nak cakap apa sebenarnya?"
"Lelaki macam kau memang 'limited edition!'. Ada ilmu agama, penyayang, bekerjaya."
Blur muka Umar dibuatnya. Sungguh dia tak tahu apa yang mahu dimaksudkan Wafi. Suka betul cakap separuh-separuh. Lepastu ayat dia tunggang langgang. Eh, kata bm A plus?
Ulwan sudah menghamburkan tawa. Wafi memang sengal. "Sudahlah Mar. Jangan dilayan Wafi ni. Wayar dekat kepala dua bocor lah tu."
"Entah, kau kena sampuk apa Wafi?"
"Nak aku ruqiah kan?"
Aaira yang jadi pendengar hanya tersenyum kecil. Terasa lucu dengan kisah tiga sahabat itu. Di antara mereka bertiga, lelaki yang bernama Wafi mungkin penyeri.
"Eh, esok tengah hari jemputlah datang rumah. Ibu aku ada buat makan-makan."
"Esok, aku--"
"Okay boleh! Esok aku dengan Umar sampai depan rumah." Pintas Wafi.
"Aku--"
"Jangan risau, Umar boleh ponteng kerja. Dia bos."
"Okay, cantik. Jumpak esok."
Enjin motosikal jenis Modenas dihidupkan Ulwan. Lalu beg telekung Aaira diletakkan di dalam raga di hadapan. Wafi dan Umar juga turut mendapatkan motosikal masing-masing. Ketiga-tiga motosikal itu berkumpul di luar pagar masjid.
"Esok jangan lupa datang rumah aku."
"Okay, beres."
"InsyaAllah,"
Sebelum motosikal yang dinaiki Ulwan dan Aaira bergerak, laungan Wafi kedengaran. "Adik Ulwan, abang Umar kirim salam!"
Share this novel