BAB 1

Romance Series 8597

BUNYI bingit yang datangnya dari luar kelas menarik perhatian pelajar-pelajar tingkatan 5 Ibnu Abbas. Pembelajaran sejarah pada tengah hari terhenti buat seketika.

Semua pandangan beralih ke luar kelas. Entah mengapa para pelajar sedang berpusu-pusu di koridor. Seakan-akan sedang panik mengejar sesuatu. Nak kata rehat, tak mungkin pula memandangkan baru sahaja sejam yang lepas para pelajar dilepaskan untuk rehat.

Guru perempuan yang mengajar pada ketika itu bergerak keluar untuk melihat apa yang sedang terjadi. Serta merta para pelajar tingkatan 5 Ibnu Abbas mengerumuni pintu dan tingkap.

"Apa yang jadi? Ada kebakaran ke?"

"Tak dengar pulak bunyi loceng kebakaran."

"Ke ada zombi macam drama drama Korea tu?" Duga seorang pelajar lelaki yang dengan wajah teruja. Kedua tangannya diangkat ke atas dan bergerak-gerak ke udara. Bebola matanya menjeling ke tengah sambil lidah terjulur keluar. Persis gaya zombi yang dilihat di kaca televisyen.

Beberapa orang rakannya turut melakukan perkara yang sama sebelum ketawa mereka pecah.

Seorang pelajar perempuan yang memakai kaca mata menahan seorang pelajar yang kebetulan lalu di hadapannya. "Apa yang jadi?"

"Tak tahu. Dengar cerita ada orang nak bunuh diri."

Matanya membulat. "Bunuh diri?"

"Woi, siapa nak bunuh diri?" Sampuk seorang lagi pelajar lelaki di dalam kelas.

"Putus cinta ke?"

"Hahaha!"

Lihat sahaja rakan-rakan yang lain sudah keluar kelas, terburu-buru mereka mengejar dari belakang.

Walaupun tak tahu apa yang sedang terjadi, tetapi ini adalah kesempatan terbaik untuk ponteng kelas sejarah!

-------------------

"Nabila, tenangkan diri kamu. Jangan bertindak gelabah." Pujuk Puan Laila selaku guru kelas 4 Bukhari, merangkap guru kelas Nabila.

Sekarang gadis itu sudahpun berada di atas tembok. Bila-bila masa sahaja boleh jatuh ke bawah jika silap langkah.

Turut menemani Puan Laila di situ adalah beberapa orang guru yang lain. Mereka perlu sedaya upaya melengahkan masa sementara menunggu bantuan penyelamat tiba.

Wajah Nabila tenang. Bibirnya mengukir senyuman lebar. Tapak kakinya bergerak sedikit ke belakang. Sudah terlepas beberapa inci dari tembok.

Jeritan para pelajar yang melihat dari bawah kedengaran.

"Nabila, mengucap Nabila. Ingat Allah." Bergetar suara Puan Laila menahan sebak. Nabila yang dia kenal bukan seorang yang akan mengambil keputusan terburu-buru. Nabila bukan macam ni.

"Nabila, tak ada masalah yang tak boleh diselesaikan. Nabila boleh cerita dekat cikgu. Jangan buat macam ni sayang,"

Nabila menggeleng kepala. Masalahnya tak ada sesiapa boleh selesaikan. Masalahnya sudah sampai ke penghujung.

Dia bergerak lagi sedikit ke belakang. Kini tapak kakinya berada di tengah-tengah antara tembok dan udara. Dia hanya bertahan dengan keseimbangan badan.

Air mata yang ditahan sejak tadi, mengalir lebat di pipi. Matanya terpejam lama. Serta merta bayangan dia dibuli rakan-rakan sekelasnya kembali berlayar di kepala. Setiap hari dipukul, ditendang, dipijak, diperas ugut.

Harapannya hanya satu. Ada seseorang yang akan membantunya melaporkan kepada pihak sekolah.

Tetapi, harapan itu tak pernah wujud selama ini. Hanya kerana aku seorang anak banduan.

Aku dah penat.

Perit.

"Nabila!"

Suara itu.

Kelopak mata Nabila terangkat.

"Nabila, jangan buat bodoh. Kau tak fikirkan mak ayah kau ke?" Marah Aaira sebaik sahaja dia tiba di atap. Jaraknya dengan Nabila lebih dekat berbanding guru-guru yang lain.

Nabila hanya tertawa kecil. "Kau datang jugak hantar aku."

"Jangan merepek. Turun sekarang!"

"Aaira, aku bersyukur sangat sebab kau sudi kawan dengan aku selama ni. Kau satu-satunya kawan terbaik yang pernah aku ada."

"Dengar cakap aku Nabila." Nada Aaira menjadi lebih tenang. Selangkah lagi dia maju ke hadapan. "Turun sekarang."

"Masih ramai yang sayang kau. Kau dah janji nak tunggu ayah kau keluar. Kau dah janji nak tolong family kau cari kebenaran. Mana semangat-semangat kau sebelum ni?"

Nabila mengesat pipinya yang basah dengan belakang tapak tangan. "Semangat aku dah mati Aaira. Aku dah--"

"Nabila, aku tahu aku salah..." Ujar Aaira, sebak. Tubir matanya bergenang. "Aku pengecut sebab tak berani laporkan pada cikgu. Aku pengecut sebab tak bela kau,"

"Jj-jangan hukum aku macam ni."

"Kau tak salah Aaira. Kau dah banyak bantu aku."

"Aku mintak maaf Nabila. Aku mintak maaf,"

"Nabila--"

"Tolong sampaikan permintaan maaf pada mak dan ayah aku. Aku sayang diorang."

"Nabila--"

"Nabila, jangan bergerak!"

"Nabila!"

Nabila mendepakan kedua tangannya ke udara. Senyuman diukir manis buat kali terakhir.

"Nabila, jangan Nabila..."

"Jj-jangan," Aaira berlari meluru ke arah Nabila. Begitu juga guru-guru yang lain.

"Aku sayang kau Aaira."

"Nabila!"

"Nabila!"

"Nabila!" Mengejut Aaira bangun daripada tidur. Dia terduduk di atas katil dengan dada yang berdebar kencang. Peluh mula merintik membasahi dahi.

Untuk kesekian kalinya, peristiwa hitam yang menimpa rakan sekelasnya itu menghantui dirinya. Seakan-akan dia adalah punca utama Nabila bunuh diri.

'Aaira, bangun. Siap-siap nak pergi sekolah.' Suara si ibu kedengaran dari luar bilik. Diikuti dengan bunyi ketukan pintu beberapa kali.

'Aaira, bangun.'

"Ya ibu, Aaira dah bangun."

Jeda.

Nafas dihela berat sebelum turun dari katil. Tuala yang tersangkut di belakang pintu dicapai. Kemudian, bilik air yang terletak di bahagian dapur dituju.

Hampir jam 6.45 barulah Aaira keluar rumah. Dia sudahpun bersiap-sedia untuk pergi ke sekolah dengan si ayah. Tubuhnya tersarung baju seragam sekolah bewarna kuning mustard memandangkan dia adalah pengawas sekolah.

"Tunggu sekejap Aaira. Ayah tak balik masjid lagi," Ujar si ibu yang sedang menyidai kain di ampaian luar rumah.

Jam yang terlilit di pergelangan tangan dilihat sekilas. Hari ini dia bertugas menjaga pintu pagar dan perlu hadir awal ke sekolah. Tetapi ayah--

"Ibu, ayah balik lambat lagi ke?" Soalnya penuh khuatir.

"Sekejap lagi ayah baliklah tu." Jawapan selamat Puan Maisarah berikan.

"Ermm, ibu..." Bebola mata bergerak mengikut pergerakan Puan Maisarah sehinggalah wanita itu telah menyelesaikan kerjanya.

"Harini Aaira jaga pintu pagar, kena datang awal sikit. Kalau ayah balik lambat lagi, Aaira naik bas boleh tak?"

Puan Maisarah diam tidak membalas. Bakul kain yang telah kosong diletakkan di bawah pokok.

"Boleh tak ibu?"

"Nanti ayah bising pulak. Tunggulah ayah balik dulu."

Aaira termati kata-kata. Terpaksa akur dengan keputusan itu, akhirnya dia hanya mampu menunggu penuh sabar. Dalam hati tidak putus berdoa agar si ayah akan pulang secepatnya.

Seakan-akan doanya dimakbulkan, seminit kemudian deruman enjin motosikal kedengaran. Seorang lelaki berkopiah dan berkain pelekat memberhentikan motosikalnya di hadapan rumah. Terus Aaira berlari mendapatkan motosikal tersebut.

"Ibu, Aaira pergi dulu." Ujarnya sedikit kuat.

"Belajar elok-elok."

"Baik ibu,"

Motosikal yang ditunggang Encik Shakirin tiba di SMK Abu Bakar tepat jam 7 pagi. Usai bersalaman dengan si ayah, cepat-cepat Aaira masuk ke dalam perkarangan sekolah. Bimbang prestasinya akan terganggu kerana tidak bertugas mengikut jadual yang telah ditetapkan.

-------------------

'Kringgg!'

Para pelajar mula masuk ke kelas masing-masing selepas perhimpunan pagi yang diadakan di dewan. Aaira yang baru sahaja menghantar laporan di bilik disiplin, turut menuju ke kelasnya 5 Ibnu Sina untuk memulakan pelajaran.

Dia mengambil tempat duduk di tepi tingkap, tiga dari belakang. Lalu buku latihan sains dibawa keluar dari laci meja. Sedang memilih pen untuk digunakan, tiba-tiba sahaja perbualan beberapa pelajar di dalam kelas tersebut mengundang sebak.

'Harini hari kematian Nabila yang bunuh diri tahun lepas. Ingat tak?'

'Tak.'

'Macam mana kau ingat? Kau rapat dengan Nabila tu ke?'

'Aku pernahlah ejek dia anak banduan. Siapa suruh dia cari pasal dengan aku.'

'Hahaha,'

'Dengar cerita mak dia kena serangan jantung lepas dengar Nabila bunuh diri. Kemudian meninggal.'

'Keluarga banduan. Tak ke mana pun akhirnya. Sehidup semati.'

Penumbuk dikepal geram. Sedaya upaya Aaira menahan diri daripada memaki pelajar-pelajar lelaki yang mempunyai mulut kotor itu.

Nabila dah meninggal pun masih korang tak boleh lepaskan!

"Aaira,"

Kedua-dua bahu terangkat dek terkejut dengan sapaan itu. Pelajar perempuan bertudung putih di hadapannya sedang melambai-lambai tangan.

"Ye Farha,"

"Kau dah siap ke kerja bahasa arab yang ustaz Luqman bagi minggu lepas?"

Kepala diangguk-angguk. Serentak itu senyuman Farha mekar di bibir. Faham apa yang mahu dimaksudkan gadis itu, sebuah buku tulis tulis bahasa arab diletakkan di atas meja.

"Terima kasih Aaira, kau memang sahabat aku duniaa akhirat!"

Aaira tersenyum senget. Memang dah masak dia dengan perangai Farha. Kalau tak pinjam buku, maknanya nak ajak gosip. Tak ajak gosip maknanya nak pinjam buku. 2 tu sahaja dari dulu.

Tak berubah.

'Aaira, ooo Aaira.'

Serta merta kepala Aaira dan Farha beralih ke tepi. Memandang ke arah 3 orang pelajar lelaki yang sedang bergosip tentang arwah Nabila sebentar tadi.

"Kau rapat dengan Nabila anak banduan tu kan?" Tanya salah seorang pelajar lelaki yang mempunyai tahi lalat kecil di sebelah kening.

Aaira memilih tidak jawab. Tanpa memedulikan pertanyaan mereka, dia kembali berbicara dengan Farha.

"Kau tahu tak kubur dia dekat mana? Kitorang nak pergi balik sekolah satgi."

Riak wajah Farha berubah menyampah. "Korang nak buat apa pergi sana? Kalau tak tahu nak buat baik, lebih baik diamkan diri." Tempelaknya.

"Eh, Pak Ha mata sepet. Kami cakap dengan Aaira, bukannya kau."

Cepat-cepat Aaira mencapai tangan Farha. Menghantar isyarat agar gadis itu tidak melayan karenah pelajar-pelajar lelaki tersebut agar tidak tercetusnya pergaduhan.

"Aaira, bagilah tahu kami dekat mana kubur dia. Kami cuma nak 'melawat' dan sedekahkan al-fatihah je pun." Sengaja perkataan melawat dikuatkan. Biar si Pak Ha dengar yang kami bukannya ada niat jahat.

Farha sudah tertawa lucu. "Eh, Zamron and the gang. Nak sedekahkan al-fatihah sekarang pun boleh. Tak perlu pergi ke kubur pun tak apa."

"Sibuklah kau Pak Ha. Diamlah. Makin kau bercakap, makin hilang mata kau nanti."

"Kau cakap sekali lagi." Cabar Farha.

"Sekali kau bercakap, mata kau makin mengecil macam ikan."

"Hahaha."

Kehadiran guru di dalam kelas itu mematikan perbalahan yang sedang berlangsung. Semua pelajar mengambil tempat masing-masing sebelum kelas pertama pada pagi ini dimulakan.

-------------------

SEPERTI biasa, pasar pagi di Kampung Jambu dipenuhi orang ramai. Masing-masing berbelanja dengan jumlah yang besar memandangkan harganya yang lebih murah berbanding di kedai-kedai runcit.

"Mai, nak masak apa harini? Penuh bakul tu." Tegur seorang wanita 50 an yang baru tiba di gerai barang basah. Sepinggan ikan pelaling diambil dan diberikan kepada penjual untuk ditimbang.

Puan Maisarah tersenyum kecil. "Esok anak bujang nak balik. Itu yang kalut nak mencari barang masak."

"Si Ulwan tu ke?"

"Haah, sorang tu je anak bujang saya ada."

"Kerja ke belajar di Dubai?"

"Kerja kak. Dapat tawaran di sana."

"Alhamdulillah, sejuk perut mengandung. Anak-anak semuanya berjaya."

"Alhamdulillah, dah lepas seorang. Tinggal Aaira je lagi."

"Jagalah budak tu dengan baik. Jangan terikut-ikut budak-budak zaman sekarang yang perangainya entah apa-apa. Jadi macam anak Kak Pah tu, siapa nama dia."

"Yana?"

"Ha, si Yana. Belum apa-apa dah kena tangkap basah dekat hotel. Nauzubilllahi min zalik. Mintak-mintak kita dijauhi."

"Yana bukan ke baru tingkatan 4?"

"Ha, dia lah tu. Pelajar di SMK Abu Bakar. Satu sekolah dengan anak kamu kan,"

"Ya, SMK Abu Bakar."

"Perangai budak-budak zaman sekarang. Bercinta tak ingat dosa pahala. Tahu-tahu dah ada isi. Lepastu gugurkan anak tak bersalah. Pening kita dengarnya."

"Betul tu kak. Bila dah terjebak, susah nak kembali. Risau pulak saya dengarnya. Diorang kena tangkap basah dekat mana tu?"

"Dengar cerita dekat hotel Seri Perdana. Tengah malam semalam."

"Astaghfirullahalazim,"

"Kamu jagalah Aaira elok-elok. Kalau silap berkawan, bahaya budak tu. Sekarang masih belajar, fokus belajar lah kan. Bukannya galak dengan jantan dekat luar sana."

"Ya kak," Puan Maisarah tersenyum kelat. Selesai membeli apa yang diperlukan, dia meminta diri untuk pergi. Masih ada kedai yang perlu di singgah selepas ini.

-------------------

"Aaira, jumpa saya dekat bilik guru." Pesan guru perempuan itu sebelum keluar dari kelas 5 Ibnu Sina. Aaira mengemas barangan di atas meja dengan cepat sebelum mengejar langkah Puan Shidah yang mendahuluinya. 5 minit kemudian mereka tiba di bilik guru yang terletak di blok C.

‘TOK!’

‘TOK!’

‘TOK!’

“Aaira, duduk dekat sini." Arah Puan Shidah sambil menunjukkan kerusi di sebelah meja kerjanya.

Aaira duduk di situ tanpa bertanya lebih lanjut meskipun fikirannya sedang berperang mempersoalkan mengapa dia dipanggil guru disiplin itu. Tidak lepas dia memandang setiap perlakuan Puan Shidah. Sejak dari mengeluarkan satu fail hitam, sehinggalah menyelak helaian demi helaian.

"Saya dapat laporan kamu ada tampar Izzati, pelajar tingkatan 2 pada tiga hari lepas?" Puan Shidah mengetuk-ngetuk kertas bercetak yang diletakkan di hadapan Aaira. Apabila pelajar perempuan itu tidak bereaksi, telefon bimbitnya pula ditayangkan pada gadis itu.

Jelas di skrin terpapar gambar Aaira sedang menaikkan tangan pada seorang pelajar perempuan yang lebih kecil tubuh badannya.

“Cikgu, itu salah faham. Saya mengaku orang yang di dalam gambar itu adalah saya. Tapi-”

"Itu apa yang saya nak dengar. Terima kasih."

"Cikgu, biarkan saya jelaskan perkara sebenar."

Kertas bercetak ataupun laporan yang telah dibuat seorang pelajar yang disyaki dibuli itu, dimasukkan kembali ke dalam fail.

“Aaira, jangan salah gunakan hak kamu sebagai seorang pengawas. Kalau dia ada buat salah, kamu perlu laporkan kepada saya. Bukan ambik tindakan sendiri."

“Cikgu salah faham. Saya tak pernah salahgunakan kuasa sebagai seorang pengawas."

“Seperti yang kamu buat pada arwah Nabila?"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience