BAB 13

Family Completed 27065

Awak, jangan tinggalkan saya…Aku bermonolog sendirian. Terduduk dan memeluk tubuhku dengan mendakap kedua-dua tanganku, lalu kusilang ke bahu pada arah yang bertentangan. Airmataku merembes keluar bagaikan paip air yang memuntahkan isinya, laju dan deras.

~Awak nak tahu tak buku apa yang akan buat kita menangis setelah kita bacanya?~ Soal Fatih pada suatu ketika.

~Buku cerita sedih~ Aku menjawab dengan bersungguh-sungguh. Teruja dengan soalan lelaki itu tadi.

~Salah, teka lah lagi~

~Buku cinta~ tanganku bersilang, membentuk bahasa isyarat.

~Al-quran~ balas Fatih kepadaku.

Aku senyum, terharu. Tepat sekali. Aku gembira, lelaki itu sentiasa mengajakku memikirkan tentang kebesaran ALLAH. Ada sahaja bicaranya yang akan membawaku mengingati ALLAH. Aku jatuh cinta dengannya kerana dia memiliki ciri-ciri yang aku cari. Seorang yang sangat menitikberat soal agama, sentiasa menjaga batas pergaulan yang bukan mahram. Alhamdulillah (Segala Puji Bagi ALLAH). Dalam diam, hatiku mengucap syukur kerana DIA meminjamkan cinta kepadaku.

~Pegang Al-quran, peluk, cium dan baca~ Sambung Fatih lagi.

Aku senyum lagi, sekadar mendengar penuh khusyuk.

~ALLAH kaya dengan cinta, cinta-NYA ada dalam Al-quran~ Fatih tersenyum kepadaku.

Aku menangis, masih setia melabuhkan punggungku di atas tikar sejadah. Ingatanku kepada Fatih semakin menebal setelahku baca terjemahan ayat suci Al-quran, meskipun bacaanku hanya terukir di hati. Aku bermunajat memohon kepada-NYA, moga DIA meminjamkan Fatih kepadaku. Tangisanku tidak terhitung, wajahku tidak berseri lagi dengan solekan tadi. Tentu sahaja luntur dengan sapuan airmataku.

Aku hanya memikirkan keadaan Fatih. Kata Izad dan Sumaiyyah, Fatih masih dirawat. Mengapa mereka berada berdekatan bilik yang bertanda warna merah tadi?. Jangan-jangan keadaan Fatih agak kritikal, kerana bilik itu merupakan bilik kecemasan, bilik kritikal. Pesakit yang dimasukkan ke dalam bilik tersebut sudah tentu berada dalam keadaan kritikal. Dadaku berdebar-debar.

Aku janji, aku akan jadi isterimu yang solehah Fatih, kuatkan semangat. Kau mesti sembuh. Aku.. aku masih perlukan kau lagi. Bisikku usai melanjutkan doaku kepada-NYA. Aku menangis… lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience