Bab 7

Spiritual Series 3086

Bab 7

Amir mengumpulkan getah-getah sekerap yang dikutipnya dan dijemur di atas zin buruk dibelakang rumahnya. Tiba-tiba dia mendengar bunyi hon dan deruman motosikal menghampirinya.

"Assalamualaikum Amir," Pakcik Padil menegur Amir. Selepas itu dia menongkatkan motosikal EX5nya.

"Wa'alaikumussalam. Pakcik Padil cari nenek ke?" jawab Amir setelah menjawab salam Padil.

"Eh taklah. Pakcik cari kamu la?" jawab Pakcik Padil.

"Eh kenapa Pakcik cari saya pula ni?" balas Amir kehairanan.

"Sebenarnya aku nak ajak kamu pergi jumpa Pak Itam," jawab Pakcik Padil.

"Jumpa Pak Itam? Kenapa? Kan Pak Itam selalu hadir ke surau setiap waktu," jawab Amir lagi. Dia hairan dengan sikap Pakcik Padil. Pak Itam selalu saja di surau setiap waktu solat, sedangkan Pakcik Padil pun ada. Kenapa Pakcik Padil tidak bertemu dengannya waktu itu.

"Pakcik sebenarnya segan nak berborak dengannya waktu di surau," jawab Pakcik Padil perlahan.

Amir menunduk dan berfikir seketika, dia sepertinya faham dengan situasi Pakcik Padil. Cerita tentang Pak Itam membela hantu kini sedang riuh diperkatakan oleh orang-orang kampung, Pakcik Padil sepertinya risau jika dia terjebak menjadi umpatan orang kampung mereka.

"Kejap pakcik, saya pergi mandi dulu. Bau sekerap ni, segan pula nak bertandang ke rumah orang," jawab Amir tersengih-sengih. Pakcik Padil pun tersenyum apabila mendengar ulah cucu jirannya itu.

Selepas sepuluh minit berlalu Amir pun keluar dari rumahnya setelah memberi tahu neneknya tujuan dan arah tuju dia dan Pakcik Padil.
"Kirim salam ya dengan Pak Itam," pesan Mak Munah.

"Baik Nek," jawab Amir pendek.

Amir pun membonceng dibelakang Pakcik Padil. Maka motosikal buruk EX5 Pakcik Padil pun meluru keluar dari rumah Mak Munah menuju ke hujung kampung.

Sebelum ke rumah Pak Itam, Pakcik Padil singgah sebentar ke kedai runcit Pak Hamid, dia membeli beras Faiza Bersamamu 10kg lalu diletakkan dalam raga motonya. Amir hanya melihat sahaja perilaku Pakcik Padil tanpa berkata apa-apa. Perjalanan mereka diteruskan. Tidak sampai sepuluh minit mereka pun sampai ke rumah Pak Itam yang berada di pinggir hutan dikampung mereka.

Satu bau yang sangat wangi mencerap ke hidung mereka berdua. Masing-masing memandang antara satu sama lain. Pencampuran bau antara bau kemenyan dan bau wangi itu saling menindih antara satu dengan lain. Bulu roma mereka menegang seketika.

Amir memandang Pakcik Padil sekali lagi, kini mereka berdua telah sampai ke rumah Pak Itam tetapi kelihatannya Pakcik Padil seolah-olah takut untuk turun dari motosikalnya. Maka Amir pun turun dari motosikal lalu mendekati rumah tradisonal Pak Itam itu. Walaupun rumah itu agak suram pada pandangannya tetapi dia seolah-olah melihat ada cahaya ketenangan disetiap sudut rumah itu.

"Assalamualaikum..." laung Amir. Tiada apa balasan atau pergerakkan dari dalam rumah itu.

"Assalamualaikum.." sekali lagi Amir melaungkan salam. Kali ini dia agak mengeraskan sedikit suaranya. Suasana masih sama, sunyi kecuali bau semerbak yang masih mencucuk-cucuk hidung mereka berdua saat ini.

"Nampaknya macam Pak Itam tiada dirumah," kata Pakcik Padil kepada Amir. Dia merenung setiap inci rumah Pak Itam kala itu. Suram dan sunyi, kadang-kadang terdetik dihatinya rasa kesian kepada Pak Itam. Sudah berpuluh tahun Pak Itam tinggal bersendirian dihujung kampung itu. Kalau dia, pasti dia tidak sanggup menghadapi kesunyian itu seorang diri.

"Entahlah Pakcik Padil, mungkin Pak Itam keluar kot," jawab Amir pula. Tetapi dia melihat pintu depan rumah Pak itam tidak ditutup. Tingkap rumahnya juga dibiarkan terbuka. Masakan Pak Itam begitu cuai meninggalkan rumahnya sedemikian rupa.

"Tapi.. pintu dengan tingkap rumahnya tidak ditutup. Pakcik rasa dia ada dekat belakang rumah ni," kata Pakcik Padil setelah menyedari akan pintu dan tingkap rumah Pak Itam yang terbuka luas. Dia menongkat motosikalnya lalu berjalan mengililingi rumah Pak Itam.

Ketakutannya tadi seperti hilang entah kemana. Dia menguatkan hatinya, ada sesuatu yang ingin dia sampaikan. Dah dua tiga hari dia membenamkan hasratnya untuk berjumpa Pak Itam. Cerita-cerita orang kampung berkenaan Pak Itam diletak ke tepi, pada waktu ini tujuan utamanya adalah bertemu dengan Pak Itam.
"Assalamualaikum!!!.. Pak Itam... Oh Pak Itam," jerit Pakcik Padil pula. Kali ini dia pula melaungkan salam buat pemilik tanah di hujung kampung itu. Sunyi, suasana masih seperti tadi.

Angin bukit menerjah ke wajah mereka berdua. Mereka terkejut seketika. Masing-masing berpandangan. Muka Pakcik Padil kelihatan pucat tetapi tidak pada Amir, walaupun dia terkejut tadi tetapi suasana itu tidak merisaukan dirinya.

Dia biasa bangun seawal jam 3.30 pagi untuk mengerjakan tahajud dan beberapa ibadah yang lain. Setelah itu dia akan ke kebun getah dibelakang rumahnya untuk menoreh. Kadang-kadang dia ditemani oleh neneknya, kadang-kadang dia hanya menoreh sendirian. Jadi kegelapan atau kesunyian sudah menjadi rencah dan rutin hidupnya.

Dia tersenyum-senyum melihat muka Pakcik Padil yang agak ketakutan. Tetapi dia tidak melepaskan tawanya, dia takut jika itu terjadi ianya pasti menguris rasa dalam hati jirannya itu. Baginya "La takhaf wala tahzan innallaha ma'ana", selagi dia betul dijalanNya tiada apapun yang boleh menggugah dirinya.

"Assalamualaikum... " kali ini Amir pula melaungkan salam. Suaranya agak lebih tinggi dari sebelumnya. Pakcik Padil disebelahnya hairan melihat Amir tampak tenang sahaja.

"Wa'alaikumussalam warahmatullahi wabarokatuh.... " terdengar suatu suara dari perut hutan dibelakang rumah Pak Itam.

Amir dan Pakcik Padil pun menjengah ke belakang rumah Pak Itam. Mereka memincing mata ke arah suara yang mereka dengar tadi.

Dari kejauhan mereka nampak semak dan belukar dibelakang rumah Pak Itam itu seperti diredah sesuatu. Hati mereka berdebar tiba-tiba terutama Pakcik Padil, tetapi debaran itu seolah-olah hilang apabila wajah Pak Itam muncul dari celah-celah semak dibelakang rumahnya.

"Assalamualaikum Pak Itam," ulang Pakcik Padil sekali lagi sambil tersenyum apabila melihat Pak Itam kian mendekat. Tetapi senyumannya mati tiba-tiba apabila dia melihat kedua-dua tangan Pak Itam berlumuran darah.
Dipinggang Pak Itam tersisip kemas goloknya dan ditangan kirinya pula kelihatan tiga ekor ayam hitam mati terkulai dengan leher masing-masing masih menitiskan darah.

Apa yang ingin dilakukan Pak Itam dengan ayam hitam itu? Apa pula hasrat sebenar Pakcik Padil?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience