Bab 6
"Hah! Kan aku dah cakap dah aritu Pak Itam bela hantu!" kata Jenal kepada Meon dan Samad Juling. "Tak pasal-pasal si Piah anak Padil pendek kena rasuk. Sekarang korang percaya tak apa aku cakap," kata Jenal lagi.
Samad Juling dengan Meon mengangguk angguk seolah-olah bersetuju dengan kata-kata kawan mereka Jenal. Kejadian Sofia yang dirasuk beberapa hari yang lepas menjadi perbualan hangat dikalangan orang-orang Kampung Pasir Hantu.
"Aku rasa dia dok bakar kemenyan tu mesti dok seru-seru hantu dia la tu," kata Meon pula. "Mesti tak cukup bagi makan tu, sebab tu hantu dia mengamuk aritu. Sampai habis Piah dirasuknya," sambung Meon lagi.
"Habis apa yang jadi pada Piah haritu," tanya Samad Juling pula. Samad tak ada pada waktu kejadian, jadi dia tidak tahu sangat duduk sebenar akan cerita itu.
"Gila kau! Habis aku dengan Meon dilambungnya malam tu," kata Jenal dengan bersunguh-sungguh.
"Raop anak Wak Mali pun pengsan dihumban Sofia," Meon pula menambah.
"Wuish.. Dasyat betul tu. Takkanlah budak perempuan tingkatan lima kuat macam tu?" tanya Samad Juling tidak percaya. Dia kenal Solehah dan Sofia, lagipun Solehah itu sekelas dengan adiknya Zaleha yang menuntut di tingkatan enam atas.
"Kalau kau tak percaya, kau boleh tanya Pak Mail. Dia pun sama kena humban dengan Piah malam tu," kata Jenal. Dia menunjukkan jarinya kepada Pak Mail yang sedang mengira-ngira harga makanan para pelanggannya.
"Betul ka Pak Mail?" tanya Samad Juling kepada Pak Mail. Pak Mail merenung kepada mereka bertiga sekejap.
"Betul apanya Samad?" jawab Pak Mail endah tak endah. Dia sibuk mengira dan memberikan harga kepada pelanggan-pelanggannya.
"Pasal Piah kena rasuk aritu. Pak Mail pun kena humban dengan dia ke," tanya Samad lagi. Dia ingin kepastian dengan cerita Meon dan Jenal dari Pak Mail.
Setelah menyelesaikan kerja-kerjanya Pak Mail menarik kerusi dan duduk berhampiran dengan mereka bertiga. "Hah apa ceritanya?" tanya Pak Mail kembali. Sebenarnya dia tidak terlalu fokus dengan cerita-cerita tiga pelanggannya itu tadi.
"Betul ka Piah anak Padil Pendek tu kena rasuk aritu?" tanya Samad Juling kepada Pak Mail.
"Betul.. Habis tu kenapa Samad?" tanya Pak Mail kembali. Matanya memfokuskan kepada Samad Juling. Dia ingin mengetahui duduk cerita sebenar apa yang diceritakan oleh mereka bertiga.
"Jadi betullah Pak Itam tu bela hantu?" tanya Samad Juling kembali.
"Eh.. Apa kena mengena pula dengan Pak Itam?" tanya Pak Mail kembali. Dia kehairanan.
"Kan Piah pengsan lepas jumpa Pak Itam di depan pintu. Mestilah hantu dia takut dengan tuan dia, sebab tu dia keluar dari badan Piah," kata Jenal pula.
"Eh.. Mana kamu tahu hantu yang merasuk Piah tu hantu Pak Itam. Kamu jangan memandai-mandai fitnah orang ni Jenal," tungkas Pak Mail. Dia mengeleng-geleng kepalanya beristigfar dalam hati.
"Kalau bukan hantu Pak Itam, habis tu hantu siapa Pak Mail. Pak Itam ja yang bela hantu dalam kampung ni. Hari-hari dia bakar kemenyan, asap tu kan makanan hantu," balas Meon pula.
"Asap makanan hantu?? Abis tu yang korang isap rokok asap berkepul-kepul tu tak bagi makan hantu ke?" bidas Pak Mail. "Lagi satu tak baik kamu memfitnah orang tanpa bukti Meon, kamu nampak ke dia bagi makan hantu tu, " kata Pak Mail.
"Asap kemenyan tu bukan makanan hantu ke Pak Mail?" tanya Samad Juling pula.
"Dalil mana kata asap kemenyan tu makanan hantu?" tanya Pak Mail.
"Aku masa pergi Haji dulu tengok kat Mekah ada ja orang bakar kemenyan. Diorang bagi makan hantu juga ke?" soalan cepumas sedebuk diberikan Pak Mail.
Meon, Jenal dan Samad Juling ternganga mendengar cerita Pak Mail. Dibenak mereka masih memikirkan adakah betul orang bakar kemenyan di Mekah.
"Biar betul Pak Mail... Mana ada orang bakar kemenyan kat Mekah," kata Meon.
"Kau pernah pergi Mekah ke?" tanya Pak Mail kepada Meon. Meon menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Abis tu mana korang tahu orang tak bakar kemenyan di Mekah? soal Pak Mail. Waktu itu boleh dikatakan semua pelanggan memfokuskan telinga mereka dengan soalan Pak Mail.
"Ni aku nak bagitahu, kemenyan tu dalam bahasa melayu, dalam bahasa arab orang panggil bukhoor ataupun luban. Benda ni orang buat dari getah pokok, kulit kayu atau kayu macam dupa, damar, gaharu, cendana atau macam-macam lagi. Orang dulu takde lagi minyak wangi dashing, follow me, Paco Raban, ambi pur, glade jadi diorang guna benda ni la buat sebagai pewangi. Ada yang dijadikan cecair untuk disapu dan ada yang dibakar untuk dijadikan haruman," ceramah Pak Mail.
"Daripada Nafi’ RA, dia berkata: Maksudnya: Ibnu Umar apabila ingin berwangi maka dia akan berwangi dengan gaharu, tanpa mencampurkan dengan bahan lain, atau berwangi dengan kapur, atau mencampurkan kapur dan gaharu. Dia berkata: “Beginilah Rasulullah SAW berwangi.” — (Hadis Riwayat Muslim 2254)" sambung Pak Mail lagi sambil membaca sepotong hadis.
Terkejut semua pelanggan Pak Mail mendengar tazkirah dari Pak Mail. Baru kali ini mereka mendengarnya, semua mereka melopong apabila mendengar kata-kata dari Tok Siak kampung mereka.
" Lagi satu, Allah pernah berfirman dalam Surah Al-Hujurat, ayat 12. ....Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani.” Sambung Pak Mail sambil membacakan sepotong ayat Al Quran pula.
"Hah... Kamu nak makan mayat kawan kamu ke???"
Moga-moga Meon, Jenal dengan Samad Juling bertaubatlah. Saya pun kena juga bermuhasabah diri, mulut ni banyak sangat dok mengata dan nengutuk orang :,-(
Share this novel