Bab 3
Sofia menjerit dan meronta-ronta ditengah-tengah rumah Padil. Matanya terbuntang bulat merah memandang semua yang berada disitu. Sofia menderam.
Ibunya, Cik Bedah cuba menenangkan anaknya tetapi dibalas dengan renungan tajam. Sofia mendengus kasar.
"Aku nak pulang... " kata Sofia bersuara garau. Matanya merah.
"Nak pulang ke mana Fia? kan Fia dah ada kat rumah," Cik Bedah cuba memujuk anaknya itu.
"Bukan.. ini bukan rumah aku.. Aku nak pulang!!!" jerit Sofia dengan suara yang garau.
Tepat waktu itu Imam Khalid dan beberapa pemuda muncul bersama-sama Padil muncul didepan pintu rumah.
"Imam.. tengoklah anak saya tu Imam. Dah kena rasuk dah tu?" kata Padil sambil menunjukkan keadaan anaknya kepada Imam Khalid.
"Imam, tolonglah anak saya ni Imam," Cik Bedah pula merayu. Dia sangat sedih apabila melihat keadaan anaknya waktu ini.
"Baiklah, saya cuba ikhtiarkan," jawab Imam Khalid.
"Bawakkan saya garam kasar dan lada hitam," arah Imam Khalid.
Solehah yang berada disamping ibunya terus ke dapur untuk dapatkan barang-barang yang diminta oleh Imam Khalid. Tangannya agak gementar, tetapi apabila dia memikirkan nasib adiknya waktu itu, Solehah menguatkan juga semangatnya.
Tidak sampai lima minit garam dan lada hitam terus dibawa ke ruang hadapan rumah itu. Tetapi disebabkan oleh kegugupannya Solehah mengangkut sekali dengan bekas-bekasnya.
Terkejut Imam Khalid dengan apa yang dibawa oleh Solehah. Cik Bedah dan suaminya turut terkejut dengan perilaku Solehah.
"Bawakan mangkuk," pinta Imam Khalid, dia malas memikirkan hal itu. Fikirnya fikiran Solehah mungkin kusut dengan keadaan adiknya sekarang sehingga membuatnya bertingkah seperti itu.
Solehah terus ke dapur untuk mengambil mangkuk dan dia kembali dengan secepat yang boleh. Imam Khalid mencapai mangkuk itu lalu mencampurkan garam dan lada hitam ke dalamnya. Dia duduk bersila dan memulakan rukyahnya.
Ketika dia membaca Surah Al Fatihah, Sofia terus memandangnya dengan renungan yang ganas bagaikan ingin menerkam Imam Khalid. Imam Khalid sedar akan keadaan itu tetapi dia tidak menghiraukan Sofia.
Sofia mendengus kasar apabila Imam Khalid meramas-ramas garam dan lada hitam yang dicampurkannya tadi. Mulutnya berkumat kamit sambil membaca surah empat qul pula.
Sofia semakin marah, dia bangun dan cuba menyerang Imam Khalid. Beberapa pemuda dengan cepat memaut tangan dan kaki Sofia untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang akan terjadi.
"Lepaskan aku!!!" jerit Sofia dengan kuat dan garau. Wajahnya kian memerah memandang beberapa pemuda yang menahannya dengan geram. Kemudian dia memandang tepat pada Imam Khalid.
"Berhenti!!! Jika tidak kamu akan menyesal," kata Sofia lagi.
Imam Khalid tidak menghiraukan kata-kata Sofia, dia masih meneruskan bacaannya. Kali ini dia menyambung dengan bacaan ayatul kursi sebanyak tujuh kali. Matanya tepat memandang wajah Sofia.
Sofia mengamuk apabila dia tidak dihiraukan oleh Imam Khalid. Dia melibaskan kedua-dua tangannya mencampak beberapa pemuda yang memegangnya itu.
Ketiga-tiga pemuda yang memaut Sofia melambung dan melanggar dinding rumah Padil. Semua yang berada diruangan itu bagaikan tidak percaya apabila melihat kekuatan Sofia yang bertubuh kecil itu melambungkan ketiga-tiga pemuda itu dengan mudah sekali.
"Kalau ilmu dangkal seperti itu jangan cuba hendak mencabarku," kata Sofia dengan wajah angkuh dan bersuara garau. Dia bercekak pinggang dengan marah dan memandang Imam Khalid geram.
Imam Khalid masih tidak menghiraukan Sofia, dia masih berkumat kamit khusyuk dengan bacaannya, tangannya masih meramas-ramas garam kasar yang dicampurkannya dengan lada hitam itu. Cuma matanya sahaja memandang tepat kepada Sofia.
Sofia geram dengan perlakuan Imam Khalid kepadanya. Dia mendengus kasar dan menerkam Imam Khalid buat kedua kalinya. Tetapi sebelum sempat terkamannya sampai Imam Khalid merejamnya dengan garam kasar bercampur lada hitam ditangannya.
"Arghhh!!! Panas! Panas!!" Sofia mengelupur diruang tengah rumah Padil. Tiada yang berani mendekati Sofia lagi. Mungkin mereka takut dilambung Sofia seperti ketiga-tiga pemuda tadi. Pemuda-pemuda yang dilambung Sofia tadi ada yang pengsan dan ada yang masih kesakitan.
"Aku pasti membunuh mu!!" dengus Sofia dengan suara garau. Matanya mencerlang menerkam wajah Imam Khalid.
"Cubalah kalau kamu mampu wahai syaitan!" jerkah Imam Khalid yang dari tadi hanya diam dan membaca surah-surah tertentu. Dia merejam sekali lagi dengan garam kasar bercampur lada hitam ditangannya.
"Arghh!! Panas! Sakit la bodoh!" Sofia meraung lagi. Kedua-dua tangannya cuba menutupi mukanya. Dia mendengus marah kepada Imam Khalid. Hatinya berdendam. Kali ini dia nekad.
Sofia melompat ke arah Imam Khalid dan cuba menendang Imam Khalid dengan kaki kanannya. Tetapi Imam Khalid bukanlah batang pisang yang akan membiarkan dirinya ditendang begitu sahaja.
Imam Khalid mengelak ke kanan dan merembas apa yang digenggam olehnya tepat ke muka Sofia. Sofia menjerit lagi dan mengelupur seketika. Nafasnya kedengaran kencang dan merintih. Tetapi tidak lama kemudian dia memangungkan kepalanya melihat Imam Khalid, matanya juga melihat semua tetamu yang hadir diruang rumah itu.
"Bangsat!! Kamu ingat Khalid. Ada ubi ada batas, ada hari aku pasti balas," Sofia mendengus garau. Dia dengan cepat mencapai bekas garam dan lada hitam yang diambil Solehah tadi lalu dilemparkan ke arah Imam Khalid.
Terkejut dengan perilaku Sofia kala itu Imam Khalid tidak sempat untuk mengelak maka bekas itu berhamburan ke atasnya. Kesempatan itu diambil Sofia untuk meluru ke pintu keluar. Beberapa orang cuba untuk menahannya tetapi dihumban oleh Sofia dengan mudah. Sekarang sudah tiada lagi yang akan menjadi penghalangnya, dia kini sudah berada dimuka pintu rumah.
Tiba-tiba dia terpaku didepan pintu keluar rumah itu. Matanya terbeliak besar, dia terkejut.
"Kau!!!"
Siapa yang dilihat Sofia? Kenapa dia begitu terkejut? Dan apa yang akan terjadi kepadanya selepas ini?
Share this novel