Bab 9
"Kau bawak tak benda tu?" kata Jenal kepada Meon.
"Aku bawak, kau jangan risau la Jenal. Cuma kali ini aku harap kita jangan lari lagi," kata Meon.
"Eh, aritu tu kau yang lari dulu tinggalkan aku, hampir terkencing aku waktu tu. Kau tau tak?" balas Jenal pulak. Dia masih geram apabila mengingatkan peristiwa yang mereka alami sebelum ini.
"Baik-baik. Kali ini aku takkan lari lagi. Aku janji. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan," kata Meon. Kali ini mereka berdua bertekad untuk terus bertahan sehingga tercapai tujuan mereka.
"Kau janji ya," tanya Jenal lagi.
"Ye aku janji, kali ini alang-alang nak kaya," kata Meon.
"Tak larat dah aku nak kerja kat kilang Ah Leong tu lagi. Asik kena maki je hari-hari," kata Jenal.
"Aku pun sama, lambat sikit pun tak boleh. Berkira sungguh apek tu. Nanti aku kaya, aku nak beli kereta nak tayang dekat dia. Biar padan muka dia," kata Meon pula.
"Dah dah. Jom," kata Jenal. Kali ini Jenal dengan Meon pasti menjalankan rencana mereka tanpa gagal. Mereka telah mengukuhkan hati mereka.
Motosikal mereka melalui jalan-jalan kecil menuju ke ujung kampung mereka. Kawasan yang dituju mereka kini adalah kawasan air terjun dihujung kampung mereka iaitu air terjun batu belah.
Apabila sampai, Jenal memarkirkan motosikalnya di kawasan lapang. Meon juga juga ikut memakirkan dikawasan yang sama. Kali ini mereka berdua membawa motosikal secara berasingan, Jenal sudah serik ditinggalkan oleh Meon sebelum ini dan dia sudah tidak berani lagi menumpang Meon. Dia takut pisang berbuah dua kali.
Setelah itu mereka berdua pun berjalan melalui denai-denai kecil dipinggir air terjun itu dan memanjat beberapa bukit kecil sehingga sampai ke sebuah batu besar ditepi hutan berhampiran air terjun itu.
Batu itu berukuran sangat besar dan bertindan antara satu sama lain. Sepertinya sebiji batu besar yang dibelah dua, bagaikan sebuah tiram yang besar terselit dicelah-celah bukit berdekatan air terjun itu. Rupa bentuknya yang unik dan potongannya batu dari kanan ke kiri menyebabkan orang kampung ini memanggilnya batu belah. Maka kini kawasan itu dikenali sebagai air terjun batu belah.
Jenal pun meletakkan talam tembaga didepannya lalu dilapik dengan kain kuning. Di atas kain kuning itu dia meletakkan daun pisang dan sate yang dibuat khusus untuk penjamuan kali ini.
Sate yang dibuat khusus untuk penjamuan kali ini dibuat daripada daging burung gagak, dikunyit serta dirempah secukupnya seperti mana diajarkan oleh bomoh yang mereka berdua temui sebelum ini.
Meon pula membakar arang kayu untuk membuat bara api, setelah selesai dia menabur beberapa ketul kemenyan yang ditumbuk halus. Asap kemenyan itu membuak-buak naik dan menutupi kawasan persekitaran. Putih seakan-akan kabut atau jerebu meliputi kawasan air terjun batu belah itu.
Haruman kemenyan itu menyucuk-nyucuk hidung mereka berdua tetapi tetap tidak dihiraukan. Mulut mereka berkumat-kamit membaca mantra yang mereka sendiri tidak fahami. Lancar dan penuh yakin.
Bunyi cengkerik dan unggas hutan yang tadi bernyanyi ria kini mula mendiamkan diri. Hanya bunyi deruan air terjun dikawasan berhampiran sahaja yang kedengaran.
Lilin merah tiga batang yang dibakar mereka meliuk-liuk dimainkan angin malam kini tegak berdiri. Mulut kedua-dua sahabat itu masih berkumat kamit dengan mantra yang dibacakan. Mereka begitu kusyuk dan yakin dengan apa yang dibacanya.
Tiba-tiba angin dari bukit berhampiran meluru laju bagaikan menerkam ke wajah mereka. Langit yang tadi cerah kini ditutupi oleh awan gelap. Bulan yang mengambang didada langit dilindungi membuatkan kawasan itu menjadi gelap segelap-gelapnya. Hanya cahaya api dari lilin menemani mereka berdua.
Sebelum ini, mereka sudah lari apabila angin bukit itu menerpa mereka. Tapi kali ini mereka berdua tetap bertegas disitu. Walau apapun terjadi mereka berdua tetap akan menunggu disitu sehingga upacaranya selesai. Mereka berdua telah nekad. Alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lenggan.
Angin semakin lama semakin kuat, mulut mereka berdua semakin lama semakin laju melancarkan mantra yang dihafal. Semakin kuat sehingga kedengaran bacaannya semakin jelas. Dengan mata yang terpejam mereka tetap melafaznya dengan penuh yakin.
Disekeliling mereka mula kedengaran tapak-tapak kaki mengelilingi. Semakin lama semakin ramai. Bagaikan ada yang berlari menuju ke arah mereka. Peluh-peluh jantan mula menitik membasahi tubuh masing-masing.
Meon mula gementar, dia membuka matanya apabila mendengar bunyi-bunyi pelik yang menghampiri mereka. Kalau diikutkan hatinya, ingin dia lari meninggalkan tempat itu tetapi dia telah berjanji dengan Jenal sebelumnya. Dia takut Jenal akan mencemuhnya dan tidak mahu berkawan dengannya lagi selepas ini. Sebelum ini dia telah lari meninggalkan Jenal, jika kali ini dia melakukannya pasti dia tidak akan dimaafkan oleh Jenal lagi.
Mulutnya tetap melafazkan mantra yang dihafalnya. Meon melihat ke arah Jenal, kelihatannya Jenal sangat kusyuk dengan bacaannya. Deruan angin dan bunyi berlarian makin kuat disekeliling mereka tetapi tidak diendahkan oleh Jenal.
Meon takut, dia mendekatkan dirinya ke arah Jenal sehingga lutut kanannya menyentuh lutut kiri Jenal.
Perilakunya itu membuatkan Jenal terkejut, lalu Jenal membuka matanya walaupun mulutnya tidak berhenti-henti melafazkan mantranya. Dia menanyakan masalah apa kepada Meon dengan isyarat kepalanya. Tetapi Meon hanya mengelengkan kepalanya dan terus melafazkan mantranya.
Wajah pucat Meon tampak cemas dengan peluh membasahi mukanya. Jenal hanya tersenyum melihat situasi Meon dan mengisyaratkan kepada Meon supaya bersabar. Mereka tetap meneruskan urusan mereka walaupun suasana semakin riuh dengan bunyi-bunyi pelik disekeliling mereka.
Jenal menambahkan lagi kemenyan ke dalam bara. Asap kemenyan semakin naik bergelombang memenuhi persekitaran mereka. Dalam hati Jenal sememangnya ada ketakutan tetapi dia telah nekad, apa yang nak jadi pun jadilah. Kalau dia menunjukkan wajah yang takut kepada Meon pasti akan membuatkan sahabatnya itu lebih takut. Paling buruk kalau-kalau Meon melarikan diri seperti sebelumnya. Parah... dia lebih takut untuk melakukan ritual itu secara berseorangan. Jadi dia telah bersedia dengan wajah yakin sambil tersenyum berani kepada Meon.
Tiba-tiba lilin yang terang dihadapan mereka terpadam serentak dengan bunyi larian dan tapak kaki disekeliling mereka turut terhenti. Meon yang terkejut terus memeluk Jenal yang berada disampingnya. Keadaan menjadi sunyi dan gelap. Hening seheningnya.
Seketika kemudian, terdengar bunyi dengusan yang kuat dihadapan mereka.
"SIAPA??!!!!"
Siapakah yang datang??? Upacara apa yang dilakukan oleh Meon dan Jenal? Apa yang mereka inginkan?
Share this novel