Bab 11
"Terima kasih tauke," kata Amir setelah menerima wang dari hasil penjualan getah sekerapnya. Harga pasaran getah sekerap sekarang hanyalah dua ringgit lima puluh sen sahaja sekilo. Amir hanya mampu mengumpul lima puluh kilo sahaja getah sekerap buku dalam tempoh tiga ke lima hari dari hasil kebun getah neneknya. Itupun kalau hari tidak hujan. Kalau hujan, susu getah akan menjadikan cair. Jadi untuk mendapatkan getah sekerap buku agak sukar.
Dengan wang seratus dua puluh lima ringgit untuk tiga ke lima hari bekerja sebenarnya tidaklah seberapa. Dalam sebulan pendapat keluarganya hanya mampu mencapai tujuh ratus ke seribu dua ratus sahaja. Walaupun begitu dia sudah cukup bersyukur kerana tidak perlu meminta-minta kepada orang lain.
Amir mengayuh basikal tua peninggalan arwah datuknya. Sebelum pulang ke rumah dia perlu membeli telur ayam sepapan seperti mana dipesan neneknya tadi. Maka dia pun mengayuh basikalnya menuju ke kedai Pak Hamid. Itulah satu-satunya kedai runcit di kampung mereka.
"Anak haram werk... Anak haram werk," kedengaran budak-budak lingkungan umur sepuluh tahun mencercanya ketika dia melalui jalan berhampiran tempat permainan budak-budak kampung yang berdekatan kedai pemborong getah Ah Hock. Tadi semasa dalam perjalanan ke kedai Ah Hock untuk menjual getah sekerapnya juga dia dikeji dan dicerca seperti itu. Entah siapa yang mengajar mereka mengeji orang seperti itu.
Tetapi telinganya seakan-akan telah lali dengan caci maki orang kampungnya. Sejak dari kecil hingga dia bersekolah dan sehingga kini cacian, cercaan dan maki hamun sebahagian orang kampung sudah menjadi makanan telingannya.
Semuanya kerana dia dilahirkan tidak berbapa. Dulu dia pernah juga melawan tetapi yang mendapat bahananya adalah neneknya. Mereka akan mengatakan neneknya tidak pandai menjaga cucu. "Sudahlah anak haram, yatim piatu, biadap pulak tu. Ni mesti sebab sialnya lah yang menyebabkan kematian ibunya," kata-kata itu masih tergiang-ngiang ditelinganya.
Dia pernah dipukul oleh orang tua kepada salah seorang budak yang mengejeknya. Semuanya terjadi kerana dia menampar budak yang mencemuhnya dan memanggil ibunya perempuan sundal, tetapi akhirnya dia sendiri yang mendapat balasan sebab cuba menegakkan keadilan buat dirinya sendiri.
Dia lelah, kini jalan yang paling baik adalah tidak lagi menghiraukan lalat-lalat itu, biarlah mereka bising ditelinganya. Ianya tidak berkudis sedikitpun. Itulah yang terbaik buat masa ini.
"Assalamualaikum," Amir memberi salam setelah sampai ke kedai Pak Hamid, Bilal kampung mereka.
"Wa'alaikumussalam.. oh Amir, nak beli apa," tanya Pak Hamid.
"Nak beli telur sepapan Pak Hamid," jawab Amir pendek.
"Kejap Pakcik ambilkan," balas Pak Hamid pergi ke belakang kedai untuk mengambil telur sebanyak tiga puluh biji.
"Telur aja ka Amir?" tanya Pak Hamid sambil mengikat telur itu dengan bekasnya.
"Ermm.. Bagi minyak dua paket dengan gula dua kilo Pak Hamid," tambah Amir lagi setelah teringat akan gula dan minyak dirumahnya pun sudah berkurang.
"Amboi-amboi-amboi, bagi je ke. Kalau nak beli la!!! Kau ingat kedai bapak aku ni pusat kebajikan ke? Dasar anak haram," kata Haris yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Telinga Amir berdesing mendengarnya. Tetapi Amir tetap hanya mendiamkan diri apabila mendengar cemuhan Haris itu. Sabar...
"Haris!!!" jerkah Pak Hamid kepada anaknya.
"Amir ni tak pernah meminta sedekah dengan kita tahu, berhutang pun tak pernah. Jaga mulut kau tu sikit," marah Pak Hamid kepada anaknya. Haris hanya menjuihkan mulutnya tidak puas hati. Amir masih lagi mendiamkan dirinya.
"Maafkan Haris ya Amir... Ni aja ka? Ada apa-apa lagi yang kamu nak tambah?" tanya Pak Hamid.
"Ini sajalah Pak Hamid, yang lain rasanya masih ada lagi dirumah," jawab Amir tenang.
"Semuanya dua puluh tiga ringgit enam puluh sen, bagi dua puluh tiga sajalah," kata Pak Hamid.
Amir pun mengeluarkan duit hasil penjualan getah sekerapnya lalu dikiranya. Dia menghulurkan dua keping duit sepuluh ringgit dan sekeping duit lima ringgit kepada Pak Hamid. Pak Hamid pun memulangkan baki sebanyak dua ringgit kepada Amir.
"Saya beli ya Pak Hamid," kata Amir sambil mengangkat telur, minyak dan gula ke basikal tuanya.
"Pakcik jual," balas Pak Hamid. Matanya hanya mampu memandang Amir berlalu pergi meninggalkan kedainya.
"Banyak pula duit anak haram tu, curi mana entah," kata Haris yang dari tadi memerhati.
Pang!!!!
Satu tamparan keras hinggap ke muka Haris.
"Aduh! Sakitlah ayah! Kenapa ayah tampar Haris?" tanya Haris sambil mengosok-gosokkan pipinya yang merah.
"Sebab kau tu kurang ajar! Aku tak pernah mengajar anak-anak aku untuk mencerca atau menghina orang lain," marah Pak Hamid.
"Kenapa ayah nak menangkan dia pula?" kata Haris.
"Yang kau umpat orang tu kenapa? Kau tuduh orang pencuri pulak tu? Kau ada bukti?" bertalu-talu soalan keluar dari mulut Pak Hamid. Mukanya merah menahan marah dengan perilaku anaknya itu.
"Anak yatim macam dia tu mana ada duit! Siapa la yang nak bagi duit pada dia? Mesti dia curi kat mana-mana tu?" jawab Haris ikut meninggikan suaranya.
"Woi Haris, mata kau tu dah buta ka? Hidung tu dah tersumbat ka? Kau tak dapat tengok ke baju kotor dia tu? Tak dapat hidu ke bau sekerap kat badan dia tu? Dia dapat duit dengan pergi menoreh getah, kutip getah, jual getah dari kebun neneknya tu. Buta?" jerkah Pak Hamid sambil menunjal-nunjal kepala anaknya.
"Bukan macam kau, pergi sekolah pun aku yang bayarkan, itupun ponteng. Bagi motor kau buat racing. Isap rokok lagi, surau pun tak pernah datang. Cuba kau contohi sikit perangai si Amir tu! Lima waktu sentiasa ada je di surau," bebel Pak Hamid. Dia malu apabila memikirkan perangai anaknya. Dia Bilal tetapi anaknya.... Pak Hamid hanya mampu menangis dalam hati.
"Ahh... Sapa suruh dia bodoh taknak sekolah!" balas Haris marah. Dia tak suka dibanding-bandingkan dengan Amir cucu Mak Munah itu.
"Bodoh kau kata??? Kau tu yang bodoh sebenarnya. Berapa subjek saja yang kau lulus periksa baru ni?" bidas Pak Hamid. Dia kecewa apabila melihat kad laporan anaknya beberapa hari yang lepas.
"Sebelum kau nak kata orang lain tu bodoh baik kau cermin diri kau tu dulu. Orang yang kau kata bodoh tu Hafiz tahu tak?" jerkah Pak Hamid.
"HAFIZ!!!"
Amir Hafiz??? Haris sebenarnya tidak percaya kata-kata ayahnya. Jadi? ****Maaf bz sikit layan cucu :-)
Share this novel