Bab 14
"Ilmu Pat Tampil???"
Amir dan Padil saling berpandangan antara satu sama lain. Mereka berdua tidak pernah mendengar akan ilmu itu sebenarnya. Inilah kali pertama mereka mendengarnya.
"Ilmu apa tu Pak Itam? Ini kali pertama saya dengar. Kalau Pat Senawi tu saya pernah dengar la, tapi ilmu Pat Tampil ni tak pernah," tanya Padil sambil mengaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Semangat ingin tahunya membuak-buak. Almaklumlah, dia hanya lulus PMR je, orang takde SPM la katakan. Mungkinkah ini subjek baru yang dia tidak ketahui?
Amir juga keliru, walaupun dia hanya bersekolah setakat darjah enam sahaja, dia tahu bahawa peperiksaan seterusnya adalah PT3, SPM seterusnya STPM, matrikulasi atau Diploma sebelum melanjutkan pelajaran ke ijazah, Master dan Phd. Kalau dalam bidang agama pula wajib dalam Kelulusan Empat Thanawi selepas itu ke Mesir, Yaman atau Universiti tempatan jika ada SPM.
Pak Itam hanya tersenyum melihat gelagat dua jejaka yang berlainan umur dihadapannya itu. Seorang berumur belasan tahun dan seorang lagi baru masuk empat puluhan. Melihat perbezaan umur antara mereka, dia turut membandingkan dirinya sudah menjangkau lebih tiga angka kini.
"Mana la kamu nak tahu ilmu ni, kamu kan lahir selepas merdeka," jawab Pak Itam sambil ketawa kecil.
"Ilmu ni orang melayu dulu belajar sebelum kemasukan sekolah orang putih lagi. Dulu takde sekolah, ada pondok ja. Sedangkan sukatan pelajaran Empat Thanawi pun dah hampir dimansuhkan kini. Sekolah-sekolah pondok dengan Tahfiz pun kalau boleh hendak ditutup," kata Pak Itam lagi.
Walaupun Pak Itam sudah berumur lebih seratus tahun tetapi dia tidak alpa dengan situasi pendidikan dan perkembangan masa kini. Dia yang melalui fasa-fasa yang berbeza dalam hidupnya hanya boleh akur dengan ketetapan serta qoda dan qadar ilahi. Dia hanya mampu tersenyum pahit.
"Seperti yang kamu ketahui sistem pendidikan masa kini ditetapkan oleh kerajaan. Semua rakyatnya mestilah bersekolah dari sekolah rendah, sekolah menengah dan ke Universiti. Dari kelulusan SPM, STPM, Diploma, Ijazah dan sebagainya," Pak Itam memulakan ceritanya. Amir dan Padil mengembangkan telinga mereka dengan cerita Pak Itam.
"Kalau dalam pengajian agama atau pondok dulu pula kita menggunakan sistem Azhariah ataupun Thanawi dari Al Azhar. Sistem ini memang khusus sejak zaman pemerintahan Kekhalifahan Uthmaniah lagi, sebab tu dulu banyak lulusan pondok akan menyambung pelajaran mereka ke Mesir, atau negara-negara dibawah pemerintahan Empayar Uthmaniah," sambung Pak Itam lagi. Sememangnya Amir dan Padil mengetahui akan hal itu, Imam Khalid yang merupakan Imam di surau kampung mereka merupakan lulusan pondok dan juga Universiti Al Azhar. Dia pernah mendengar akan hal itu sebelumnya.
"Tapi untuk Ilmu Empat Tampil pula sebenarnya ianya bermula lebih lama dari itu....," Pak Itam terdiam seketika. Sepertinya dia cuba untuk mengorek semula akan memori yang terbenam difikirannya selama ini.
"Mengikut apa yang diceritakan oleh datuk Pak Itam dulu, sebenarnya ilmu Pat Senawi juga termasuk dalam ilmu Pat Tampil," kata Pak Itam lagi. Padil dan Amir terkejut dengan pengakuan Pak Itam. Mereka berdua seolah-olah tidak percaya dengan cerita Pak Itam. Sebenarnya apa itu ilmu Pat Tampil, mereka kini takjub.
"Sebenarnya apa itu Ilmu Empat Tampil tu Tok" tanya Amir. Dia masih tidak faham lagi tentang penerangan Pak Itam. Kefahamannya masih kabur. Padil juga begitu, temanggu-manggu memikir hal itu.
"Ilmu Pat Tampil ini sebenarnya ilmu tampilan orang melayu dulu-dulu. Jika anak melayu tidak tahu akan ilmu ini mereka sebenarnya tidak layak untuk keluar dari kampung mereka ataupun pergi merantau," kata Pak Itam. Kata-kata Pak Itam seumpama teka teki bagi Padil dan Amir. Fikiran mereka makin kusut, tetapi mereka berdua tetap berdiam diri kerana mereka yakin Pak Itam pasti akan menerangkan tentang ilmu itu kepada mereka.
"Konsep Ilmu Empat Tampil ini terbahagi kepada empat bahagian iaitu Ilmu Agama, Ilmu Pertahanan, Ilmu Perubatan dan Ilmu Kepimpinan. Ilmu agama ini sebenarnya termasuk bab Feqah, Tauhid, Tasawuf, Muamalah, Usul dan lain-lain. Ia juga meliputi bab Fardu Ain dan Fardhu Kifayah. Apabila pengaruh Uthmaniah semakin besar maka sistem Azhariah juga diperkenalkan dan dimasukkan ke dalam tampilan ini. Tampilan ilmu agama ini juga merupakan ilmu asas yang paling penting dalam ilmu Pat Tampil ini. Jika kita tidak beragama mana mungkin kita mengenal Allah dan menjalankan tanggungjawab kita sebagai hambanya. Betul tak? Eh... Faham tak apa yang Pak Itam cerita ni?" tanya Pak Itam kepada Padil dan Amir. Mereka berdua hanya menganggukkan kepala. Mata mereka berbinar takjub, semangat ingin tahu membuak-buak dalam diri mereka untuk mengetahui lebih lanjut akan ilmu itu.
"Baik.. Tampilan kedua pula adalah ilmu pertahanan iaitu ilmu peperangan baik silat, gulat, persenjataan atau sebagainya. Ilmu ini penting untuk kita supaya kita dapat menjaga diri, keluarga, masyarakat dan negara. Tampilan yang ketiga pula adalah ilmu perubatan, supaya kita tahu macam mana untuk merawat, baik sakit rohani, jasmani atau sebagainya. Kalau terseliuh, patah, luka apa kita kena buat, kalau kembong, cirit birit, muntah apa yang perlu kita makan, kalau anak menangis tengah malam, merasuk pula apa yang perlu kita lakukan," kata Pak Itam, sambil itu dia melirikkan pandangannya kepada Padil. Padil hanya terangguk kepalanya. Dia memahami kata-kata Pak Itam itu tertuju kepadanya.
"Tampilan yang ke empat pula adalah ilmu kepimpinan. Macam mana kita nak memimpin keluarga kita, masyarakat dan negara kita baik dari segi pendidikan, ekonomi, ikhtiar hidup, perniagaan dan sebagainya," sambung Pak Itam lagi dengan panjang lebar.
"Tetapi setiap ilmu melayu itu mestilah bersendikan adat, adat pula bersendikan syarak, syarak pula bersendikan Kitabullah. Jadi dalam kita menjaga adat kita sebagai orang melayu, kita sebenarnya sedang menjaga agama kita dan kita yakin sebenar-benarnya yakin bahawa semua ilmu itu adalah milik Allah, kita hanya meminjam saja," simpul Pak Itam pada penerangannya.
"Tapi Pak Itam, bukan ke kebanyakkan ilmu melayu itu banyak yang khurafat ke Pak Itam?" tanya Padil setelah Pak Itam menyimpulkan keseluruhan keilmuan empat tampil.
"KHURAFAT???"
Ilmu Melayu Khurafat??? Betul ke khurafat? Sama-sama kita nantikan...
Share this novel