Bab 8

Spiritual Series 3086

Bab 8

"Wa'alaikumussalam warahmatullahi wabarokatuh... Amir... Padil.. Apa yang Pak Itam boleh bantu? Tiba-tiba ja sampai ni," tanya Pak Itam apabila melihat Padil dan Amir di depan rumahnya. Sudah berapa lama sudah rumahnya tidak dikunjungi tetamu. Dia merasa pelik.

"Takde apa-apa tok, Pakcik Padil ni nak jumpa tok. Ada hal katanya," jawab Amir jujur. Mata Pak Itam memandang Padil pula. Tiga ekor ayam hitam diletak atas tungul kayu yang dipotong rata seperti sebuah meja. Lalu dia pun membasuh tangannya dipancur berdekatan.

"Apa halnya Padil.. Apa yang Pak Itam boleh bantu?" ulang Pak Itam sekali lagi setelah membersihkan kedua-dua tangannya. Setelah melihat tangan Pak Itam telah dibersihkan Amir mendekati Pak Itam lalu menghulurkan tangannya. Pak Itam menyambut tangan Amir, lalu Amir pun mencium tangan Pak Itam.

"Tok.. Nenek kirim salam," kata Amir setelah mencium tangan Pak Itam. Sejuk hati Pak Itam melihat tingkah sopan Amir.
"Wa'alaiki wa'alaihissalam warahmatullahi wabarokatuh. Nenek kamu sihat Amir?" tanya Pak Itam.

"Alhamdulillah sihat tok," jawab Amir sopan.

Melihat tingkah Amir dengan Pak Itam membuatkan Padil merasakan dia seperti kurang sopan dengan Pak Itam. Dia pun mendekati Pak Itam lalu menghulurkan tangannya kepada Pak Itam. Tangannya disambut Pak Itam lalu dia pun ikut mencium tangan orang tua itu seperti mana dilakukan oleh Amir.

"Maaf Pak Itam kalau mengganggu Pak Itam. Saya datang ni ada hajat," jawab Padil sopan. Pak Itam terkejut dengan tingkah sopan Padil, selama ini Padil tak pernah pun bersalaman dengannya apatah lagi berbual dengannya.

"Takde ganggunya Padil, tadi aku pergi menjerat ayam hutan. Dapatlah tiga ekor," kata Pak Itam menunjukkan ketiga-tiga ayam hutan yang disembelihnya.

"Lain macam je ayam hutan ni Pak Itam, semua bulunya berwarna hitam. Pelik..." kata Padil. Amir juga sepertinya, inilah kali pertama mereka berdua melihat ayam hutan yang seperti itu. Dari paruh, kepak, bulu kaki semuanya berwarna hitam.

Pak Itam tersenyum-senyum melihat ulah pelik Padil dan Amir.
"Kalau kamu nak tahu, inilah yang dipanggil ayam cemani. Bukan sahaja bulu, kepala kepak kaki je hitam. Bahkan semua daging,tulang dan organ dalamannya pun warna hitam juga," ulas Pak Itam.

"Boleh makan ke tok ayam ni," tanya Amir pula, dia tidak pernah terfikir untuk memakan ayam yang semuanya hitam sebelum itu. Kalau ayam yang berwarna putih itu pernahlah, ayam daging yang dibelanya. Itupun pun tinggal hanya beberapa ekor.

"Boleh makan la apa pula yang tak boleh, malahan ia lebih berkhasiat dari ayam-ayam yang kita beli dipasar. Ayam cemani ni orang dulu-dulu buat ubat untuk sakit kencing manis, sakit pinggang, asma, darah tinggi, angin dalam badan, lancar darah dan macam-macam lagi. Nanti nak balik nanti ambil sorang sekor bawak balik," kata Pak Itam setelah memberikan pencerahannya.

"Eh Tok.. inikan lauk Tok," kata Amir.

"Mana pulak lauk aku, selalunya aku dapat sekor je sehari. Tapi hari ini sekali tiga ekor yang sampai. Rupanya ada tamu yang nak bertandang," jawab Pak Itam kepada Amir sambil tersenyum.

"Eh Padil.. Apa hajatnya?" tanya Pak Itam kepada Padil. Dari tadi dia belum mendengar apa-apa cerita dari Padil.

"Eh.. Kejap Pak Itam. Sebelum saya terlupa," Padil berlalu menuju ke motosikalnya lalu mengambil beras yang dibelinya tadi.

"Ini beras untuk Pak Itam sebagai buah tangan," ucap Padil sambil menghulurkan beras Faiza bersamamu kepada Pak Itam.

"Apa ni Padil, buat susah-susah ja kamu ni," Pak Itam menerima pemberian Padil lalu diletakkan berhampiran ayam cemani yang disembelihnya tadi.
"Jemput duduk," kata orang tua tu lagi.

Maka Padil dan Amir pun duduk di kerusi kayu yang lebih rendah dihadapan Pak Itam.
"Apa hajatnya Padil?" ulang Pak Itam lagi.

"Sebenarnya saya nak ucapkan terima kasih kepada Pak Itam kerana menyelamatkan anak saya Fia tempoh hari," kata Padil. "Lagi satu saya nak minta maaf kepada Pak Itam sebab saya bertingkah tidak sopan kepada Pak Itam selama ini," sambung Padil lagi.

"Eh.. apa pula yang selamat tak selamat ni. Bila pulak saya selamatkan anak kamu ni Padil?" kata Pak Itam. Pak Itam sebenarnya lebih memfokuskan persoalannya kepada cerita anak si Padil. Selama ini dia tidak pernah mengambil hati tentang perlakuan atau cerita orang kampung terhadap dirinya.

"Sebenarnya begini Pak Itam. Mengikut cerita si Amir ni Pak Itamlah yang menghalau syaitan yang merasuk badan anak saya si Sofia tu," cerita Padil kepada Pak Itam.

Pak Itam memandang Amir sejenak, Amir menundukkan kepalanya. Nampaknya Pak Itam sebenarnya tidak suka ceritanya menghalau syaitan dalam badan Sofia diketahui oleh orang lain. Tetapi apabila yang membuka cerita itu adalah Amir maka dia tidak dapat membantah akan cerita itu. Dia sepertinya sudah tertarik hati kepada budak itu. Hatinya sejuk apabila melihat wajah Amir.

"Sebenarnya Padil yang aku lihat waktu itu bukan anak kamu Padil. Tapi makhluk lain, jadi aku pun halau la dia. Aku ingat dia nak serang aku," jawab Pak Itam menceritakan sebahagian dari kebenarannya. Sebahagian lagi disimpan rapi. Dia rasa tiada kewajipan untuk menceritakan hal itu buat masa ini.

"Tetapi sebab ada Pak Itamlah Sofia tidak dapat melarikan diri, kalau tidak pening juga saya nak mencarinya nanti," jawab Padil jujur. Dia risau jika syaitan itu membawa lari anaknya waktu itu.

"Insya Allah Padil. Takkan ada yang buruk-buruk berlaku kepada anak kamu tu Padil," jawab Pak Itam.

"Berapa pengerasnya ni Pak Itam?" tanya Padil lagi.

"Pengeras apa pula ni Padil?" tanya Pak Itam balik.

"Pengeras untuk sembuhkan Sofia la Pak Itam," jawab Padil semula.

"La.. Bukan Sofia dah sembuh kan Padil, buat apa pengeras-pengeras lagi ni. Lagipun aku ni bukan bomoh," jawab Pak Itam sambil tersenyum. Dia merasa geli hati mendengar kata-kata Padil.

"Jadi..." sebelum Padil meneruskan kata-katanya dia dipotong oleh Pak Itam.

"Padil kesembuhan tu milik Allah, aku ni hanya asbab saja. 'Innama Amruhu Idza Arada Syaian An Yaqula Lahu Kun Fayakun'. Bila Allah berkehendak akan sesuatu maka cukup sekadar Kun atau Jadi maka Jadilah Ia. Siapa pun yang ada waktu itu pun boleh menjadi asbabnya, tapi kena belajarlah. Kena faham siapa pemilik segalanya," kata Pak Itam lagi.

"Kalau macam tu saya nak belajar boleh tak Tok?"

Amir menyatakan keinginannya untuk belajar dengan Pak Itam.. Tetapi bagai mana pula dengan Pak Itam, adakah dia bersetuju?

Share this novel

Jannah Teja
2024-01-06 10:53:22 

beat crt ni. sukaaa

Jannah Teja
2024-01-06 10:52:52 

Alhamdulillah dpt ilmu ttg ayam cemani.


NovelPlus Premium

The best ads free experience