Bab 12

Spiritual Series 3086

Bab 12

"HAFIZ??!! Apa yang hafiz sangat dengan budak tu?" balas Haris kepada ayahnya. Dia sangat marah kepada ayahnya kerana ayahnya selalu sangat membela cucu Mak Munah itu. Hari ini kemarahannya bertambah lagi apabila ayahnya membanding-bandingkannya dengan budak yang lebih muda dua tahun darinya itu.

"Apa ni? Abang? Haris?" tanya Cik Hasnah yang tiba-tiba muncul ke ruangan kedai runcit itu. Dia terdengar jerkahan suaminya memarahi Haris dari ruang dapur lagi. Rumah Pak Hamid dan kedai runcitnya bersambung. Dihadapan rumahnya dibuat sebagai kedai runcit dan dibelakangnya pula adalah tempat tinggal mereka sekeluarga.

"Kamu tengok anak kita ni Hasnah, siapalah yang mengajarnya mencerca dan menghina orang sesuka hati. Saya tak pernah mendidik anak kita seperti ini," leter Pak Hamid. Dia pening memikirkan cara untuk menasihati anak keduanya itu lagi. Haris tidak seperti kakaknya Hanis. Hanis merupakan anak sulungnya, kakak kepada Haris. Seorang anak yang penurut, bijak, sopan dan kini sedang menuntut di salah sebuah IPTA dalam tahun akhir.

"Ayah marahkan saya bila saya tegur anak haram yang minta sedekah kat kedai kita," kata Haris acuh tak acuh. Dia memandang ibunya, dia harap ibunya akan membelanya.

"Anak haram?? Siapa anak haram??" tanya Cik Hasnah. Dia terkedu apabila mendengar kata-kata yang tidak bersopan itu dari mulut anaknya. Selama ini dia tidak pernah mengajar anak-anaknya untuk berkata-kata kurang sopan ataupun mencarut seperti itu.

"Cucu Mak Munah la siapa lagi.. Ayah kata budak tu Hafiz.. Kalau ayah nak bela anak orang pun tak sepatutnya ayah sampai nak menipu," kata Haris sambil memandang tajam kepada ayahnya. Pak Hamid berang, dia menangkat tangannya tinggi.

Pang!!!

Sedas lagi tamparan melekat dipipi Haris. Haris terkejut, malahan Pak Hamid pun terkejut apabila melihat isterinya yang melepaskan tamparan kuat ke muka anak lelaki bongsu mereka itu.

"Haris sedar tak apa yang Haris cakap ni?!" Ibunya meninggikan suaranya. Kecut hati Haris mendengar pekikkan ibunya. Dia fikirkan ibunya akan membelanya tetapi tamparan dan leteran pula yang diterimanya.

"Mak Munah yang Haris hina sangat tu guru mama tahu!! Anak haram yang Haris kutuk sangat tu cucu dia, lagipun mana bukti yang kata dia tu anak haram? Mana buktinya?" kata Cik Hasnah meninggi. Memang dia ada mendengar umpatan orang kampung mengatakan hal itu. Tetapi tiada siapa yang mengetahui akan status kelahiran Amir yang sebenarnya dan tiada orang yang berani menanyakan hal itu kepada Mak Munah.

Mak Munah merupakan guru yang mengajar Al Quran untuk para wanita dikampung mereka. Jadi mereka agak segan untuk bertanyakan hal itu kepadanya. Dulu kepulangan Amirah dari Mesir pun ketika kandungannya sudah sarat dan dia meninggal tatkala melahirkan Amir. Maka status Amir memang menjadi misteri kepada mereka. Tetapi apabila Cik Hasnah memikirkan akan latar belakang Amirah yang berpendidikan tinggi dalam agama dan merupakan Hafizah dikampung mereka, dia merasa sangsi akan gosip dan umpatan orang kampung kepada Amir.

"Apa Haris tak tahu ke yang Amir itu Hafiz Quran?" tanya Cik Hasnah kepada Haris. Haris hanya mendiamkan dirinya. Mengangguk pun tidak menggeleng pun tidak. Dia sangat membenci Amir waktu ini.

"Itulah, orang suruh ke surau, dia pergi merempit. Hal dalam kampung pun tak kamu ketahui," celah Pak Hamid pula. Pak Hamid pun menceritakan kepada Haris bahawa Amir telah khatam Al Quran semenjak umur sepuluh tahun lagi dan telah menghafal Al Quran semasa umur tiga belas tahun.

"Sebelum ini ada Majlis Khatam Quran dengan Majlis Hafazan di surau, kenapa kamu tidak hadir? Ayah dah memberitahu kamu sebelum ini kan?" kata Pak Hamid mengingatkan. Dia telah mengendurkan suaranya. Dia berniat untuk menasihati anaknya supaya menjadi anak yang soleh bukan dengan cara kekerasan tetapi dengan hikmah.

"Tak kiralah dia Hafiz ke apa ke... Kenapa Ayah dengan mama sibuk sangat bela sangat budak tu? Ayah tahu tak yang sebelum ini dia berpelukkan dengan Sofia di depan rumah Pakcik Padil," jawab Haris tidak mengendahkan apa yang ditanya oleh ibu dan ayahnya. Dia sebenarnya sangat cemburu apabila mendengar gadis pujaannya dipeluk Amir tempoh hari. Inilah sebab utama kenapa dia sangat membenci Amir. Padahal sebelum ini dia tidak pernah menghiraukan akan hal Amir.

"Berpelukkan dengan Sofia??? Bila?" terkejut Cik Hasnah apabila mendengar cerita anaknya. Dia kenal sangat kedua-dua anak Cik Zubaidah itu, Solehah dan Sofia sangat baik pada pandangan matanya. Sopan santun, lemah lembut, cantik dan pandai menghormati orang tua. Masakan mungkin anak kawan sepengajiannya itu tidak pandai menjaga maruah diri dan keluarga mereka. Lagipun kedua-dua anak Cik Zubaidah itu sudah menghafaz hampir sepertiga dari Al Quran.

"Sabtu malam ahad minggu lepas, banyak mata yang menjadi saksi. Cerita ni dah heboh seluruh kampung. Mama dengan ayah takkan tak tahu?" jawab Haris dengan suaranya meninggi. Haris menjadi marah dan cemburu apabila mendengar akan berita itu. Dia sangat membenci Amir dan akan membalas perilaku cucu Mak Munah itu jika ada peluang.

"Sabtu minggu lepas???" kata Cik Hasnah terkejut, dia mengingati sesuatu. Cik Hasnah memandang suaminya meminta supaya suaminya menceritakan hal yang sebenar kepada Haris. Pak Hamid hanya mengelengkan kepalanya. Dia menatap Haris dengan penuh penyesalan.

"Itulah, orang suruh ke surau kamu pergi merempit. Lepas tu dengar pula fitnah orang tanpa hujung pangkal. Haris!!! Kalau kamu nak tahu, kalau bukan sebab si Amir tu, dah pecah dah muka si Sofia tu tahu tak? Kamu tahu tak yang Sofia tu dah kerasukkan malam tu. Ni Mama kamu pun ada juga kat rumah Cik Bedah masa hari kejadian. Kalau tak percaya tanya mama kamu ni. Ayah ni pun dihumban dek amukkan si Sofia tu. Lepas mengamuk dia lari keluar rumah lepas tu pengsan didepan rumahnya. Nasib tak pecah kepala Sofia tu jatuh ketangga batu takpun lantai simen depan rumah Padil tu, tahu? Kalau kamu kat depan Sofia waktu tu kamu nak biarkan ke atau sambut budak tu? Si Amir tu sambut si Sofia tu nak tahan supaya Sofia tak jatuh ke tangga tu, bukan peluk. Faham tak beza peluk dengan sambut?" leter panjang Pak Hamid menceritakan hal yang sebenar kepada Amir.

"Jadi..." Haris terkejut dengan cerita ayahnya. Dia memandang wajah ibunya, ibunya hanya mengangguk mengiakan cerita ayahnya. Kini terbit rasa bersalah didadanya, dia malu untuk berhadapan dengan Amir dan dia lagi malu untuk berhadapan dengan Sofia. Setelah mendengar cerita tentang Sofia dan Amir, Haris sangat marah, cemburu dan berbagai-bagai perasaan muncul dalam dirinya. Di sekolah dia berasa jijik apabila melihat Sofia. Tetapi apabila mendengar cerita sebenarnya dari ayah dan ibunya dia menjadi malu, dia tak tahu kemana lagi dia hendak meletakkan wajahnya.

"Haris... Ayah nak pesan kepada kamu. Ingatlah Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat Ayat 6 : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. Ayah harap jadikan ini sebagai pengajaran. Kalau boleh pergi minta maaf dengan Amir dan Sofia. Benda ni dah jatuh fitnah, kamu tahu kan dosa fitnah ni lebih besar dari membunuh?" nasihat Pak Hamid kepada anaknya sambil memetik ayat dari Al Quran.

Apabila Haris mengetahui cerita sebenar apa yang dia akan lakukan? Saya memetik satu hadis: Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba) - [HR al-Bukhari 6056 dan Muslim 105]. Semoga menjadi iktibar kepada kita semua. ;-(

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience