Bab 15
"Khurafat??"
Pak Itam hanya tersenyum mendengar soalan dari Padil.
"Apa itu khurafat?" tanya Pak Itam. Kini soalan dibalas dengan soalan pula. Dia memandang terus ke wajah Padil sambil tersenyum.
"Tahyul Pak Itam," jawab Padil pendek.
"Amir??" Pak Itam memandang Amir pula.
"Err.. kepercayaan karut??" jawab Amir sambil mengaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.
"Betul la tu. Dua-dua pun betul. Khurafat tu adalah Tahyul atau kepercayaan karut ataupun cerita rekaan yang diada-adakan seperti pantang larang yang tak masuk akal sehingga menyimpang dari ajaran Islam dan ianya boleh menyebabkan Syirik. Kita merasakan ianya wajib diikuti kalau tidak mungkin dimakan sumpah, ditimpa bala atau sebagainya sehingga kita menafikan hak Allah sebagai penguasa semesta alam, " kata Pak Itam.
"Tapi Pak Itam nak tanya sikit, selalunya kalau kita demam apa kita buat?" sambung Pak Itam sambil menatap kedua-dua lelaki dihadapannya.
"Pergi klinik?" jawab Amir.
"Err.. Kalau saya.. saya makan panadol je Pak Itam," jawab Padil pula. Pak Itam tersenyum.
"Kenapa kena pergi Klinik? Kenapa kena makan panadol?" tanya Pak Itam kembali.
"Sebab demam... " jawab Padil dengan Amir serentak.
"Eh... Bukan khurafat ke tu?" tanya Pak Itam dengan pantas.
"Khurafat??" terkejut Padil dengan Amir dengan penyataan Pak Itam. Mereka jadi bengong dengan teka teki yang dimainkan oleh Pak Itam.
"Maksud tok sebenarnya apa?" tanya Amir sambil mengaru-garukan kepalanya. Dia jadi pening.
"Apa maksud khurafat?" tanya Pak Itam kembali.
"Apa kena mengena pergi klinik, makan panadol dengan khurafat ni Pak Itam?" celah Padil. Dia juga turut pening memikirkan apa sebenarnya yang hendak disampaikan oleh orang tua dihadapannya itu.
"Maksud Pak Itam sebenarnya kalau kita yakin dengan pergi klinik atau makan panadol tu kita boleh baik demam. Itu la khurafat sebenarnya, silap-silap boleh membawa kita kepada syirik. Nauzubillahiminzalik," kata Pak Itam sambil tersenyum.
"Kami masih tak faham la Pak Itam..." kata Padil. Keningnya berkerut. Dia yang sebelum itu kerap memakan panadol jika demam melanda.
"Siapa cakap kita boleh baik demam kalau pergi klinik atau makan panadol?" tanya Pak Itam lagi.
"Err... "
"Ada doktor cakap kalau kita makan panadol boleh baik demam?" tanya Pak Itam lagi.
"Errr...."
Padil dan Amir terdiam. Mereka berdua memikirkan kata-kata Pak Itam. Pak Itam pun meneruskan kata-katanya.
"Apabila kita yakin bahawa dengan kita pergi klinik atau makan panadol tu boleh menyembuhkan demam kita sebenarnya itulah khurafat. Itulah sebenarnya tahyul. Kita sendiri yang mereka-reka cerita dengan yakin bahawa doktor yang menyembuhkan kita. Panadol yang menyembuhkan kita. Itu dah jadi SYIRIK," jelas Pak Itam.
"Siapakah yang menyembuhkan demam? Doktor? Panadol atau Allah?" satu soalan cepumas diberikan Pak Itam kepada Amir dan Padil. Mereka berdua terdiam dengan soalan Pak Itam, fikiran mereka kini berputar laju. Sel sel yang telah lama tidak digerakkan dipaksa bekerja keras untuk menjawab soalan Pak Itam itu. Sebenarnya mereka rasa seolah-olah ditampar keras dengan soalan itu.
"Kalau kita dengan yakin mengatakan doktor atau panadol yang menyembuhkan kita, disitu kita sebenarnya jelas-jelas syirik. Kita menafikan hak Allah sebagai Asy Syaafii. Allah pernah berfirman dalam Surah As Syura ayat 80 : Wa izaa maridtu fahuwa yashfeen. Bermaksud : Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku," syarah Pak Itam sambil memetik satu ayat dari Al Quran.
Kemudian Pak Itam memetik beberapa lagi hadis untuk rujukan Amir dan Padil.
" Dari Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau mengatakan : “Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah meminta perlindungan kepada Allah untuk anggota keluarganya. Beliau mengusap dengan tangan kanannya dan berdoa: “Ya Allah, Rabb manusia, hilangkanlah kesusahan dan berilah dia kesembuhan, Engkau Zat Yang Maha Menyembuhkan. Tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit lain” (HR Bukhari 535 dan Muslim 2191)."
"Dalam hadits yang lain pula dari Abdul Aziz bin Shahib, beliau mengatakan: Aku dan Tsabit datang menemui Anas bin Malik, kemudian Tsabit berkata: “Wahai Abu Hamzah (kunyah dari Anas bin Malik), aku tersengat binatang. Anas mengatakan : “Maukah kamu saya bacakan ruqyah dengan ruqyah yang dibaca oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam? Tsabit berkata : “Tentu”. Kemudian Anas bin Malik membaca doa: “ Ya Allah, Rabb manusia Yang Menghilangkan kesusahan, berilah kesembuhan, Engkaulah Zat Yang Maha Menyembuhkan. Tidak ada yang mampu menyembuhkan kecuali Engkau, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit lain” (HR Bukhari 541)."
Padil dan Amir tertunduk apabila mendengar akan syarahan Pak Itam. Mereka berdua diam tak berkutik lagi. Selama ini mereka hanya menganggap hal remeh seperti demam dan panadol itu hanyalah masalah kecil tetapi apabila memikirkan secara mendalam sebenarnya ia boleh membawa kepada syirik dan syirik itu adalah dosa besar. Nauzubillahiminzalik. Semoga Allah mengampunkan dosa mereka selama ini.
"Tapi jika kita menganggap makan panadol dengan pergi klinik adalah satu USAHA untuk menyembuhkan demam itu bukanlah syirik namanya," kata Pak Itam sambil ketawa terkekeh-kekeh. Padil dan Amir memandang Pak Itam terkejut. Mereka berdua berasa dipermainkan.
"Yang penting adalah niat yang Allah itu yang maha penyembuh. Innamal a'malu binniyat artinya 'sesungguhnya segala perbuatan itu bergantung pada niatnya' [HR Bukhari 1]" Pak Itam masih ketawa terkekeh-kekeh.
"Pak Itam nak bagitahu sebenarnya kalau dengan ilmu dan kefahaman yang betul sebenarnya takde benda yang khurafat. Tetapi Pak Itam tidak menafikan sebenarnya memang ada amalan orang-orang melayu dulu mengamalkan perkara-perkara yang khurafat," kata Pak Itam lagi.
"Contohnya tok?" Amir bertanya tanpa berbasa basi lagi. Kini dia yakin Pak Itam sememangnya mempunyai ilmu yang tinggi. Penerangan orang tua itu jelas dan disertakan dengan dalil-dalil dari Al Quran dan Hadis memudahkan lagi kefahamannya.
"Contoh seperti berancak atau menjamu syaitan dan hantu, sembelihan bukan atas nama Allah, membakar kemenyan sambil memuja selain Allah. Itu kan semua khurafat," jawab Pak Itam.
"Tapi kalau tak silap Pak Itam juga membakar kemenyan jugak kan?" tanya Padil. Apabila kemenyan disebut, dia terus bertanya akan hal itu kepada Pak Itam.
"Membakar kemenyan tu tak salah Padil. Yang salah tu adalah perbuatan MEMUJA selain Allah. Kalau kita bakar kemenyan, gaharu, cendana sekadar untuk berwangi wangian, untuk menghalau binatang buas, nyamuk, agas dah boleh termasuk dalam sunnah ataupun harus," jawab Pak Itam.
"Sunnah?" Padil mengaru-garukan kepalanya lagi. Entah ini sudah kali ke berapa dia mengarukan kepalanya yang tidak gatal itu.
"Kan Rasulullah S.A.W suka berwangi-wangian. Lagipun kalau kamu datang rumah Pak Itam lepas tu terbau pulak ketiak masam Pak Itam nanti, kan malu Pak Itam. Orang dulu bakar kemenyan masa menyambut tetamu, perayaan supaya kawasan mereka wangi selain untuk menutup aib. Jika berlaku kematian pun selalunya orang kita bakar kemenyan juga untuk menutup bau mayat atau najis dari mayat," terang Pak Itam. Padil dan Amir mengangguk faham.
"Lagi satu bab pantang pun ada yang boleh pakai ada yang tak boleh pakai," kata Pak Itam.
"Apa yang boleh dengan tak boleh tu Pak Itam?" tanya Padil.
"Yang tak boleh kalau pantang tu melampaui syarak, yang boleh tu pantang biasa-biasa kita dengar tu la. Biasanya pantang ni untuk menjaga kesihatan, menjaga adab dan lain-lain," jawab Pak Itam santai.
"Kalau jampi tu macam mana pula tu tok?" tanya Amir.
"JAMPI?"
Penjelasan yang mudah dari Pak Itam berdasarkan situasi semasa tentang khurafat. Tunggu penerangannya tentang jampi pula dalam bab seterusnya.
Share this novel