Bab 13

Spiritual Series 3086

Bab 13

Umar bin Khaththab Radhiyallahu anhu berkata :
Suatu ketika, kami (para sahabat) duduk di dekat Rasululah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Tiba-tiba muncul kepada kami seorang lelaki mengenakan pakaian yang sangat putih dan rambutnya amat hitam. Tak terlihat padanya tanda-tanda bekas perjalanan, dan tak ada seorang pun di antara kami yang mengenalnya. Ia segera duduk di hadapan Nabi, lalu lututnya disandarkan kepada lutut Nabi dan meletakkan kedua tangannya di atas kedua paha Nabi, kemudian ia berkata :

“Hai, Muhammad! Beritahukan kepadaku tentang Islam.”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, ”Islam adalah, engkau bersaksi tidak ada yang berhak diibadahi dengan benar melainkan hanya Allah, dan sesungguhnya Muhammad adalah Rasul Allah; menegakkan shalat; menunaikan zakat; berpuasa di bulan Ramadhan, dan engkau menunaikan haji ke Baitullah, jika engkau telah mampu melakukannya,”
lelaki itu berkata, ”Engkau benar,” maka kami heran, ia yang bertanya ia pula yang membenarkannya.

Kemudian ia bertanya lagi: “Beritahukan kepadaku tentang Iman”.
Nabi menjawab, ”Iman adalah, engkau beriman kepada Allah; malaikatNya; kitab-kitabNya; para RasulNya; hari Akhir, dan beriman kepada takdir Allah yang baik dan yang buruk,” ia berkata, “Engkau benar.”

Dia bertanya lagi: “Beritahukan kepadaku tentang ihsan”.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, ”Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya. Kalaupun engkau tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihatmu.”

Lelaki itu berkata lagi : “Beritahukan kepadaku kapan terjadi Kiamat?”
Nabi menjawab, ”Yang ditanya tidaklah lebih tahu daripada yang bertanya.”

Dia pun bertanya lagi : “Beritahukan kepadaku tentang tanda-tandanya!”
Nabi menjawab, ”Jika seorang budak wanita telah melahirkan tuannya; jika engkau melihat orang yang bertelanjang kaki, tanpa memakai baju (miskin papa) serta pengembala kambing telah saling berlomba dalam mendirikan bangunan megah yang menjulang tinggi.”

Kemudian lelaki tersebut segera pergi. Aku pun terdiam, sehingga Nabi bertanya kepadaku : “Wahai, Umar! Tahukah engkau, siapa yang bertanya tadi?”
Aku menjawab, ”Allah dan RasulNya lebih mengetahui,”
Baginda bersabda, ”Dia adalah Jibril yang mengajarkan kalian tentang agama kalian.” [HR Muslim, no 8.]

Pak Itam membacakan kami Hadis Riwayat Imam Muslim dalam bahasa arab dan kemudiannya dia menterjemahkan ke dalam bahasa yang mudah difahami kepada Amir dan Pakcik Padil. Sambil mendengar bacaan Pak Itam, Amir dan Pakcik Padil mencatat poin-poin penting ke dalam buku cacatan masing-masing.

Kekadang Pak Itam bertanyakan soalan kepada Pakcik Padil dan Amir untuk meluruskan permahaman mereka tentang hadis tersebut. Pakcik Padil dan Amir menjawab mengikut permahaman masing-masing dan Pak Itam membetulkan permahaman mereka dengan penambahan nas dan dalil baik dari petikan Al Quran atau Hadis.

Teknik pengajaran yang diajarkan oleh Pak Itam di kenali sebagai bertalaqqi iaitu bersemuka atau berhadapan. Boleh juga dipanggil sebagai talaqqi musyafahah ataupun belajar dari mulut ke mulut secara bersemuka, contoh paling mudah adalah sewaktu belajar mengaji Al Quran.

Beberapa hari yang lepas, Amir menyatakan bahawa dia ingin belajar dengan Pak Itam. Pak Itam hanya tersenyum mendengarnya.

"Apa Amir tidak takut kalau orang-orang kampung mengatakan Amir sedang menuntut ilmu-ilmu khurafat dari Tok?" tanya Pak Itam kepada Amir. Pertanyaan Pak itam waktu itu menyebabkan Amir termenung sejenak. Tetapi Pakcik Padil mencelah untuk memohon pencerahan.

"Maaf Pak Itam kalau pertanyaan saya ni kedengaran agak kurang sopan," tanya Padil.

"Boleh Padil, nak tanya apa tu," balas Pak Itam dengan wajahnya yang tenang.

"Sebenarnya apa yang kami patut belajar Pak Itam? Maafkan saya, sebenarnya bagi pendapat saya, kami perlu tahu apa yang patut kami belajar dan apa yang tak patut. Boleh tak Pak Itam memberikan sedikit pencerahan supaya kami ni tidak berasa was-was ataupun tak yakin," tanya Pakcik Padil kepada Pak Itam. Pakcik Padil meluahkan apa yang terbuku dihatinya.

Dia sebenarnya berminat untuk mengetahui apa yang diamalkan oleh orang tua misteri itu tetapi dia kuatir jika terlalu tergesa-gesa memberi persetujuannya boleh menyebabkan dia menanggung akibat dari keputusannya. Bak kata orang lama sesal dulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna. Jadi sebelum dia bersetuju untuk belajar dengan Pak Itam moleklah kiranya dia menyelidiki akan apa yang patut dia ketahui. Seandainya dia tidak berminat untuk belajar, sekurang-kurangnya penerangan dari Pak Itam itu boleh menjadi andalan untuk Amir membuat keputusannya.

Pak Itam tersenyum dengan pertanyaan Padil kepadanya.

"Maaf Pak Itam, sebenarnya bukan niat saya untuk sangsi atau curiga dengan Pak Itam. Tetapi apa yang saya buat ni sebenarnya untuk kebaikkan si Amir ni juga. Selama inipun dia sudah lama dicerca dan dihina oleh orang kampung. Saya harap seandainya dia belajar dengan Pak Itam...." sebelum Padil meneruskan ayatnya Amir ikut mencelah.

"Tapi Pakcik Padil.. "

"Amir... Dengar dulu apa yang Pakcik Padil nak cakapkan. Pakcik bukannya membantah kalau kamu nak belajar, tetapi lebih baik kamu belajar dengan keyakinkan akan apa yang kamu belajar itu betul. Bukannya semborono sahaja tanpa mengetahui apa yang kamu belajar, faham?" kata Padil kepada Amir.

"Maafkan saya Pak Itam. Saya harap Pak Itam akan faham situasi Amir. Apa yang saya mahukan sebenarnya supaya Amir faham akan ilmu yang dia pelajari dan yakin dengan pembawaannya. Saya tak mahu dia terus dihina atau difitnah oleh orang-orang kampung lagi," kata Padil kepada Pak Itam.

Pak Itam tersenyum dengan pengakuan Padil kepadanya. Dia faham akan situasi Amir dan situasi dirinya sendiri. Gossip dan cerita mengenai dirinya ataupun Amir sememangnya sudah menjadi buah mulut orang kampung mereka.

Dia memandang Amir seketika, rasa kasihannya kepada budak yang baru berumur lima belas tahun itu berbekas dalam hatinya. Walaupun Amir sudah digelar Al Hafiz semasa berumur tiga belas tahun tetapi ianya tidak dapat menutup mulut orang kampung untuk menghinanya disebabkan status kelahirannya yang misteri.

Begitu juga dengan dirinya, walaupun dia pernah memegang jawatan Imam dikampung mereka lebih lima puluh tahun dahulu tetapi dia tetap dicerca dan dihina. Mereka tetap mengatakan dia adalah pengamal ilmu khurafat dan membela hantu. Padahal semua itu adalah hak Allah. Ajal maut, jodoh pertemuan dan rezki itu sebenarnya hak milik Allah Yang Maha Agong.

"Orang melayu dahulu ada dua jenis pembelajarannya," kata Pak Itam cuba menjelaskan kepada Padil dan Amir. Matanya tepat memandang wajah Amir dan Padil.

"Yang pertama adalah belajar dimadrasah, surau atau masjid. Konsep atau pelajaran mereka berdasarkan sukatan Azhariah ataupun Thanawi. Orang kita lebih tahu Empat Senawi. Wajib bagi mereka lulus untuk subjek Tafsir, Hadis, Tauhid, Feqah, Balaghah, Nahu Sorof dan Mutalaah Insyak. Semua ini dipelajari dalam bahasa arab. Macam kita panggil sekolah pondok atau memondok suatu masa dulu. Tetapi sekarang ini dah banyak dah sekolah arab baik kerajaan ataupun swasta," cerita Pak Itam. Padil dan Amir mengangguk faham akan penceritaan Pak Itam.

"Pembelajaran yang kedua pula yang tak ramai kita ketahui, iaitu Pengajian Empat Tampil ataupun dikenali sebagai Ilmu Pat Tampil," sambung Pak Itam. Amir dan Padil saling berpandangan.

"Ilmu Pat Tampil???"

Ilmu Pat Tampil??? Ilmu syikin apa pula ni? Amir dan Pakcik Padil masih keliru. Apakah sebenarnya Pengajian Ilmu Empat Tampil itu sebenarnya?

Share this novel

Jannah Teja
2024-01-06 11:16:47 

tak sabar nak tahu ilmu empat tampil


NovelPlus Premium

The best ads free experience