Bab 10
Amir mengumpulkan getah-getah sekerap dan dimasukkan ke dalam guni lalu diikatnya. Basikal tua arwah datuknya dikeluarkan, dia memeriksa brek, tayar dan rantainya dahulu untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik. Setelah berpuas hati dia pun meletakkan guni getah sekerap itu dipelantar basikal tua itu.
"Nek... Amir pergi dulu ya nek," laung Amir dari luar rumah.
"Hati-hati bawak basikal tu Amir. Nanti balik belikan telur satu papan ya," jawab Mak Munah dari pintu dapur rumahnya.
"Baik nek," jawab Amir sambil tersenyum. Dia menuntun basikal tua itu hingga ke bahu jalan dan dari situ baru dia mengayuhnya. Pemergiannya dihantar dengan sayu oleh mata tua Mak Munah.
Hati Mak Munah menangis sendiri. Air matanya mengalir setelah pemergian cucunya.
"Maafkan nenek Amir, " itulah kalimah yang kerap kali diluahkan dalam hatinya apabila melihat Amir. Dari kecil hingga kini, dia terbeban dengan rasa bersalahnya pada Amir. Sesungguhnya dia tidak mampu untuk memberikan yang terbaik buat cucunya itu.
"Maafkan mak Amirah, mak rasa mak sudah tak kuat lagi," ulang Mak Munah, dia pun masuk ke dalam rumahnya dan duduk diruang dapur rumahnya. Air kopi yang dibancuh cucunya pagi tadi diminumnya sedikit, cekodok pisang yang digorengnya dikunyah perlahan. Dia memikir akan nasib Amir jika dia dijemput Ilahi nanti, bagaimanalah agaknya.
Beberapa hari yang lepas Amir pernah meminta izinnya untuk berguru dengan Pak Itam. Pada mulanya dia sangat terkejut dengan permohonan Amir. Masakan tidak selama ini Amir selalu dicerca sebagai anak yatim, anak haram, anak terbuang dan lain-lain lagi.
Berapa kali sudah dia melihat akan Amir menangis di penjuru dapurnya itu. Sehingga kini mulut orang kampungnya masih lagi mencerca cucunya itu. Tiada seorangpun anak-anak penduduk kampung itu sudi berkawan dengan cucunya kecuali anak si Padil Pendek jirannya.
Keluarga Padil sudi menerimanya dan menanggap Amir seperti anaknya sendiri disebabkan mereka tiada mempunyai anak lelaki. Tetapi itu sudah cukup memberikan impak yang cukup buruk buat keluarga Padil. Mereka pun dipulaukan dan dicemuh disebabkan kebaikkan mereka berikan buat keluarga Mak Munah.
"Betul ke Amir nak berguru dengan Pak Itam?" tanya Mak Munah kepada cucunya. Dia seolah-olah tidak percaya dengan keinginan cucunya itu. Dia takut orang kampung akan makin mengumpat akan cucunya itu.
"Betul nek," jawab Amir ringkas.
"Amir tak takut ke orang kampung mengata Amir lagi," tanya Mak Munah inginkan kepastian.
"Berguru atau tidak, mereka tetap mengata Amir nek. Selama ini bukan mereka yang menanggung Amir, " jawab Amir penuh yakin.
Ayam Cemani yang diberikan Pak Itam disiangnya. Bulu, kepala dan bahan yang tak diperlukan dibuang ke dalam plastik. Kemudian ayam itu dibersihkan dan dipotong kecil-kecil. Cadangnya, ayam itu ingin dibuat sup seperti saranan Pak Itam. Ianya akan memberi khasiat yang lebih baik dari ekstrak daging dan tulang ayam cemani tersebut.
"Apa Amir yakin dengan keputusan Amir?" tanya Mak Munah sambil melihat Amir sedang sibuk membersihkan ayam cemani pemberian Pak Itam tersebut.
"Yakin nek. Lagipun nenek yang kata Pak Itam dulu guru mengaji nenek, bekas Imam lagi," jawab Amir yakin. Dia tahu, neneknya risau bukan disebabkan Pak Itam. Tetapi neneknya itu risau akan ulah mulut orang kampung mereka. Umpat, keji, fitnah dan gossip liar sudah menjadi hobi yang wajib buat penduduk-penduduk kampung Pasir Hantu itu.
"Jangan risau nek, lagipun Pakcik Padil juga mahu belajar sekali dengan Amir," sambung Amir sambil tersenyum ke arah neneknya.
"Padil?? Betul ke?" terkejut Mak Munah dengan apa yang diberi tahu cucunya.
"Assalamualaikum... nenek.. ooo nenek," Salam dari luar rumahnya itu mengejutkan lamunan Mak Munah. Siapa pula yang datang ke rumahnya, Mak Munah baru hendak menanak nasi.
"Wa'alaikumussalam," jawab Mak Munah setelah membuka pintu dapurnya.
"Owh.. Solehah.. Sofia.. ada apanya datangnya ni?" soal Mak Munah apabila melihat kehadiran kedua-dua anak jirannya dimuka pintu dapurnya. Mereka berdua juga merupakan anak muridnya.
"Nek.. ni mak suruh hantarkan kari daging. Mak buat banyak," jawab Solehah sambil tersenyum kepada Mak Munah.
"Albamdulillah. Masuklah la dulu.. takkan berdiri aja kat depan tu," kata Mak Munah lagi.
Solehah dan Sofia pun masuk ke dalam ke dapur Mak Munah. Mak Munah mengambil dua cawan lalu dituangnya air kopi ke dalamnya.
"Jemput minumlah Solehah... Sofia. Kopi O pagi tadi je dengan cekodok pisang," pelawa Mak Munah.
"Terima kasih nenek, buat susah-susah ja," kata Solehah.
"Amir mana nek?" tanya Sofia pula.
"Amir pergi jual getah sekerap kat pemborong Ah Hock tu, kejap lagi balik la dia. Kenapa? cari Amir ke," tanya Mak Munah pula tersenyum-senyum.
"Eh... Takdelah. Lama tak dengar khabar dia," jawab Sofia. Mukanya merah.
Sejak Solehah dan Sofia melanjutkan pelajaran mereka ke sekolah menengah hubungan mereka dengan Amir agak renggang. Bukan kerana saling membenci tetapi disebabkan komitmen masing-masing.
Lagipun Amir memang tidak suka bertandang ke rumah sesiapapun walaupun ke rumah mereka dan mereka tahu atas sebab apa Amir bertindak demikian. Amir tidak mahu keluarga mereka menjadi bahan umpatan orang kampung.
"Fia masih belum ucapkan terima kasih kepada Amir pasal haritu," kata Sofia lagi. Wajahnya memerah dari tadi masih tidak surut-surut.
"Owh... pasal tu, nenek ingatkan sebab rindu tadi," usik Mak Munah. Dia tahu keakraban Solehah, Sofia dan Amir sewaktu mereka kecil-kecil dulu.
"Macam mana keadaan kamu Piah lepas kena rasuk haritu," tanya Mak Munah lagi.
"Tak tahu la nek... Fia sebenarnya tak sedar apapun nek. Yang Fia sedar semasa mengikut kakak mandi air terjun tempoh hari dan kemudiannya semasa berada di....," dia ingin mengatakan dalam pelukkan Amir tetapi dia malu untuk mengatakannya.
"Fia cakap dengan saya kali terakhir dia sedar semasa Amir menyelamatkannya la nek. Dia sebenarnya tak sedar apapun sebelum tu," sambung Solehah. Dia seakan-akan faham akan hati adiknya itu.
"Tetapi sebelum tu masa di air terjun Fia ada dengar suara yang memanggil nama Fia, lepas Fia sahut terus Fia dah tak ingat apa-apa dah," sambung Sofia pula.
"SUARA???"
Suara?? Suara siapa yang memanggil Sofia waktu itu? Wajah Sofia memerah.. adakah dia mempunyai perasaan kepada Amir?
Share this novel