BAB 4

Spiritual Completed 797

"Saya tidak dapat berlama sangat ini, Intan. Saya ambil cuti setengah hari sahaja untuk hari ini. Lepas itu mesti turun kerja." Nadia meminta diri untuk pulang.

"Ok, Nadia. Terima kasih Nadia sebab Nadia sudi luangkan masa sambut kedatangan Intan ke sini hari ini. Maaf sangat – sangat kat Nadia sebab menyusahkan Nadia." Intan dan Nadia beriringan berjalan ke arah pintu rumah sewa Intan.

"Sama – sama, si daun keladi. Tak adalah menyusahkan. Kalau tidak ditolong di masa susah, itu bukan sahabat. Kalau ada apa – apa, Intan whatsApp sahaja, ok? Saya minta diri pulang dahulu. Assalamualaikum, Intan." Nadia membuat flying kiss pada sahabatnya itu.

"Walaikumsalam, Nadia. Hati – hati memandu!" Laungan Intan dari pintu rumah.

Setelah Nadia pergi meninggalkan perkarangan rumah, Intan cepat – cepat menekan remote control pagar auntomatik. Langkah berjaga – jaga perlu sentiasa diambil kira walaupun di mana sahaja kita berada.

Intan mula berjalan – jalan dalam rumah sewa yang baru disewanya itu. Dia sangat suka rumah ini. Bukan sahaja cantik dan rekaan dalam rumah agak klasik, malah lokasinya juga dekat dengan tempat kerja dan pantai. Bila hujung minggu, dapat dia bawa Nadia berjoging di Pantai Tanjung Batu.

Intan mula mengemas dalaman rumah sambil memasang lagu artis kegemarannya, Selena Gomez dengan applikasi Spotify yang ada dalam telefon pintar miliknya.

"Berhabuk sungguh!" Intan mengomel sendirian.

"Aku kemas ala kadar sahaja dahulu. Kalau kemas betul – betul, entah sampai malam pun belum tentu siap. Esok – esok kemas lagilah. Bismillah." Tangan Intan mula menjalankan tugas mengemas.

Dari bilik kamar, ruang tamu hinggalah ke dapur. Baru sahaja Intan melabuhkan punggungnya di sofa untuk membuang lelah. Azan mula kedengaran dari telefon pintar milik Intan menunjukkan waktu solat Asar telah sampai waktunya.

Intan bangun dan menuju ke halaman rumah. Sebenarnya, dia tidak sabar – sabar dari tadi mahu ke kebun mahkota duri yang terletak di halaman rumah sewa barunya ini. Pandai sekali tuan rumah menarik perhatian penyewa ataupun pembeli rumah ini. Dengan melihat bunga – bunga mahkota duri ini sudah pasti rasa terpukau bagi sesiapa saja yang memandangnya.

"Bertuahnya aku. Dahlah dapat sewa rumah teres dua tingkat dengan harga sewa yang murah. Ada taman bunga mahkota duri pula tu. Kalau stress kerja, dapat juga si bunga – bunga ini menghilangkan stress." Intan tersenyum sambil menyanyi – nyanyi kecil lagu Survivors oleh Selena Gomez.

Tanpa Intan sedari, ada sosok lelaki berpakain baju pahlawan melayu klasik sedang memerhatikan setiap gerak – geri Intan dari tingkat atas rumah teres tersebut. Sosok tubuhnya kelihatan sasa dan wajahnya kelihatan bengis sekali bagi sesiapa saja yang melihatnya. Terserlah ciri – ciri kepahlawanan dan kegagahannya.

Intan berjalan menuju ke arah pohon – pohon mahkota duri yang kelihatan bunganya sungguh mekar sekali. Aroma bauan bunga dapat dihidu dengan jelas apabila dia mula berjalan ke kawasan halaman rumah itu tadi. Intan memanjangkan tangannya. Berhajat untuk memetik sekuntum bunga tersebut. Tiba – tiba tangannya terhenti. Intan mula tersedar bahawa dia belum lagi menunaikan solat Asar.

Intan menepuk dahinya lalu berlari laju ke dalam rumah untuk menjalankan tanggungjawabnya kepada Ilahi. Sosok lelaki yang berada di tingkat atas tadi, mula menghilangkan diri bagaikan kepulan asap putih.

+++++

Setelah selesai menunaikan solat fardu asar, Intan mula membaca surah Yassin. Intan menghentikan bacaannya apabila terdengar bunyi bagaikan benda berat jatuh di ruang tamu.

"Aduh!! Aku baru saja pindah hari ini. Takkan dah kena rompak kot. Aduhhhh ...." Berkerdut wajah Intan. Perasaan risau dan cemasnya sukar sekali untuk dibendung.

Intan mencapai kayu baseball disebelah katilnya. Perlahan – lahan dia satu persatu anak tangga dengan langkah yang perlahan - lahan. Di lihatnya dari tangga, kelihatan ruang tamu seperti biasa. Tiada tanda – tanda bahawa rumah iti diceroboh atau dipecah masuk. Intan perlahan – lahan menuju ke pintu utama. Masih berkunci! Intan pergi pula memeriksa ke pintu bilik dapur, juga berkunci!

"Taik telinga aku sahaja kot." Intan cuba berfikiran positif.

Intan keluar ke halaman rumah semula untuk melihat bunga – bunga mahkota duri. Intan membersihkan batas – batas bunga yang berada di situ.

"Ehemm ... ehem!" Intan menoleh ke kiri. Kelihatan seorang wanita separuh umur bertudung labuh berdiri di pagar rumah sebelah. 'Jiran aku ni.' Intan berjalan sambil tersenyum manis ke arah wanita tersebut.

"Assalamualaikum makcik." Wanita itu juga turut tersenyum memandang Intan.

"Walaikumsalam, nak. Baru pindah sini ya?" Tanya wanita itu mesra.

"Iya makcik. Baru je pindah tadi. Saya menyewa sahaja sini, makcik. Oh ya, makcik. Nama saya Intan. Saya berasal dari Kuala Lumpur. Pindah sini sebab ada urusan kerja." Intan menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan wanita tersebut.

"Makcik pula, dikenali sebagai Mak Dilna di kawasan sini. Makcik tinggal dengan pakcik kamu saja dalam rumah ini. Kalau ada masa, sudi – sudilah teman makcik di sebelah rumah Intan ini sahaja." Intan tersenyum bahagia. Sekurang – kurangnya, dia tahu jiran sebelah rumahnya ini peramah dan baik orangnya.

"Insya Allah, makcik."

"Pakcik kamu pergi kerja tadi. Kalau kamu sudi, makan malam nanti datanglah ke rumah makcik. Boleh kita makan sama – sama. Taklah sunyi makcik dengan pakcik kamu makan malam nanti."

"Insya Allah, makcik. Nanti Intan datang ya." Dalam hati Intan memanjat rasa kesyukuran kerana hari pertama dia berada di persekitaran baru, semua yang berlaku dalam keadaan positif dan semuanya lancar sekali.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience