Intan membuka matanya perlahan – lahan apabila merasakan ada 'sesuatu' yang dingin membelai wajahnya dengan lemah lembut. Kedengaran bunyi kicauan suara burung – burung di luar istana bagaikan menyanyi – nyanyi merdu. Sungguh mengasyikan!
Intan memalingkan wajahnya dan ingin menyambung kembali lenanya yang terganggu tetapi malangnya 'sesuatu' yang dingin tadi kembali menyentuh wajahnya dengan lembut. Intan sekali lagi membuka matanya sambil tangannya menepis – nepis tangan yang bermain di wajahnya.
"Jangan ganggu, boleh tak?!" Intan bangun dari pembaringannya dalam keadaan marah. Dia segera menoleh ke arah empunya tangan itu.
Terbeliak mata Intan apabila dia melihat seorang gadis lengkap berpakaian istana dengan gerak gerinya bagaikan seorang puteri. Paling mengejutkan, wajah gadis tersebut saling tak tumpah seperti wajahnya. Gadis itu hanya tersenyum malu memandang Intan. Intan pula bagaikan orang terkena strok. Kaku di tempatnya.
'Adakah ini Puteri Kasturi yang sebenar?' Kepala Intan serat dengan persoalan.
Intan ingin menjerit tetapi suaranya tidak keluar dari kerongkong. Bahala apakah lagi ini? Dengan pergerakan yang perlahan dan penuh tatatertib seorang bangsawan, gadis itu mencapai tangan Intan dan memimpinnya untuk berjalan bersamanya ke suatu arah.
Tangan gadis itu sungguh dingin sekali apabila menyentuh permukaan kulit tangan Intan. Intan hanya menurut sahaja ke mana arah gadis itu membawanya. Sampai di pintu keluar kamar Intan, sekali lagi gadis serupa rupa dengan Intan itu tersenyum manis ke arahnya.
Tangan gadis itu memulas tombol pintu. Kini pintu terbuka luas. Kelihatan diluar Raja Beriungan sedang berdiri megah tanpa memakai baju yang selalu dipakai oleh Raja Beriungan selama dia mengenali lelaki itu. Raja Beriungan fokus memandang ke satu arah. Bunyi suara tangisan halus seorang wanita bagaikan bergema diseluruh ruang istana.
"Kekanda jahat! Sanggup kekanda buat adinda begini!" Intan berjalan beberapa langkah ke hadapan. Keinginan untuk melihat siapakah empunya suara yang menangis itu sangat kuat.
Di tengah balai istana, kelihatan seorang gadis cantik memakai pakaian persis seorang puteri istana menagis di situ. Raja Beriungan menghampiri dan cuba menyentuh tangan gadis tersebut tetapi gagal. Gadis tersebut menepis – nepis tangan Raja Beriungan.
"Ampunkan kekanda, adinda. Dayang itu telah mengoda kekanda hingga kekanda melalukan hal terlarang dengannya." Sekali lagi Raja Beriungan bertindak menghampiri gadis malang itu.
"Tidak! Tidak sama sekali kekanda mendapat kepercayaan daripada adinda lagi setelah beberapa kali adinda melihat kekanda dalam keadaan yang menjijikan begini!" Gadis itu semakin mengundur ke belakang.
"Adinda. Tolonglah jangan siksa kanda begini. Mari sini adinda."
"Tidak!" Gadis itu terus mengundur.
"Beta berjanji tidak akan melakukannya lagi. Beta bersumpah, adinda. Beta akan setia bersama adinda sehingga ke akhir zaman." Raja Beriungan semakin maju ke hadapan.
"Bohong! Pendusta!" Si gadis telah sampai di ambang jendela yang terbuka luas.
"Beta bersumpah, adinda." Kali ini sepantas kilat, Raja Beriungan mencuba untuk mencapai tangan gadis tersebut.
Tetapi semuanya sudah terlambat, gadis malang itu gagal mengawal pergerakan tubuhnya. Seolah – olah seperti ada tenaga lain yang menolaknya dari jendela yang terbuka luas itu.
"Tidakkkkk!!!!" Gadis itu menjerit nyaring.
Intan pantas berlari menuju ke jendela ingin membantu dan menyelamatkan gadis itu daripada terhumban terjatuh ke bawah. Namun segalanya sia – sia belaka. Gadis itu telah jatuh ke bawah dengan keadaan yang ngeri sekali.
"Puteri Kasturi!!!!" Raja Beriungan hanya mampu melaungkan nama sang gadis dari tingkat atas istana.
Darah pekat terpecik dan bau hanyir darah dapat dihidu dengan kuat sekali. Intan terduduk memegang dadanya. Jantungnya bagaikan ingin tercabut keluar. Intan memandang ke arah Raja Beriungan. Di samping Raja Beriungan kelihatan gadis malang yang dipanggil oleh Raja Beriungan sebagai 'Puteri Kasturi'.
Gadis itu tersenyum dan melambai – lambai tangannya ke arah Intan. Baju yang kuning keemasan yang dipakai oleh gadis itu mula mengeluarkan cecair berwarna merah. Gadis itu berlari sambil mendepakan tangan seluas – luasnya ke arah Intan.
Intan memejamkan mata dan menjerit sekuat – kuat hatinya.
"Adinda!!!" Tubuhnya digoncang oleh seseorang.
"Tidakkkkkk!!!!!" Intan masih lagi menjerit lantang.
Raja Beriungan menampar wajah Intan. Intan bagaikan tersedar dan memegang pipinya terasa perit.
"Adinda ...." tutur Raja Beriungan perlahan lalu memeluk Intan.
"Kenapa adinda menjerit – jerit?" Raja Beriungan menepuk – nepuk belakang badan Intan.
"Adinda bermimpi?" Namun sepatah kata pun Intan tidak bersuara.
Intan masih dalam keadaan terkejut. Adakah itu mimpi ataupun hanyalah khayalan yang diciptakan oleh si 'Puteri Kasturi'.
"Adinda pejamkanlah mata semula. Biar beta menemani adinda di sini."
"Boleh tak kau keluar? Aku ingin bersendirian." Terdengar keluhan halus dari mulut Raja Beriungan. Harapannya untuk bersama si kekasih hati semakin hari, semakin nipis dirasakan.
Namun tiadk semudah itu Raja Beriungan berputus asa. Raja Beriungan turun perlahan – lahan dari tempat beradu Intan. Wajahnya penuh dengan kekecewaan. Raja Beriungan menoleh semula ke arah Intan. Intan membelakangkannya. Raja Beriungan perlahan – lahan bertukar menjadi kepulan asap putih dan menghilang di celah – celah dinding bilik.
Share this novel