Intan mencari rumah sewa yang berhampiran dengan tempat kerjanya. Hasil bantuan daripada sahabat karibnya, Nadia, Intan berjaya menyewa sebuah rumah sewa teres dua tingkat dengan harga sewaan yang murah. Malah lokasi rumah tersebut terletak berhampiran dengan tempat kerjanya. Amat strategik sekali!
Intan kelihatan sangat teruja. Halaman rumah itu sungguh indah pada padangannya. Di sebelah kanan dan di sebelah kiri halaman rumah teres dua tingkat itu, terdapat beberapa batas kebun bunga mahkota duri yang berbunga sangat lebat dan kelihatan subur sekali.
Oleh kerana terpesona dengan keindahan rumah tersebut, Intan segera mengarahkan sahabatnya Nadia menghubungi tuan rumah tersebut. Bukan susah sangat menghubungi tuan rumah tersebut. Ada sebuah papan putih yang sederhana besarnya dan dicat dengan warna merah darah dengan perkataan 'Untuk Dijual/Disewa' bersertakan nomber telefon tuan rumah disitu.
Setelah selesai membuat pembayaran deposit dan tandatangan surat kontrak sewaan, Intan memulakan aktiviti mengemas rumah. Setelah memindahkan barang – barang Intan ke dalam rumah, Nadia meminta diri untuk pulang. Nadia tidak dapat membantu sahabatnya itu kerana ada urusan penting di pejabat.
Intan mula mengemas dari kawasan dalam rumah terlebih dahulu.
"Berhabuk sungguh!" Intan mengomel sendirian.
"Aku kemas ala kadar sahaja dahulu. Kalau kemas betul – betul, entah sampai malam pun belum tentu siap. Esok – esok kemas lagilah." Intan mengemas ala kadar sahaja.
Dari bilik kamar, ruang tamu hinggalah ke dapur. Baru sahaja Intan melabuhkan punggungnya di sofa untuk membuang lelah setelah selesai mengemas. Azan mula kedengaran dari telefon bimbit Intan menunjukkan waktu solat Asar telah sampai waktunya.
Intan bangun dan menuju ke halaman rumah. Sebenarnya, dia tidak sabar – sabar dari tadi mahu ke kebun mahkota duri yang terletak di halaman rumah sewa barunya ini. Pandai sekali tuan rumah menarik perhatian penyewa ataupun pembeli rumah ini. Dengan melihat bunga – bunga mahkota duri ini sudah pasti rasa terpukau bagi sesiapa saja yang memandangnya.
"Bertuahnya aku. Dahlah dapat sewa rumah teres dua tingkat dengan harga sewa yang murah. Ada taman mahkota duri pula tu. Kalau stress kerja, dapat juga si bunga – bunga ini menghilangkan stress." Intan tersenyum sambil menyanyi – nyanyi kecil.
Tanpa Intan sedari, ada sosok lelaki berpakain baju pahlawan melayu klasik sedang memerhatikan setiap gerak – geri Intan dari tingkat atas rumah teres tersebut. Sosok tubuhnya kelihatan sasa dan wajahnya kelihatan bengis sekali bagi sesiapa saja yang melihatnya. Terserlah ciri – ciri kepahlawanan dan kegagahannya.
Intan berjalan menuju ke arah pohon – pohon mahkota duri yang kelihatan bunganya sungguh mekar sekali. Aroma bauan bunga dapat dihidu dengan jelas apabila dia masuk ke dalam halaman rumah itu tadi. Intan memanjangkan tangannya. Berhajat untuk memetik sekuntum bunga tersebut. Tiba – tiba tangannya terhenti. Intan mula tersedar bahawa dia belum lagi menunaikan solat Asar.
Intan menepuk dahinya lalu berlari laju ke dalam rumah untuk menjalankan tanggungjawabnya kepada Ilahi. Sosok lelaki yang berada di tingkat atas tadi, mula menghilang bagaikan kepulan asap putih.
Share this novel